Banjir: Hampir 3,000 masih di PPS, 26 sekolah di Sarawak dijangka tak dapat dibuka hari ini
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Seramai 3,039 mangsa banjir daripada 1,052 keluarga masih berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak dan Sabah, setakat jam 6.30 pagi ini.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sarawak merekod jumlah teramai dengan 2,673 mangsa daripada 914 keluarga, manakala Sabah merekodkan 366 mangsa daripada 138 keluarga.
Di Sarawak, sebanyak 36 PPS dibuka membabit lima daerah di Bintulu, Serian, Sibu, Mukah dan Miri, manakala di Sabah dua PPS masih dibuka membabitkan satu daerah di Beaufort.
Daripada segi taburan pecahan mangsa, 1,953 mangsa terdiri dari lelaki dan wanita dewasa termasuk 439 warga emas, sementara 1,025 lagi kanak-kanak dan 61 bayi.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sarawak sehingga 9 pagi ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda di Kuching (Kuching), Sarikei (Sarikei dan Meradong) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
26 sekolah di Sarawak dijangka tidak dapat beroperasi hari ini kerana banjir
Sementara itu BERNAMA melaporkan 26 sekolah di Sarawak dijangka tidak dapat memulakan operasi pada hari pertama sesi persekolahan hari ini kerana masih terjejas banjir, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Omar Mahli.
Beliau berkata hasil tinjauan semalam mendapati, tiga sekolah yang terjejas terletak di Daro, Mukah di Selangau, Sibu (4) dan Tatau,Sebauh di Bintulu (19).
"Sekolah yang terlibat ialah SK KG Pangtray, SK OK Selair, SJK (C) Chung Hua di Daro; dan SK Nangga Selangau, SK Kuala Lemai, SK Ulu Sg Arip dan SK St Mark di Selangau.
"Manakala 19 buah sekolah di Tatau dan Sebauh membabitkan SJK (C) Chung Hua Tatau, SJK(C) Chung San, SK Bukit Mawang, SK Hermanus Assan, SK Kuala Binyo, SK Kuala Kebulu, SK Kuala Muput, SK Kuala Sigu, SK Labang, SK Ng Penyarai, SK Ng Tau, SK Pandan, SK Rh Tayai, Sk Sebauh, SK Sg Bukit Balai, SK Sg Genaan, SK Sg Sebungan, SK Sg Sengian dan SK Sg Bagian," katanya.
Beliau berkata sekolah terbabit tidak dapat beroperasi disebabkan kawasan sekolah yang masih digenangi air, selain jalan di kawasan kediaman atau kampung tidak dapat diakses kerana banjir.
Sementara itu, Omar berkata lapan sekolah di negeri itu dijadikan PPS iaitu tujuh di Serian dan satu di Selangau.
