Selamat mangsa tertimbus 72 jam
- Admin UKK
- Berita
Pasukan MAS-01 Smart Nadma Operasi MyTeam Relief Gempa Bumi Myanmar, selamat kembali ke tanah air selepas selesai melaksanakan misi di tiga sektor kawasan gempa di Myanmar.
Pencapaian tertinggi dicatatkan selama tujuh hari di negara berkenaan adalah berjaya menyelamatkan seorang lelaki berusia 47 tahun yang ditemui hidup selepas 72 jam tertimbus dalam runtuhan sebuah hotel di Sektor Sagaing, Myanmar.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, Pasukan MAS-01 adalah satu-satunya pasukan Urban Search and Rescue (USAR) antarabangsa yang beroperasi di Sektor Sagaing dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di 11 kawasan runtuhan yang kebanyakan membabitkan struktur yang kompleks dan di luar keupayaan pasukan menyelamat tempatan.
Katanya, tiga sektor utama yang dipertanggungjawabkan kepada MAS-01 Smart Nadma bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah Naypyidaw, Mandalay dan Sagaing.
“Misi ini memberi peluang kepada pasukan Smart menguji tahap kesiapsiagaan dan pematuhan kepada piawaian USAR antarabangsa” Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar
“Selain menyelamatkan mangsa yang masih hidup, Pasukan MAS-01 Smart Nadma yang berada di Myanmar sejak 30 Mac lalu turut menemui dan mengeluarkan 10 mangsa yang sudah meninggal dunia termasuk empat kanak-kanak yang tertimbus dalam runtuhan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui 11 orang.
“Kecekapan anggota Smart, penggunaan peralatan dan kelengkapan (SAR) yang canggih dan berteknologi tinggi, kerjasama yang harmoni dengan pasukan tempatan serta keupayaan taktikal pasukan MAS-01 mendapat penghargaan daripada pemimpin dan komuniti setempat di Myanmar,” katanya selepas menyambut kepulangan 50 pegawai dan anggota MAS-01 di Markas Smart, Pulau Meranti, di sini.
Abdul Gapar berkata, misi ini memberi peluang kepada pasukan Smart menguji tahap kesiapsiagaan dan pematuhan kepada piawaian USAR antarabangsa.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam misi ini juga membuktikan komitmen negara terhadap prinsip kemanusiaan dan solidariti serantau dalam pengurusan bencana.
Terdahulu, Pasukan MAS-01 Smart Nadma selamat mendarat di Lapangan Terbang TUDM Subang, jam 5 petang, kelmarin, dengan menaiki dua pesawat pengangkut A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).