PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Program Kesedaran Keselamatan Sungai perkukuh kesedaran komuniti Mulu

Program Kesedaran Keselamatan Sungai perkukuh kesedaran komuniti Mulu

MULU, 12 Jun: Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Kuala Melinau, Mulu menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan pengangkutan sungai serta pemeliharaan kebersihan alam sekitar.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, sungai di kawasan luar bandar bukan sekadar laluan pengangkutan, malah merupakan nadi kehidupan masyarakat yang merangkumi sumber ekonomi, makanan dan identiti setempat.

“Keselamatan dan kebersihan sungai tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan nadi kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman yang banyak bergantung kepada pengangkutan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran program seperti itu penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi aspek keselamatan ketika menggunakan pengangkutan sungai, selain memastikan kebersihan sungai sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, pelbagai usaha berterusan telah dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) termasuk program pendidikan, penguatkuasaan serta kempen kesedaran bagi meningkatkan tahap pematuhan keselamatan dalam kalangan pengusaha bot dan pengguna.

Menurutnya, peningkatan bilangan pengusaha bot yang memiliki Permit Pengangkutan Sungai yang sah menunjukkan perkembangan positif terhadap tahap kesedaran keselamatan di negeri ini.

“Pemilikan permit yang sah bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang, tetapi juga mencerminkan komitmen pengusaha terhadap keselamatan penumpang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan penggunaan jaket keselamatan dalam setiap perjalanan sungai walaupun dalam jarak dekat, kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kebersihan sungai perlu dipelihara bersama bagi mengelakkan pencemaran yang boleh memberi kesan kepada kesihatan awam, hidupan akuatik serta meningkatkan risiko banjir kilat.

“Amalan membuang sampah ke dalam sungai perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah menjejaskan kelestarian ekosistem sungai untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemimpin komuniti, pengusaha bot, sekolah dan penduduk kampung bagi memastikan keselamatan serta kebersihan sungai sentiasa terjamin.

Program tersebut turut melibatkan taklimat keselamatan dan demonstrasi penggunaan jaket keselamatan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Batu Bungan sebagai usaha menerapkan budaya keselamatan sejak usia muda.

Sementara itu, Mulu yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO terus menjadi destinasi pelancongan utama Sarawak dengan kehadiran ribuan pelawat setiap tahun, sekali gus menjadikan aspek keselamatan pengangkutan sungai sebagai elemen penting dalam mengekalkan reputasi kawasan tersebut. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search