270 rumah selamat diduduki semula
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 270 unit kediaman yang terjejas akibat kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, disahkan selamat untuk diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, membuat penilaian dalam jarak radius 325 meter dari tempat letupan.
“Semalam (Isnin) pihak polis mengumumkan 151 unit kediaman dikategorikan sebagai boleh diduduki dan hari ini (semalam) jumlah itu bertambah kepada 270 unit daripada keseluruhan 437 unit kediaman.
“Daripada 270 unit kediaman ini, ada beberapa perlu dilakukan pembaikan kecil selepas mengalami sedikit kerosakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sementara itu, Hussein berkata, dua langkah drastik diambil bagi mempercepat proses siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian letupan paip gas berkenaan.
Operasi 24 jam
Katanya, dua langkah itu membabitkan penambahan bilangan jentera dalam kerja pengorekan tempat kejadian, selain melaksanakan operasi selama 24 jam bermula kelmarin.
Beliau berkata, setiap agensi teknikal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta
Kumpulan PETRONAS memainkan peranan masing-masing dalam proses siasatan di tempat kejadian.
“Pada masa ini, tumpuan utama kita dalam mempercepat siasatan ini masih lagi dalam proses menstabilkan tanah untuk expose (memperlihatkan) keseluruhan kawasan saluran paip gas.
“Setiap peringkat terbabit dalam kerja proses siasatan dan pembaikan di sini dan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati,” katanya.
Hussein berkata, tempoh siasatan mungkin lebih awal berbanding tempoh dua minggu seperti diumumkan sebelum ini.