PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

77,695 mangsa banjir masih berlindung di 274 PPS

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin berkurangan kepada 77,695 orang petang ini berbanding 95,207 yang direkodkan, pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 3 petang, mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 orang daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.

Di Terengganu, 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.

Di Kedah, seramai 7,123 mangsa daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga dengan Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.

Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga.

Hujan lebat luar kebiasaan punca banjir di Kelantan, Terengganu - Fadillah

KUALA LUMPUR: Banjir teruk yang melanda Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu berpunca daripada hujan lebat berterusan melebihi tempoh enam jam yang membawa limpahan hujan dua kali ganda, sekali gus mengakibatkan kenaikan paras sungai berbanding 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata faktor sedemikian membuatkan banjir di dua negeri itu menjadi teruk berbanding 10 tahun lalu.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan pertembungan air pasang besar serta permulaan musim tengkujuh yang bermula dari 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan.

"Punca banjir di Kelantan dan Terengganu disebabkan hujan lebat melebihi enam jam yang membawa limpahan hujan (aliran) dua kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan yang berbeza mengikut tempat.

"Ada tempat limpahan hujannya melebihi dua kali ganda daripada jumlah purata hujannya daripada biasa selain didorong keadaan air pasang besar.

"Ini bermakna paras sungai, laut yang sedia tinggi bertembung dengan hujan mengakibatkan limpahan sungai lebih tinggi daripada 2014," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Ampang di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sebelum itu turut melawat Bilik Gerakan Banjir di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Timur 19, Petaling Jaya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan aliran limpahan sungai itu mengalir ke Pahang dan Johor dan membawa risiko banjir sama ke arah selatan.

"Mengikut jangkaan, selepas ini, Pahang dan Johor pula mengalaminya. Justeru kita membuat pemantauan rapi dan bersiap siaga dari sekarang hingga Mac depan.

"Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga sehingga Mac dan sentiasa memantau aliran aliran air sungai dan juga hujan," katanya.

Katanya, seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) musim tengkujuh ini diramalkan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

"Memang diramalkan banjir besar berpotensi berlaku di 4,617 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai selepas hujan lebat berterusan melebihi enam jam," katanya.

"Setakat semalam, tujuh amaran banjir dikeluarkan di Besut, Setiu (tiga) dengan risiko banjir bermula hari ini hingga 6 Disember.

"Sementara itu, menerusi episod hujan dari 26 hingga 30 November lalu, menyaksikan 674 notifikasi hujan lebat melebihi 60 milimeter (mm), 27,972 notifikasi aras air sungai tahap bahaya dengan Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167mm), manakala bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm)," katanya.

3 remaja lelaki ditahan pecah masuk pejabat sekolah yang dijadikan PPS

KUALA NERUS: Tiga remaja lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk pejabat sebuah sekolah yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menyebabkan kerugian berjumlah RM3,200.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa suspek yang berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak, Besut.

“Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut sebelum mendapatkan perintah reman di Mahkamah ke atas suspek,” katanya Ketika ditemui media selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, hari ini.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Dalam kejadian berasingan, pihak polis turut menerima laporan mengenai kecurian sebuah motosikal yang hilang selepas diletakkan di tepi jalan.

Motosikal mangsa yang dilaporkan terselamat dari banjir itu dipercayai dicuri pada keesokan harinya.

Sementara itu, Mohd Khairi turut memberi maklumat mengenai balai polis dan pondok polis yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu.

“Sebanyak satu balai polis dan tiga pondok polis terjejas, iaitu Balai Polis Kuala Jengai, Pondok Polis Pasir Raja, Pondok Polis Felda Tenang Setiu, dan Pondok Polis Tepoh Kuala Nerus,” jelasnya.

Hujan lebat berterusan, air pasang besar punca banjir di Terengganu dan Kelantan

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan melebihi dua kali ganda di negeri Pantai Timur terutamanya di Terengganu dan Kelantan menjadi punca kejadian banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banjir besar berpotensi berlaku di 4,619 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai setelah hujan lebat berterusan melebihi enam jam.

“Jumlah purata hujan bergantung dengan tempat, ada yang melebihi dua kali ganda daripada jumlahnya, digabungkan dengan keadaan air pasang besar (menyebabkan limpahan air).

“Keadaan paras sungai kali ini lebih tinggi berbanding tahun 2014,” katanya pada sidang media selepas mendengar Taklimat Banjir Monsun Timur 2024/2025 di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di JPS Ampang, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata setakat ini Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167 mm).

Manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439 mm).

Sementara itu, beliau berkata rakyat di negeri Johor dan Pahang juga perlu bersiap siaga dalam menghadapi gelombang banjir.

“Kalau ikutkan aliran itu akan turun ke Pahang dan Johor, jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga sekarang ini dan kita akan memantau aliran-aliran air sungai dan hujan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, sebanyak 31 notis ramalan awal telah dikeluarkan PRABN di 11 negeri termasuk Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Ia termasuk 27 notis hebahan amaran banjir di 27 daerah membabitkan 518 kawasan banjir dan terkini, di Besut (7 kawasan) dan Setiu (3 kawasan) yang berisiko pada 3 hingga 6 Disember ini,” ujarnya.

Fadillah berkata orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak sebarang mesej berkaitan bantuan dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan (scam).

 

 

 

 

 

 

 

Thunderstorms, heavy rain, strong winds expected in eight states - MetMalaysia

KUALA LUMPUR: The Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia) has issued a weather warning for thunderstorms, heavy rain and strong winds in eight states, expected to continue until late this afternoon.

In a statement, MetMalaysia said the adverse weather conditions are also forecasted to affect the Federal Territories of Kuala Lumpur and Putrajaya.

The warning applies to all districts in Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan and Melaka. In Pahang, affected areas include Kuantan, Jerantut, Cameron Highlands, Raub, Bentong and Temerloh, while in Johor, the districts of Tangkak and Muar are expected to be impacted.

In Kedah, Kulim and Bandar Baharu have been identified as areas of concern. Meanwhile, in Perak, affected areas include Kerian, Larut, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Kampar, Bagan Datuk and Muallim.

In Sarawak, the warning covers Kuching, Serian, Samarahan, Bintulu and Miri.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search