BALING, 28 Jan: Lapisan sisa buangan yang tebal di tapak pelupusan yang beroperasi secara haram di Kampung Besah, Mukim Tawar dekat sini, menyukarkan kerja-kerja pemadaman api.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tapak pelupusan yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lepas itu dikorek terlebih dahulu sebelum sampah dibuang di situ.
“Waktu sebenar kebakaran berlaku belum dapat disahkan memandangkan panggilan ke talian 999 juga dibuat lewat.
“Selepas 31 jam, api masih belum dapat dipadamkan… lapisan buangan sangat tebal… kawasan ini dipercayai telah dikorek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemilik tanah itu diminta untuk membantu menyediakan peralatan seperti jentera bagi membantu memadam kebakaran.
“Pemilik tanah juga diminta mendapatkan tanah untuk tujuan pemadaman memandangkan penggunaan air dilihat kurang berkesan.
“JAS akan mendapatkan alat pengesan gas CEREX dan memasangkannya di lokasi sensitif berdekatan seperti sekolah,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja pemadaman dijangka disambung semula esok.
Media sebelum ini melaporkan tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara haram itu mula terbakar sejak semalam.
JAS Kedah dalam kenyataan berasingan hari ini memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 29A (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. -TVS
Baling: Kebakaran berlarutan hampir 30 jam di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar di sini, berikutan cuaca panas dan angin yang menyukarkan operasi pemadaman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya masih bertungkus-lumus di lokasi bagi mengawal serta memadamkan kebakaran yang membabitkan bahan sisa kering.
Beliau berkata, keadaan cuaca panas terik menyebabkan api mudah merebak, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.
"Operasi pemadaman turut dibantu lori Syarikat Air Darulaman (SADA) selain jentera bomba tanpa henti.
"Bomba melakukan teknik 'fire break' untuk memisahkan jarak kebakaran dan kawasan yang belum dijilat api, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, beberapa wakil agensi seperti SW Corp, Majlis Daerah Baling, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu operasi itu.
"Setakat ini masih terdapat kepulan asap dan api di lokasi, " katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan tapak kebakaran pelupusan sampah haram itu membabitkan bahan buangan domestik dan kilang berhampiran dan operasi ketika itu dilakukan lapan anggota serta dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak akan mengalami ribut petir dan hujan lebat, hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook, METMalaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis).
Sementara di kawasan Sabah pula, ia membabitkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan dan Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bacaan semasa cuaca boleh melayari portal MET Malaysia.
KUCHING, 29 Jan: Masalah banjir kilat dan air bertakung yang kerap berlaku di Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, projek naik taraf sistem perparitan sedang dilaksanakan di beberapa kawasan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Ini bertujuan untuk mengurang air bertakung dan banjir kilat terutama semasa musim hujan.
“Terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Bahagian Kuching yang melaksanakan projek RTP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem perparitan di beberapa lokasi di Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir semalam.
Menurutnya, DID juga akan menjalankan kerja pendalaman Sungai Belian yang terletak di Kampung Bintawa Hilir.
Selain meninjau projek di perkampungan sekitar Bintawa, Dr. Abdul Rahman turut memantau dua projek pembinaan benteng konkrit yang siap di Kampung Boyan.
Pada masa sama, beliau turut meninjau keadaan Tabika KEMAS Kampung Bintawa Ulu.
Menurutnya, beberapa struktur di taman bimbingan kanak-kanak itu rosak dan dibaiki menggunakan dana RTP.
“Ia melibatkan kerja membaik pulih dan mengganti sebahagian struktur atap, dinding dan lantai.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan dan dua bilik kelas akan dilengkapi dengan penghawa dingin baharu,” ujarnya.-TVS
KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca panas, kering dan berangin yang sedang dialami kawasan utara Semenanjung Malaysia, atau lebih dikenali sebagai 'musim timur', bukan fenomena luar biasa, sebaliknya merupakan keadaan cuaca lazim semasa tempoh peralihan pergerakan Monsun Timur Laut (MTL).
Pakar meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata MTL dipengaruhi luruan monsun (cold surge), iaitu angin timur laut atau timur yang kencang, serta zon penumpuan tekanan rendah yang dikenali sebagai 'monsoon trough'.
Profesor Institut Sains Laut dan Bumi (IOES), UM itu berkata dalam tempoh Januari hingga Februari, 'monsoon trough' bergerak ke selatan sejajar dengan pergerakan suria, berbanding kedudukannya di utara Semenanjung dan selatan Thailand pada awal MTL antara November hingga Disember, yang lazimnya membawa hujan lebat.
"Keadaan panas dan kering ketika ini berada dalam kelaziman iklim di utara Semenanjung dan selatan Thailand kerana zon monsoon trough telah bergerak ke bahagian selatan Laut China Selatan.
"Negeri-negeri di utara kini berada di luar zon penumpuan tersebut, menyebabkan mereka mengalami musim timur atau musim kering dengan langit cerah, cuaca kering dan berangin, manakala taburan hujan dijangka meningkat mulai April," katanya kepada Bernama.
Azizan berkata susulan pergerakan zon 'monsoon trough' itu, kawasan di selatan Semenanjung termasuk Johor serta Sabah dan Sarawak kini menerima taburan hujan yang lebih kerap.
Selain itu, katanya fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) atau Ayunan Madden-Julian, iaitu keadaan yang mempengaruhi pembentukan ribut petir dan cuaca lembap di kawasan tropika, kini berada pada fasa kering bagi kawasan utara negara.
Fenomena MJO merupakan sebahagian daripada variasi iklim bermusim di kawasan tropika yang berayun dalam tempoh antara 20 hingga 60 hari dan lazim berlaku ketika ketiadaan fenomena El Nino atau La Nina.
Mengulas lanjut, Azizan berkata keadaan cuaca semasa masih berada dalam paras normal dan dijangka tidak memberi kesan besar terhadap aktiviti harian masyarakat, termasuk bekalan air.
"Keadaan ini tidaklah genting kerana pada November dan Disember lalu terdapat taburan hujan yang tinggi. Justeru, paras empangan masih berada pada kapasiti penuh dan mampu bertahan sehingga April.
"Isu utama hanyalah cuaca panas, namun suhunya tidak mencecah sehingga 40 darjah Celsius. Purata suhu ketika ini sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius sahaja," katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook pada Selasa lalu memaklumkan enam lokasi di Semenanjung merekodkan bilangan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut, iaitu seluruh Perlis (30 hari), Pulau Langkawi, Kedah (27 hari) dan Melaka Tengah, Melaka (23 hari).
Turut merekodkan tempoh tanpa hujan ialah daerah Barat Daya, Pulau Pinang dan Kuala Langat, Selangor masing-masing selama 23 hari, serta Kota Setar, Kedah selama 20 hari.
Menurut Laporan Tinjauan Cuaca Jangka Panjang Januari hingga Jun 2026 oleh MetMalaysia, keadaan lembap dijangka mendominasi kawasan utara Semenanjung dan Sabah pada fasa awal, manakala pengurangan taburan hujan berpotensi berlaku menjelang pertengahan hingga akhir tempoh ramalan, khususnya di kawasan tengah dan selatan Semenanjung serta Sarawak.
– BERNAMA
