Mangsa banjir di Sarawak meningkat, catat lebih 3,000 orang
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Seramai lebih 3,000 orang kini sedang berlindung di pusat permindahan sementara (PPS) Sarawak.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan seramai 3,111 orang daripada 962 keluarga berlindung di PPS sekaligus menyaksikan peningkatan berbanding 2,802 orang daripada 864 keluarga pada petang semalam.
Katanya, sebanyak 25 PPS masih aktif setakat ini melibatkan kawasan Serian, Siburan, Sibu, Selangau, Bintulu dan Sebauh.
“Antara PPS yang menempatkan mangsa paling ramai ialah PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh, Serian dengan 431 mangsa daripada 125 keluarga diikuti Dewan Masyarakat Serian (325 mangsa daripada 94 keluarga) dan PPS Dewan Suarah Bintulu (306 mangsa daripada 114 keluarga),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Sekretariat JPBN Sabah pula memaklumkan, jumlah mangsa kekal 366 orang daripada 138 keluarga, sama seperti yang direkodkan petang semalam.
Katanya, kesemua mangsa di daerah Beaufort ditempatkan di dua PPS yang masih beroperasi.
“Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Slagon merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 328 orang daripada 123 keluarga manakala PPS Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit menempatkan 38 mangsa daripada 15 keluarga,” katanya. – UTUSAN
