PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi akibat banjir

28 sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi akibat banjir

KUCHING, 12 Jan: Sebanyak 28 buah sekolah di Sarawak terpaksa ditutup sementara hari ini berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, pada awalnya sebanyak 42 sekolah dikenal pasti tidak dapat beroperasi, namun hasil pemantauan dan perbincangan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 26 sekolah sebelum dua lagi sekolah dilaporkan dimasuki air pada malam tadi.

“Pada pagi semalam kita laporkan 42 sekolah tidak dapat beroperasi. Selepas perjumpaan dan penilaian semula keadaan, jumlah itu dikurangkan kepada 26 sekolah, namun malam tadi dua lagi sekolah dimasuki air menjadikan keseluruhan 28 sekolah tidak dapat beroperasi pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan kerosakan besar diterima, namun paras air yang meningkat menyebabkan sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan demi keselamatan murid dan warga sekolah.

Menurut beliau, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah membuat persiapan awal dengan mengingatkan pihak sekolah supaya memindahkan aset penting ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

“Kita telah memberi peringatan lebih awal kepada pihak sekolah supaya memastikan aset sekolah diletakkan di tempat selamat untuk mengurangkan risiko kerosakan,” jelasnya.

Bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, JPNS mencadangkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) bagi sekolah terlibat.

“Cadangan terbaik adalah melaksanakan PDPR. Lagipun minggu pertama persekolahan adalah sesi suai kenal dan pembelajaran secara santai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pemantauan akan diteruskan dan pihak JPNS akan sentiasa berhubung dengan PPD bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi sekolah terjejas.

Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti maklumat rasmi daripada pihak sekolah dan JPNS berhubung sebarang perubahan jadual persekolahan. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search