Thailand akan uji sistem amaran bencana melalui telefon bimbit mulai Mei
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Thailand akan menjalankan ujian ke atas sistem amaran bencana melalui telefon bimbit pada Mei sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM), Phasakorn Boonyalak berkata, ujian pertama sistem Penyiaran Selular negara itu yang dilaksanakan dengan kerjasama enam agensi akan diadakan pada 2, 7 dan 13 Mei bagi menilai ketepatan dan kepantasan penyampaian amaran kepada orang ramai di pelbagai kawasan.
"Ujian ini bertujuan menilai koordinasi antara agensi serta kebolehpercayaan teknikal sistem sedia ada bagi memastikan amaran dapat disampaikan tepat pada masanya kepada penduduk di kawasan berisiko," katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang Jabatan Perhubungan Awam pada Khamis.
Phasakorn berkata, ujian itu akan melibatkan tiga peringkat amaran: skala kecil (dalam bangunan), skala sederhana (peringkat daerah) dan skala besar (peringkat wilayah).
Beliau menjelaskan, ujian akan meniru penyiaran kecemasan sebenar, dengan mesej automatik terpapar pada skrin telefon bimbit diiringi nada amaran yang kuat.
"Mesej ujian akan berbunyi: 'Ini adalah mesej ujian daripada DDPM. Tiada tindakan diperlukan.' Notifikasi akan dihantar dalam Bahasa Thai dan Inggeris bagi mengelakkan panik dalam kalangan orang awam," katanya.
Beliau turut menjelaskan, pendekatan ujian tiga peringkat itu akan bermula dengan ujian skala kecil dalam bangunan di lima lokasi pada 2 Mei, diikuti ujian skala sederhana peringkat daerah di lima kawasan pada 7 Mei dan diakhiri dengan ujian skala besar peringkat wilayah di lima wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Udon Thani, Ayutthaya dan Nakhon Si Thammarat pada 13 Mei.
"Selepas setiap ujian, agensi terlibat akan menilai prestasi sistem dan mengenal pasti ruang penambahbaikan. Penilaian ini akan memacu penambahbaikan teknikal dan prosedur untuk pelaksanaan akan datang," tambahnya.
Ujian ini dilaksanakan susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Wilayah Sagaing di Myanmar pada 28 Mac lepas, yang mengakibatkan gegaran dirasai di beberapa bahagian Thailand.
Gegaran itu menyebabkan runtuhan tapak pembinaan bangunan baharu Pejabat Audit Negara di Daerah Chatuchak, Bangkok, berhampiran Stesen Utama Bang Sue.
-- BERNAMA