PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Amaran ribut petir, hujan lebat di 9 negeri

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda sembilan negeri hingga lewat petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan cuaca itu juga diramal berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Negeri yang terlibat ialah Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Pahang kawasan dijangka terlibat ialah Kuantan, Jerantut, Cameron Highlands, Rabuh, Bentong dan Temerloh, Johor (Tangkak dan Muar) dan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu).

Di Perak, antara kawasan dijangka terlibat ialah Kerian, Larut, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Kampar, Bagan Datuk dan Muallim manakala di Sarawak melibatkan Kuching,Serian, Samarahan, Bintulu dan Miri.

'Kalau ada sukarelawan bersih banjir memang sangat membantu'

Jitra: Keadaan banjir yang sudah surut membolehkan mangsa banjir di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, di sini pulang membersihkan rumah masing-masing, hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk di kawasan tersebut membawa keluar daripada rumah pelbagai barangan yang rosak dan dikumpulkan serta membersihkan kesan lumpur di dalam rumah.

Seorang penduduk Rukiah Mahmud, 69, berkata dia dan suami Ku Shariman Ku Hashim, 67, mula membersihkan rumah sejak pagi tadi, namun tidak mampu mampu melakukan banyak kerja kerana faktor usia.

"Saya dan suami dua-dua warga emas, kalau ada bantuan daripada badan bukan kerajaan atau sukarelawan memang sangat membantu, sebab terlalu banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan.

77,695 mangsa banjir masih berlindung di 274 PPS

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin berkurangan kepada 77,695 orang petang ini berbanding 95,207 yang direkodkan, pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 3 petang, mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 orang daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.

Di Terengganu, 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.

Di Kedah, seramai 7,123 mangsa daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga dengan Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.

Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga

Calon SPM terkandas banjir boleh hadir ujian esok, Khamis - Fadhlina

KUALA LUMPUR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat menghadiri peperiksaan susulan terkandas akibat banjir masih berpeluang untuk mendudukinya pada hari esok atau Khamis.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu dibuat bagi memastikan semua calon tidak ketinggalan untuk menduduki SPM.

 

“Kita akan buat dan pastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan,” katanya selepas menghadiri Pameran Wacana Pencapaian Semasa Inisiatif Baucar Buku: Epitome Aspirasi Kerajaan Madani di Laman Sidang Dewan Parlimen, di sini pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, ujian lisan BM bagi SPM diadakan sejak semalam dan berakhir Khamis ini. Ujian yang berlangsung selama empat hari itu memerlukan pelajar hadir sehari mengikut jadual ditetapkan.

Tambah Fadhlina, kini sudah masuk fasa kedua iaitu pembugaran emosi yang memberi tumpuan penuh kepada calon untuk mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan.

“Sebelum ini kita telah buat fasa pertama, pindah calon ke asrama bagi menempatkan mereka sepanjang peperiksaan berlangsung dan ia telah selesai seratus peratus.

“Kita doa supaya tidak ada perkara yang lebih mudarat daripada apa yang kita kendalikan,” ujarnya.

PPS penuh, mangsa banjir berkhemah tepi jalan

ALOR SETAR - Beberapa keluarga yang terjejas banjir di sini mengambil keputusan mendirikan khemah di tepi jalan berhampiran Kampung Alor Senjaya sejak tiga hari lalu.

Suri rumah, Aripiah Ahmad, 55, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian berikutan kapasiti beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kediaman penuh.

Beliau berkata, terdapat PPS alternatif yang masih mampu menampung mangsa banjir namun, lokasinya terlalu jauh untuk berulang alik ke rumah.

"Kami sekeluarga pernah pergi ke tiga PPS berdekatan ketika rumah dilanda banjir sehingga paras 0.5 meter (m) pada September lepas, namun semuanya penuh.

"Kali ini, kami sudah tidak larat mencari PPS dan bimbang situasi sama berulang lalu mengambil inisiatif memasang khemah tepi jalan sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Aripiah berkata, mereka tiada pilihan dan terpaksa meninggalkan rumah memandangkan air naik hingga paras 0.8 meter ketika banjir melanda semula beberapa hari lepas.

Katanya, dia bersama suami dan dua anaknya sempat membawa beberapa barangan penting termasuklah pakaian selepas rumah ditenggelami air.

"Kami juga menyelamatkan dan membawa sekali kucing peliharaan untuk berteduh di bawah khemah ini," katanya.

Ujarnya, mereka berharap diberi kelonggaran untuk menumpang teduh dalam khemah di tepi jalan tersebut untuk sementara waktu.

"Apabila air surut nanti, kami empat beranak akan terus pulang ke rumah kerana sedar risiko duduk dalam khemah tersebut," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Kausar Firdaus,29, berkata, dia sekeluarga turut mengambil langkah sama dengan memasang khemah di tepi jalan disebabkan PPS terdekat telah penuh.

Menurutnya, terdapat tiga lagi keluarga yang juga jirannya memasang khemah berhampiran dengan khemah mereka.

Katanya, terdapat beberapa keluarga yang juga mangsa banjir memasang khemah di sebelah kiri dan kanan jalan di sepanjang laluan dari Kampung Titi Gajah ke Kampung Alor Senjaya itu.

"Namun, ada khemah tiada orang memandangkan ada pemiliknya keluar bekerja dan ada pulang memeriksa keadaan rumah," katanya.

Kausar berkata, ketika ini, berkhemah tepi jalan sahaja pilihan yang mereka ada meskipun keadaan khemah kurang selesa untuk berteduh daripada panas dan hujan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana ada insan-insan baik hati yang memberi pelbagai bantuan termasuklah makanan kepada penduduk yang berkhemah di tepi jalan tersebut.

Berdasarkan info dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, mangsa banjir di Kedah merekodkan sedikit penurunan dengan 7,001 mangsa ditempatkan di 38 PPS setakat 12 tengah hari berbanding 7,206 mangsa di 42 PPS pada jam 8 pagi.

Untuk rekod, Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 4,172 orang daripada 1,264 keluarga diikuti Kubang Pasu dengan 1,747 mangsa daripada 548 keluarga, Pokok Sena 567 mangsa daripada167 keluarga, Padang Terap dengan 298 mangsa daripada 84 keluarga dan Sik sebanyak 217 mangsa daripada 60 keluarga.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search