Mangsa banjir Trusan terima bantuan bakul makanan
- Admin UKK
- Berita
LAWAS, 21 Jan: Pengagihan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di beberapa kampung di Daerah Kecil Trusan dilakukan hari ini menerusi kerjasama strategik antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lawas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas, Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata, pengagihan bantuan itu dilaksanakan susulan kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan dari 1 hingga 4 Januari lalu, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Bantuan bakul makanan ini disalurkan bagi meringankan beban mangsa serta memastikan keperluan asas mereka terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan agihan bantuan tersebut turut melibatkan sokongan dan penyertaan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas.
Menurutnya, pendekatan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan ini penting bagi memastikan penyampaian bantuan kepada mangsa bencana dapat dilaksanakan secara cekap, tersusun dan berkesan. -TVS
