PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Penduduk ragui ketahanan binaan Jalan Pantai Batu Rakit

KUALA NERUS: Mampu bertahan atau sebaliknya?

Itu persoalan yang timbul dalam kalangan penduduk terhadap struktur binaan Jalan Pantai Batu Rakit, berhampiran Kampung Tanjung, di sini yang sedang dibaiki ekoran perubahan cuaca dengan ombak kuat serta hujan berterusan ketika ini.

Jalan berkenaan sebelum ini mengalami runtuhan sepanjang 280 meter akibat fenomena cuaca buruk semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun lalu dan kerja-kerja pembaikan dimulakan pada April lepas.

Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober lepas namun kejadian runtuhan semula menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup.

Ketika ini, kerja-kerja membaik pulih sedang rancak dijalankan dan dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Kebimbangan penduduk se­kitar kembali memuncak susulan keadaan benteng yang dilihat seperti tidak stabil ekoran perubahan cuaca sejak beberapa hari lalu.

Seorang penduduk, Moham­mad Nazri Razali berkata, keadaan di kawasan benteng itu membimbangkan terutama apabila ombak mula menghakis binaan yang bahru disiapkan semula.

Katanya, struktur benteng kelihatan tidak lagi berada pada kedudukan asal dan berisiko runtuh sekiranya ombak kuat melanda pada bila-bila masa.

“Tengkujuh datang dalam beberapa episod dan saya harap tiada kejadiaan tidak diingini berlaku sepanjang kerja-kerja membaik pulih dilakukan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wahid Ramli berkata, walaupun runtuhan pada benteng di laluan itu mula dibaiki, keadaan keseluruhan struktur belum meyakinkan termasuk ceracak besi yang dipacak sementara.-UTUSAN.

Ombak ‘telan’ pantai Batu Rakit

KUALA NERUS – Struktur benteng di Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit di sini, yang sedang dibaik pulih selepas mengalami runtuhan kira-kira dua bulan lalu, sekali lagi diancam ha­kisan akibat ombak sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Seorang penduduk, Mohammad Nazri Razali, 45, berkata, sejak 13 November lalu, ombak besar mula menghakis sedikit struktur benteng di laluan itu.

“Kami risau kerana ada struktur benteng yang sudah se­nget. Ia boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja, apatah lagi ketika musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Tanjung semalam.

Mohammad Nazri berharap tindakan segera dapat diambil agensi terlibat bagi menyelamatkan projek Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang menjadi antara laluan utama penduduk.

Wahid Ramli, 58, pula kecewa apabila harapan mereka untuk kembali menggunakan laluan itu sebelum ketibaan MTL seperti dijanjikan tidak kesampaian.

Katanya, runtuhan sebahagian struktur benteng pada akhir September lalu sudah cukup mengejutkan dan tidak mahu projek membaik pulih bernilai RM4.95 juta lebur begitu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hanafiah Mat berkata, penilaian semasa Jabatan Kerja Raya mendapati struktur laluan itu masih selamat.

 

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebahagian struktur benteng Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit yang hampir siap tiba-tiba runtuh akibat hakisan.

Laluan sejauh 280 meter itu terpaksa dibaiki setelah rosak teruk ekoran hakisan pantai pada musim tengkujuh, Januari lalu.

 

Lebih 2,600 penduduk terjejas banjir di Perak pagi ini

IPOH – Seramai 2,678 mangsa banjir melibatkan 845 buah keluarga di Perak kini ditempatkan di 29 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, Manjung kekal menjadi daerah terbanyak mangsa banjir apabila 1,310 penduduk (401 keluarga) kini berlindung di 13 PPS.

“Ia diikuti daerah Perak Tengah yang merekodkan seramai 770 orang mangsa dari 256 buah keluarga dengan mereka ditempatkan di tujuh buah PPS.
“Seterusnya ialah Bagan Datuk yang mempunyai 242 orang mangsa dari 82 buah keluarga yang berlindung di 13 buah PPS, diikuti Hilir Perak yang merekodkan 198 orang mangsa melibatkan 58 buah keluarga dan mereka ditempatkan di dua buah PPS,” katanya di sini hari ini.

Katanya, ia diikuti daerah Muallim yang merekodkan 92 orang mangsa dari 28 buah keluarga, dengan kini mereka ditempatkan di dua buah PPS.

“Larut, Matang dan Selama pula merekodkan 66 mangsa dari 20 buah keluarga yang berlindung di dua buah PPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: 8 negeri terkesan melibatkan 18,465 mangsa pagi ini

PETALING JAYA – Situasi banjir di seluruh negara terus memburuk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke 117 pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 18,465 orang, melibatkan lapan negeri setakat pukul 8.30 pagi ini.

Menerusi laman web Info Bencana JKM, negeri terjejas adalah Selangor, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

Selangor kekal sebagai negeri paling teruk terjejas apabila banyak kawasan rendah ditenggelami air sehingga menjejaskan 2,698 orang daripada 737 keluarga yang terpaksa dipindahkan ke 19 PPS.
Bagi pecahan mangsa banjir keseluruhan, lelaki dewasa merekodkan seramai 5,727 orang, wanita dewasa (6,030 orang), kanak-kanak lelaki (3,193 orang), kanak-kanak perempuan (2,992orang), bayi lelaki (258 orang) dan bayi perempuan (265 orang). – KOSMO! ONLINE

Usah sambut musim tengkujuh dengan skrip sama

SEPERTI 'acara' tahunan tidak pernah gagal hadir, musim tengkujuh kembali membawa banjir yang makin memburuk ke lapan negeri setakat ini, dengan lebih 13,000 mangsa daripada 4,734 keluarga sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5 petang semalam.

Kelantan paling terkesan dengan lebih 9,600 mangsa di 38 PPS, disusuli Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Sarawak. Dengan hujan lebat, jumlah mangsa meningkat dari semasa ke semasa, malah negeri lain tidak boleh berasa selamat kerana sudah banyak kali kita dikejutkan dengan bencana ini, terutama akibat perubahan iklim.

Memang benar, Malaysia sudah mempunyai keupayaan operasi yang mantap, terutama memindahkan mangsa, mencari dan menyelamat (SAR) serta pengagihan bantuan. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bomba, polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ribuan petugas lapangan menjalankan latihan berkala, malah ada protokol tersusun bagi pemindahan, logistik dan pengurusan PPS. Namun, persoalan asas tetap menghantui kita, iaitu mengapa banjir masih membawa impak sebesar ini setiap kali dan pola kerosakan tidak banyak berubah walaupun pengalaman mengajar kita begitu lama?

Hakikat yang pahit untuk ditelan adalah kelemahan paling besar bukannya persediaan dan persiapan menghadapi banjir, sebaliknya pembangunan tidak lestari dan perbandaran tidak mampan hingga longkang tersumbat, sistem saliran tidak dinaik taraf dan kawasan hijau ditukar kepada projek komersial, malah pembangunan baharu tidak mengambil kira kapasiti tadahan air, semuanya menyumbang kepada limpahan air yang akhirnya menjadikan kampung dan bandar sebagai mangsa. Selagi kita membiarkan perancangan fizikal dilakukan tanpa disiplin, selagi itulah bencana alam biasa berubah menjadi tragedi manusia, saban tahun.

Pada masa sama, insiden 4,000 rakyat Malaysia terperangkap di Hatyai akibat banjir kilat perlu dibaca sebagai manual menghadapi bencana baharu kerana dalam dunia saling terhubung, risiko bencana tidak lagi terbatas di sempadan negara.

Apatah lagi, pergerakan rakyat kita tinggi dengan jumlah pelancong Malaysia ke negara jiran semakin meningkat, ia menunjukkan pihak berkuasa, terutama Wisma Putra perlu proaktif memberikan nasihat perjalanan dari semasa ke semasa serta menghebahkannya dengan lebih meluas.

Dalam perenggan berasingan, kita juga perlu menilai semula sejauh mana penggunaan teknologi maklumat membantu kesiapsiagaan negara. Sistem amaran awal, ramalan cuaca jangka pendek, pemetaan risiko melalui imejan satelit serta aplikasi maklum balas kecemasan masih belum dimanfaatkan secara optimum. Kita sering lambat 'membaca' pola taburan hujan ekstrem, sedangkan teknologi hari ini boleh memberi maklumat hampir waktu nyata, manakala kelemahan komunikasi risiko kepada masyarakat turut memperlahankan tindakan pemindahan, menyebabkan mangsa terkepung sebelum bantuan sempat tiba.

Banjir tidak dapat dielakkan kerana monsun timur laut pasti datang setiap tahun. Namun, kemusnahan dan kehilangan nyawa boleh dikurangkan jika kita lebih jujur menilai kelemahan, memperbaiki sistem perancangan dan memanfaatkan teknologi, manakala masyarakat mendengar amaran pihak berkuasa tanpa kompromi. Jika tidak, setiap tahun kita hanya mengulang babak sama, malangnya dengan skrip semakin pahit.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search