41 mangsa masih terima rawatan
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 41 daripada 149 mangsa yang terbabit dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya Selasa lalu, masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 19 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan, manakala 22 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
“Tiada mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada sebarang kematian dilaporkan,” menurut data harian dikeluarkan oleh KKM.
Dilaporkan terdapat 14 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Ampang.
Menurut KKM, seramai 108 pesakit sudah discaj dari kemudahan kesihatan awam dan swasta.
KKM turut memaklumkan aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan
Camelia, selain di pos kawalan tempat kejadian dengan 88 individu menerima intervensi MHPSS.
Tujuh pasukan yang terdiri daripada 25 anggota petugas kesihatan, dipertanggungjawabkan untuk memberikan sokongan MHPSS kepada mangsa kejadian. -Bernama