PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Jumlah mangsa banjir 7 negeri catat penurunan

SHAH ALAM - Keadaan banjir di seluruh negara menunjukkan penurunan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri berkurang kepada 63,069 setakat 12 tengah hari berbanding 65,854 pada 9 pagi Rabu.

Tujuh negeri itu termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Perak dan Pahang.

 

Di Kelantan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir turun kepada 41,881 orang di 96 PPS membabitkan empat jajahan.

Jajahan Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 20,825 orang di 46 PPS diikuti Pasir Mas 20,502 orang di 44 PPS, Kota Bharu 403 orang (satu PPS) dan Bachok 151 orang (dua PPS).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir mencatatkan pengurangan kepada 13,374 orang dan Kuala Nerus menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah 5,571 mangsa di 15 PPS bagi kawasan itu.

Ini diikuti Dungun 4,252 orang (20 PPS), Kuala Terengganu 3,107 orang (12 PPS), Hulu Terengganu 129 orang (dua PPS), Setiu 148 orang (empat PPS) dan Marang 165 orang (tiga PPS).

Jumlah mangsa banjir di Kedah pula ialah 6,130 dan Kota Setar menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 4,183 orang di 18 PPS.

Empat lagi daerah terjejas ialah Kubang Pasu 1,356 orang (lapan PPS), Pokok Sena 436 orang (tiga PPS) dan Padang Terap 155 orang (satu PPS).

Mangsa banjir di Johor juga menurun menjadikan jumlah terkini sebanyak 1,080 di dua daerah yang terkesan iaitu Segamat dengan 913 mangsa (18 PPS) dan Tangkak 167 mangsa (dua PPS).

Di Perak sebanyak 380 mangsa banjir melibatkan lima daerah termasuk di Kinta 148 mangsa di lima PPS, Perak Tengah 70 mangsa (dua PPS) manakala Hilir Perak 73 mangsa, Kampar 74 mangsa serta Larut, Matang dan Selama 15 mangsa dengan masing-masing mempunyai satu PPS.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir seramai 172 orang membabitkan daerah Jasin di dua PPS.

Jumlah mangsa banjir di Pahang ialah 53 orang dengan dua daerah terlibat iaitu Bera mencatatkan 41 mangsa dan Temerloh 12 mangsa dengan masing-masing mempunyai dua PPS.

 

Jumlah mangsa banjir Johor menurun kepada 1,029 orang

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menunjukkan penurunan dengan 1,029 orang membabitkan 292 keluarga sehingga jam 4 petang ini, berbanding 1,062 orang daripada 304 keluarga pada jam 12 tengah hari tadi.

Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga berkurangan apabila dua PPS di Segamat ditutup.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata kini tinggal 18 PPS yang masih dibuka masing-masing 16 di Segamat dan dua di Tangkak.

“Jumlah mangsa banjir di Segamat berkurangan daripada 892 orang (256 keluarga) pada tengah hari tadi, kepada 858 orang (244 keluarga).

“Di Tangkak pula, terdapat penambahan seorang mangsa menjadikan 171 orang daripada 48 keluarga masih ditempatkan di PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengesahkan tiada kematian direkodkan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir atau hujan berterusan untuk mana-mana daerah di negeri ini.

Semua daerah dilaporkan cerah setakat jam 4 petang tadi, kecuali mendung di Pontian, Segamat dan Tangkak.

Pada masa sama, Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat merekodkan paras air sungai yang sudah melebihi paras bahaya 4.0 meter (m) dengan bacaan 4.8m.

 

 
 

Anggota polis lemas akibat banjir tiada kaitan dengan tugasan, operasi

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lemas di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu baru-baru ni, tiada kaitan dengan tugasan atau operasi bencana.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi bencana ditetapkan setiap agensi pihak berkuasa dengan komander operasi menentukan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, SOP operasi ditetapkan oleh agensi masing-masing dan dikawal selia serta diselaraskan oleh Ketua Polis Daerah sebagai komander operasi bencana di setiap kawasan.

“Operasi akan dijalankan apabila komander operasi menentukan kaedah yang paling selamat operasi berkenaan dijalankan.

“Anggota PDRM yang terkorban semalam pula tiada kaitan langsung dengan tugasan ataupun operasi bencana yang beliau terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, PDRM mengesahkan anggota polis ditemui lemas di ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dilaporkan berkata, mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, dihanyutkan arus deras ketika melalui laluan ditenggelami banjir di ladang sawit terbabit dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu.

“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya memasuki ladang sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang terkandas semalaman akibat banjir,” katanya.

 

PUTRAJAYA: Jumlah mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu iaitu seramai 235,706 orang di sembilan negeri terjejas, adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL pada 2014/2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data itu berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setakat pagi ini, trend (jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara – PPS) dilihat menurun. Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI kepada Mangsa Banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Pada masa sama, Anwar melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua bencana banjir di negara ini.

Justeru, beliau mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

“Jadi kebimbangan ialah kemungkinan mengikut METMalaysia ada gelombang kedua banjir. Mudah-mudahan insya-Allah kita dapat kawal,” katanya.

METMalaysia sebelum ini menjangkakan luruan monsun yang diramal melanda pada 8 hingga 14 Disember ini berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.

Berdasarkan Info Bencana JKM, setakat jam 4 petang tadi, seramai 58,796 mangsa membabitkan 18,157 keluarga masih ditempatkan di 203 PPS di tujuh negeri terjejas.

Sementara itu, Anwar menzahirkan rasa terharu kerana saranannya kepada sektor swasta untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir, disambut baik.

“Saya terharu dalam masa singkat, secara spontan ramai yang telah hubungi pejabat saya dan menyatakan mereka sedia (membantu).

“Kita belum lagi uar-uarkan, kita tidak hubungi semua persatuan dan dewan perniagaan, tapi saya lihat ada kesediaan (menghulurkan bantuan).

“Dan saya kata biar saya hadir sendiri (Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI), saya nak beri mesej kepada rakyat, kita kerja berpasukan, komitmen ini menyeluruh dari semua kalangan masyarakat dan kaum,” katanya.

 

Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda tiga negeri iaitu di Perak, Selangor dan Sarawak, hingga lewat petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan di Perak melibatkan kawasan jangkaan termasuk Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di Selangor, antara kawasan dijangka terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor manakala di Sarawak melibatkan Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang. - Bernama

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search