Penduduk rayu bina longkang monsun elak banjir kilat
- Admin UKK
- Berita
BESUT: Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Pachakan di sini, merayu pembinaan monsun drain atau longkang monsun sebagai alternatif mengatasi banjir kilat setiap kali hujan lebat berterusan.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Alor Peroi, Kayu Kelat, Pachakan, Teluk Bayu, Geretak Seratus dan Kampung Alor Jejawi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kayu Kelat, Ahmad Suazli Mohamed berkata, banjir kilat yang melanda saban tahun bukan hanya membawa risiko keselamatan penduduk malah merosakkan harta.
“Hujan lebat dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam sahaja boleh menyebabkan paras air meningkat mendadak, ditambah masalah air pasang membuat penduduk di sini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Ada juga kawasan air di dalam sistem perparitannya tidak pernah kering kerana tidak dapat mengalir secara terus ke laut,” katanya semalam.
Seorang penduduk, Norihan Mohd Razali, 46, berkata, dia dan keluarganya sudah penat berdepan rumah dinaiki air setinggi dua meter setiap kali hujan dan berharap longkang monsun segera dibina bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, dalam tempoh setahun, dia bersama enam ahli keluarga yang lain terpaksa berpindah lima atau enam kali ke PPS setiap kali hujan lebat melanda.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, masalah banjir di beberapa kampung di kawasan itu berlaku sejak sekian lama dan menjejaskan hampir 5,000 penduduk.
“Kita jangka dengan pembinaan longkang berkeluasan lebih tiga meter dan panjang kira-kira dua kilometer dari Kampung Tok Saboh ke Kampung Pachakan dapat mencegah berlakunya banjir kilat,” katanya. – UTUSAN
