PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bomba kesan gas metana, syor tapak projek lebuh raya di Lawas ditutup

Bomba kesan gas metana, syor tapak projek lebuh raya di Lawas ditutup

LAWAS, 12 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesyorkan tapak pembinaan Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) Sarawak di Lawas ditutup selepas mengesan gas metana mudah terbakar yang mencapai tahap risiko tinggi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan selama tiga hari oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Zon Bintulu mendapati bacaan had letupan bawah (LEL) meningkat kepada 100 peratus berhampiran lokasi pengesanan gas.

Menurut JBPM Sarawak, bacaan diambil menggunakan peralatan pengesan gas mudah alih berhampiran lubang yang mengeluarkan gas, manakala pemantauan dalam radius lima meter di sekitar kawasan mencatatkan bacaan LEL sifar peratus.

“Pasukan Hazmat mengesyorkan kawasan berkenaan ditutup dan pihak berkuasa tempatan memastikan tiada sebarang aktiviti dijalankan di lokasi itu bagi mengelakkan risiko keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia turut dimaklumkan untuk pengesahan dan khidmat nasihat.

JBPM Sarawak memaklumkan BBP Lawas menerima panggilan pada 12.33 tengah hari Rabu mengenai penemuan gas yang keluar dari tanah di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan.

Gas itu dikesan selepas kontraktor menjalankan kerja penggerudian pada kedalaman kira-kira 45 meter, dengan aliran gas dilaporkan masih aktif di permukaan.

NCH merupakan projek infrastruktur bernilai RM6.8 bilion yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search