PETALING JAYA: Dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh dekat sini diarahkan dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun di kawasan tersebut, semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
Ketua BBP Seputeh, Armdan Mahat berkata, kejadian membabitkan runtuhan tanah cerun yang dianggarkan sepanjang 60 meter dan menimpa dua kereta serta beberapa motosikal.
“Sebuah kereta didapati tertimbus, manakala sebuah lagi tumbang. Runtuhan tanah berkenaan juga memasuki kawasan pangsapuri kos rendah berhampiran.
“Susulan itu, dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah serta premis berhampiran diarahkan untuk dikosongkan berikutan masih terdapat pergerakan tanah dan keadaan cuaca yang sedang hujan lebat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan hasil perbincangan bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan pasukan bomba masih berada di lokasi bagi memantau sebarang pergerakan tanah,” katanya.
Seorang penduduk, Lim Yuet Ming, 74, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tanah runtuh apabila dihubungi rakannya dan memaklumkan gegaran tersebut disebabkan insiden terbabit. – UTUSAN
PETALING JAYA: Kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan paras air dan banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 1,205 anggota APM Kelantan telah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa sahaja.
Katanya, berdasarkan laporan terkini bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sehingga pukul 4 petang semalam, Kelantan antara yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi iaitu melibatkan 9,503 orang membabitkan 3,487 keluarga.
“Bagi memastikan keselamatan rakyat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air.
“Selain itu, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam bersama Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Langkah Mandatori dan Tindakan Proaktif APM itu termasuk pengaktifan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM di semua daerah termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan daerah yang berisiko.
“Rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan berisiko banjir dan hebahan maklumat terkini melalui media sosial APM serta kerjasama rapat dengan agensi lain pengurusan bencana.,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.
Justeru, katanya, beliau menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda.
“Saya juga menyarankan agar semua pihak mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPSInfoBanjir.
“Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” katanya. – UTUSAN
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan semua agensi untuk segera menyelaras usaha membantu mangsa banjir di seluruh negara dan memastikan bayaran ganti rugi disalurkan tanpa sebarang kelewatan.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, berkata Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, melawat Hat Yai hujung minggu lalu dan mengarahkan semua agensi menggerakkan bantuan maksimum, termasuk bekalan keperluan asas dan peralatan.
"Agensi turut diarahkan untuk mengatur gerak jentera bantuan bencana seperti bot, trak GMC dan kenderaan tinggi, serta menyediakan pam air dari semua wilayah bagi menyokong operasi.
"Perdana Menteri menegaskan yang keselamatan awam mesti menjadi keutamaan," kata Siripong dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Anutin mempengerusikan mesyuarat Pusat Arahan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Negara (NDPCC).
Siripong berkata hujan lebat di Selatan menyebabkan kerosakan besar di Daerah Hat Yai di Wilayah Songkhla, sebuah hab ekonomi penting, serta di Phatthalung, Pattani dan Nakhon Si Thammarat yang turut terjejas teruk.
Perdana Menteri turut mengarahkan pihak berkuasa mempercepat langkah pengurangan di wilayah tengah, terutamanya Phichit, Ang Thong, Chai Nat, Sing Buri dan Phra Nakhon Si Ayutthaya yang mengalami banjir berpanjangan.
"Gabenor wilayah mesti segera menilai kerosakan yang dialami semua isi rumah terjejas, termasuk kehilangan harta benda dan menyediakan data yang jelas dan tepat untuk bantuan.
"Biro Belanjawan ditugaskan menyediakan cadangan belanjawan pusat untuk pertimbangan segera Kabinet, dengan keutamaan memberi sokongan serta-merta kepada semua komuniti terjejas," katanya.
Siripong berkata Perdana Menteri turut menggariskan beberapa arahan untuk memastikan bantuan diberikan secara cepat dan menyeluruh sehingga keadaan pulih.
Antara arahan itu, Kementerian Pengangkutan perlu memastikan agensi tempatan menyelenggara laluan pengangkutan, termasuk jalan raya dan landasan kereta api, serta menyediakan laluan alternatif di kawasan banjir.
Kementerian Kesihatan Awam pula perlu menggerakkan pasukan perubatan dan kesihatan awam untuk membantu mangsa banjir dan menyokong pemulihan pasca bencana.
Semua agensi berkaitan juga mesti segera menilai kerosakan serta memulihkan infrastruktur terjejas.
Siripong berkata agensi tempatan menggerakkan semua sumber yang ada bagi memasuki kawasan terjejas secepat mungkin, dengan keutamaan terhadap penyediaan makanan, air minuman dan kemudahan sanitasi yang mencukupi.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand, banjir di wilayah selatan menjejaskan 92 daerah, 581 daerah kecil dan 4,146 kampung, melibatkan 719,858 isi rumah (1,917,521 individu).
Di wilayah utara dan tengah, banjir di 11 wilayah menjejaskan 49 daerah, 441 daerah kecil dan 2,902 kampung, membabitkan 144,327 isi rumah (487,255 individu).
KOTA BHARU: Seorang calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) terpaksa mengulang kaji pelajaran menggunakan telefon bimbit kerana tidak sempat membawa semua kelengkapan peperiksaan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumahnya ditenggelami banjir.
Nik Mohd. Idham Nik Abdul Rahim, 17, berkata, dia dan keluarga terpaksa keluar menyelamatkan diri seterusnya berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang selepas air naik terlalu cepat.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia dan keluarga keluar sehelai sepinggang ke PSS tanpa sempat membawa semua kelengkapan peperiksaan.
“Sepanjang di PPS saya mengulangkaji menggunakan telefon, mujurlah di sini ada bekalan elektrik serta capaian internet laju memudahkan urusan pembelajaran.
“Mengulang kaji di sini memerlukan tumpuan yang tinggi dan saya perlu mencari ruang tenang serta bebas daripada sebarang gangguan,” katanya ketika ditemui semalam.
Nik Mohd. Idham yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata, dia lega pakaian seragam dan kelengkapan lain berada dalam keadaan baik.
Katanya, walaupun hatinya masih berdebar memikirkan cabaran yang terpaksa dihadapi itu, dia tetap kekal fokus menghadapi SPM.
Sementara itu, Mohd. Faris Aiman Mohd Azri, 17, berharap banjir surut sepenuhnya dalam masa terdekat.
Katanya, ketika ini dia mengulang kaji menggunakan telefon pintar memandangkan tidak sempat membawa kelengkapan persekolahan kerana air naik terlalu cepat.
“Walaupun ulangkaji guna telefon dan buku tidak sama tapi ia dapat mengurangkan rasa gemuruh untuk menjawab peperiksaan SPM,” ujarnya. – UTUSAN
BUKIT KAYU HITAM: "Kalau boleh kami nak tolong tunda semua kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Hatyai, Thailand bawa pulang ke sini tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke sana buat masa sekarang," kata Mohd Ayman Joshua Abdullah.
Mohd Ayman,39, adalah sebahagian daripada geng trak tunda dari Jitra yang sanggup turun untuk membantu membawa kereta rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Thailand ke bengkel.
Sejak kelmarin, beliau menerima 16 panggilan daripada rakyat Malaysia yang terkandas dalam banjir di negara itu selepas dia memuat naik hantaran di Facebook (FB) untuk bantuan menunda kereta sehingga ke negara ini.
"Kami cuba untuk masuk ke sana mengikut saluran yang betul tetapi pihak berkuasa di negara itu tidak membenarkan kami masuk kerana keadaan banjir masih belum reda.
"Disebabkan itu, kami menghubungi rakan-rakan trak tunda di Thailand untuk membantu tunda kenderaan rakyat Malaysia yang rosak di sana dan kami akan tunggu di pintu sempadan sebelum pindahkan kereta itu dan bawanya ke bengkel kereta mengikut kehendak pemilik kereta berkenaan.
"Kami akan hantar tak kira di negeri mana pun asalkan kereta yang rosak itu selamat sampai ke bengkel," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd Ayman berkata, setakat ini kira-kira lima kenderaan yang berjaya ditunda dari sempadan Malaysia yang dibawa dari Hatyai ke negara ini semalam yang kebanyakannya dimasuki air.
Rakannya, Azwan Amran, 32, berkata, ini kali kedua beliau terbabit membantu membawa kereta yang terkandas banjir dari Thailand.
Tahun lalu, beliau membawa pulang 10 buah kenderaan yang kebanyakannya mengalami kerosakan pada enjin akibat dimasuki air.
"Banyak panggilan diterima sejak malam semalam dari rakyat Malaysia di Hatyai malah ada yang meminta bantuan supaya menyelamatkan mereka sekeluarga yang terkandas banjir untuk dibawa pulang ke negara ini.
"Ada juga yang telefon hanya sekadar bertanya harga dan ada yang panik melihat air semakin naik. Tetapi kami hanya boleh bantu tunda kenderaan yang rosak sahaja, itu pun bergantung pada keadaan," katanya.
Azwan yang sudah lima tahun bekerja sebagai pemandu trak tunda berkata, semua kereta yang dibawa keluar akibat banjir itu bergantung pada insuran yang mereka pilih sebelum membaiki kenderaan masing-masing.
"Kalau sampai hantar ke Kuala Lumpur ka mana-mana sajalah kami akan pergi hantar sampai ke bengkel," katanya.
