PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Mangsa bah tujuh negeri berkurang

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 77,695 orang di tujuh negeri, setakat petang semalam.

Sehingga jam 3 petang portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan semua mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.

Di Terengganu, seramai 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah yang terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.

Sementara di Kedah, seramai 7,123 daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala hanya sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga, sementara Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.

Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga.

Tunggu RTB selesai

Kerajaan akan meneliti cadangan daripada hasil kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) untuk membina tebing tinggi di kawasan pantai bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan yang pernah dibangkitkan sekitar 20 tahun lalu itu boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, selesai dilaksanakan.

“Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan oleh Kerajaan Jepun iaitu projek Jica umpamanya untuk mengatasi masalah banjir di pantai barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.

“Antara lain kajian Jica untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu pendekatan kerajaan dalam mengatasi masalah banjir tahunan yang menelan kos ratusan juta setiap tahun.

Pada masa ini, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM15 bilion bagi projek RTB di seluruh negara sebagai ikhtiar untuk mengawal masalah banjir, selain menggunakan teknologi terkini bagi meramal cuaca

Kerajaan memperuntukkan hampir RM15 bilion bagi projek RTB di seluruh negara untuk dimaklumkan kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau menyedari langkah terbabit masih tidak mencukupi dan tiada negara yang dapat mengawal cuaca biarpun mereka mempunyai teknologi terbaik termasuk China, Amerika Syarikat dan Eropah.

“Tetapi, ikhtiar itu harus ada... cuma tahun ini hujan itu luar jangka, jauh lebih (banyak) iaitu (jumlah) lima hari (hujan) sama dengan enam bulan sebelumnya, jadi tertangguh hujannya, kemarau dan kemudian turun dengan banyak menyebabkan takungan dan banjir,” katanya.

Katanya, di beberapa daerah di Kelantan umpamanya, bacaan hujan mencecah lebih 1,167 milimeter (mm) dalam masa lima hari iaitu pada 26 hingga 30 November lalu dan di beberapa daerah di Terengganu pula mencatat hujan sehingga 1,761mm untuk tempoh sama.

Menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai kerosakan jalan akibat banjir, Anwar berkata, kerajaan menyediakan hampir RM1 bilion bantuan segera untuk mengatasi pelbagai kerosakan, dengan keutamaan bagi memperbaiki sekolah, hospital, jalan asas serta ganti rugi. - Bernama

Nadma sedia hadapi gelombang kedua

Kuala Lumpur: Meskipun situasi banjir di beberapa negeri menunjukkan trend penurunan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersedia menghadapi gelombang kedua bencana berkenaan.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ini kerana pihaknya akan bersedia dengan pelbagai kemungkinan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.

“Persiapan Nadma adalah

Persiapan Nadma adalah sepanjang MTL dan kita bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir atau gelombang kedua bencana terbabit”

Khairul Shahril Idrus

sepanjang MTL dan kita bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir atau gelombang kedua bencana terbabit,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya nasib mangsa apabila rumah mereka musnah akibat banjir, Khairul berkata, mangsa-mangsa terbabit akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Namun untuk mereka yang rumahnya masih ada, kita akan minta mereka pulang ke rumah masing-masing jika keadaan sudah stabil.

“Ini kerana PPS akan ditutup jika sudah tiada keperluan di kawasan terbabit,” katanya.

Kelmarin, METMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.

Pahang, Johor dijangka bah jika hujan lebat lebih 6 jam

Pahang dan Johor dijangka berdepan situasi banjir yang sama seperti menimpa Kelantan dan Terengganu, jika mengalami hujan lebat berterusan lebih enam jam dalam tempoh terdekat ini.

Berikutan itu, pihak berkuasa kini membuat pemantauan rapi dan bersiap siaga dari sekarang hingga Mac depan dengan sentiasa memantau aliran air sungai dan hujan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) musim tengkujuh ini diramalkan mengalami lima hingga tujuh episod hujan lebat membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

“Memang diramalkan banjir besar berpotensi berlaku terhadap 4,617 kawasan tumpuan banjir akibat limpahan sungai selepas hujan lebat berterusan melebihi enam jam.

“Banjir teruk yang melanda Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ini disebabkan hujan lebat berterusan lebih

enam jam, menyebabkan limpahan hujan dua kali ganda daripada kebiasaan, mengakibatkan kenaikan paras sungai berbanding keadaan sama pada 2014.

“Faktor sedemikian membuatkan banjir di dua negeri itu menjadi teruk berbanding 10 tahun lalu, di samping pertembungan air pasang besar serta permulaan musim tengkujuh yang bermula dari 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke war room di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Ampang di sini, semalam.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan

Tenaga dan Transformasi Air, sebelum itu turut melawat war room di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Timur 19, Petaling Jaya.

Gelombang kedua

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku bencana banjir di Pahang dan Johor susulan aliran air dari Kelantan dan Terengganu yang dijangka mengalir ke negeri-negeri berkenaan.

“Kalau ikut jangkaan, lepas ini aliran (banjir) itu akan turun ke Pahang dan Johor. Jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.

Mengulas luruan monsun di antara 8 hingga 14 Disember ini yang berpotensi mencetuskan gelombang kedua banjir, Fadillah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan meneruskan pemantauan dan menyebarkan maklumat kepada media dan orang ramai untuk persediaan.

“Jangkaan memang masih berlaku dan kalau ikut ramalan Metmalaysia dalam tempoh seminggu itu hujan berterusan, cuma volume (kapasiti) kita tidak pasti tapi kita akan berjaga-jaga sama ada (hujan) lebih lebat daripada sekarang ini atau tidak,” katanya.

Terdahulu Fadillah diberi taklimat oleh pegawai JPS berhubung banjir yang direkodkan agensi itu sejak 5 November lalu apabila Metmalaysia mengumumkan ber mulanya Monsun Timur Laut (MTL).

Metmalaysia pantau luruan monsun

Luruan angin sejuk atau luruan monsun yang dijangka melanda mulai 8 hingga 14 Disember ini, berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh berkenaan juga berpotensi melanda Sarawak dan Sabah, selain negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan adalah kuat.

Beliau berkata, luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.

“Metmalaysia sentiasa memantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam tempoh seminggu bermula 8 hingga 14 Disember.

Kita memantau situasi dan akan mengeluarkan amaran sebaik sahaja output model ramalan mencapai tahap keyakinan yang tinggi,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau menjelaskan, musim sejuk di hemisfera utara menyebabkan pembentukan kawasan tekanan udara yang tinggi di tanah besar China dan Siberia.

“Apabila intensiti tekanan udara terlalu tinggi, ia akhirnya akan meletus dan seterusnya menghasilkan luruan angin sejuk yang akan bergerak melalui Laut China Selatan dan seterusnya ke pantai timur Semenanjung serta perairan Sabah serta Sarawak,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search