Penduduk Putra Heights terus trauma
- Admin UKK
- Berita
PUCHONG: Walaupun empat bulan tragedi letupan paip gas di Putra Heights telah berlalu, hampir sebahagian penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas masih menjalani rawatan susulan bagi menangani kesan trauma.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd. Badly Nordin berkata, terdapat mangsa yang masih menerima rawatan lanjutan seperti sesi terapi bersama pakar psikiatri.
Katanya, kesan letupan bukan sahaja merosakkan kediaman, malah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam.
“Rawatan susulan amat diperlukan kerana bukan mudah untuk melupakan detik cemas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Larian Amal sejauh lima kilometer mangsa tragedi Letupan Gas Putra Heights di Surau Usmaniah, Kampung Kuala Sungai Baru, semalam.
Mohd. Badly menambah, pihak persatuan terus membantu merujuk mangsa yang masih terkesan kerana penderitaan penduduk tidak harus dipandang ringan kerana ia melibatkan kesihatan emosi.
“Kerajaan perlu beri perhatian khusus bagi mengurangkan tekanan dihadapi mangsa,” katanya.
Sementara itu, dua pelukis tempatan, Mohamad Noor Haiqal Samsudin dan Ezwan Azmir menghasilkan lukisan mural sebagai simbol sokongan moral mangsa tragedi.
“Biasanya hasil mural kami bernilai RM5,000 hingga RM6,000 bergantung kepada tahap kerumitan, namun kali ini dipersembahkan percuma sebagai tanda solidariti bersama mangsa,” kata Mohammad Noor.
Mereka berusia 39 dan 36 tahun itu berpengalaman tujuh tahun melukis mural, bergerak secara bebas di seluruh Malaysia bahkan pernah membawa seni ke Phuket, Thailand.
Sebelum ini, laporan siasatan letupan paip gas itu memaklumkan tiada sebarang unsur kecuaian, sabotaj atau khianat berhubung insiden letupan itu pada 1 April lalu.-UTUSAN
