KUCHING, 1 Jan: Orang ramai perlu bersedia sepanjang masa terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL) dan bukan hanya bergantung kepada tarikh tertentu disebabkan ketidaktentuan taburan hujan dalam tempoh singkat.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah taburan hujan yang tinggi dalam masa singkat mampu menyebabkan paras air meningkat dengan cepat sekali gus mencetuskan banjir walaupun tanpa fenomena air pasang besar.
“Purata hujan di Sarawak ialah 5000 milimeter setahun tetapi sebelum ini di Bintulu, satu hari sahaja turun sehingga 900 milimeter.
“Apabila hujan mencapai tahap itu, kita tidak lagi memerlukan air pasang besar (king tide) untuk menimbulkan masalah kerana paras air sudah pasti akan naik,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi JPBNS menasihatkan penduduk terutama di kawasan rendah supaya sentiasa bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang musim MTL.
“Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran bahawa hujan dijangka berterusan selama dua hingga tiga hari manakala fenomena air pasang besar diramal berlaku pada 2 dan 4 Januari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Uggah menjelaskan, aspek pemantauan turut diperkasakan dengan operasi bilik gerakan yang berfungsi 24 jam bagi menyelaras maklumat cuaca, paras air serta operasi empangan Sungai Sarawak secara langsung.-TVS
KUCHING, 1 Jan: Fenomena banjir besar yang melanda tahun lalu menjadi pengajaran kepada Kerajaan Sarawak untuk memperkasa persiapan menghadapi banjir pada tahun ini termasuk melibatkan kebajikan mangsa dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) mengarahkan semua pihak berkuasa di peringkat bahagian diketuai residen dan pegawai daerah untuk berada dalam keadaan bersedia sejak Disember lalu.
“Pada masa ini, kami mengingatkan semula kepada semua pihak berkuasa untuk menyemak kedudukan mereka terutamanya berkaitan kesediaan PPS. Pastikan PPS bersih dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas dan kemudahan lain.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga bersiap sedia dengan bekalan makanan dan peralatan asas. Bekalan utama ditempatkan di Kota Samarahan dan beberapa pangkalan strategik lain manakala pembekal tempatan dilantik di beberapa bandar untuk membekalkan barangan yang diperlukan bagi memastikan mangsa dipindahkan ke PPS dapat tinggal dengan selesa,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri diarahkan untuk membuat pemeriksaan di setiap PPS selepas mangsa tiba termasuk memeriksa keadaan kesihatan seperti demam bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan dan kesihatan dipatuhi.
Dalam pada itu, Uggah menambah, setakat ini lima PPS dibuka di sekitar Kuching melibatkan Dewan Masyarakat Stapok, Dewan Sinar Budi Paru, Surau Ar- Rahman Kampung Sungai Batu, Surau Nurul Najin Kampung Darul Stapok dan Dewan Taman Malihah.-TVS
Banjir di Sinar Budi masuk hari ketiga
- Admin UKK
- Berita
KUCHING 1, Jan: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Kuching dilanda banjir termasuk Kampung Sinar Budi.
Tinjauan TVS mendapati paras air mula meningkat sejak awal pagi, sekali gus menjejaskan kediaman penduduk dan laluan utama kampung tersebut.
Bagi penduduk Kampung Sinar Budi, Zahari Zaidi,23, berkata, air mula memasuki rumah pada jam 12 tengah malam akibat hujan berterusan sejak semalam.
“Ini merupakan hari ketiga kejadian banjir. Air mula memasuki rumah sekitar pukul 12 tengah malam dan kami segera membersihkan kediaman namun begitu paras air masih kekal tinggi pada malam tadi, malah mencecah paras pinggang di dalam rumah” katanya ketika ditemui TVS di Kuching pada Khamis.
Selain itu bagi Abdul Zahri Jimmy,39, kejadian banjir pada tahun 2024 lebih teruk, namun air surut dengan cepat dalam tempoh satu hari sahaja.
“Tahun lalu, kejadian banjir dilaporkan lebih teruk, namun air surut dengan cepat dalam tempoh sehari sahaja berbeza dengan tahun ini, walaupun banjir tidak seteruk tahun 2024, penduduk terpaksa menunggu hampir dua hari untuk air surut, malah sehingga hari ini paras air masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Khalid Abdul Rahim berkata, pihaknya membuat persiapan awal menghadapi musim banjir termasuk menyediakan dewan kampung sebagai pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.
“Kami AJK kampung mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua minggu lalu bagi membuat persiapan membuka dewan sebagai pusat pemindahan sementara. Namun, kami tidak menjangkakan banjir berlaku awal tahun kerana kebiasaannya ia melanda sebelum atau selepas sambutan Tahun Baharu Cina akibat hujan lebat di hujung tahun.
“Walaubagaimanapun, pihak jawatankuasa kampung bersedia lebih awal dengan menyediakan pusat pemindahan bagi menempatkan penduduk kampung terjejas termasuk mereka yang berada di sekitar kawasan ini” jelasnya.-TVS
KUCHING: Sepuluh bahagian di Sarawak dijangka mengalami hujan berterusan hingga Sabtu ini yang berisiko mencetuskan banjir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada itu diramalkan melanda Bahagian Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman.
Turut berisiko diancam banjir ialah Bahagian Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Banjir melanda beberapa kawasan di Kuching sejak Rabu lalu berikutan hujan berterusan hingga 10 jam, menyebabkan 795 penduduk daripada 205 keluarga kini berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS yang aktif ialah Dewan Masyarakat Stapok; Dewan R Piang di Kampung Sinar Budi Baru; Dewan Surau Nurul Najhin, Stapok; Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu; Dewan Taman Malihah; dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Sejijak.
Sementara itu, bacaan taburan hujan sejak tengah malam tadi yang dikongsikan dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Stesen Rampangi di Kuching melalui Lembangan Sungai Santubong mencatat bacaan tertinggi, iaitu 198.5 milimeter (mm).
Ia diikuti Stesen Malihah, Sungai Sarawak (187mm), manakala Stesen Matang di Lembangan Sungai Sibu Laut pula 175.5mm.
Empat stesen di Kuching pula mencatat aras air tahap amaran membabitkan Stesen Malihah dengan bacaan 7.18 meter (m), Stesen Desa Wira (2.55m), Stesen Batu Kitang (3.41m) serta Stesen Jambatan Batu Kawa (2.72m).
PEKAN: "Pergerakan tanah masih berlaku terutama apabila hujan dan tidak mustahil rumah saya akan terus ranap menyembah bumi pada bila-bila masa saja," kata warga emas, Badariah Abd Wahab, 73.
Mangsa tanah runtuh itu menetap di Kampung Kota Perdana, Paloh Hinai, dekat sini berkata, kejadian tanah runtuh yang menyebabkan bilik mandi rumahnya runtuh pada 17 Disember lalu.
Katanya, kejadian tanah runtuh itu kali ketiga dialaminya yang mana sebelum ini pernah berlaku pada 2018 dan 2022, namun tidak menyebabkan kerosakan pada binaan rumahnya.
Tembok simen bagi menghalang kejadian tanah runtuh dibahagian belakang rumahnya dibina pada 2018 dan 2022 dengan kos kira-kira RM50,000, namun usaha berkenaan tidak berhasil apabila episod tanah runtuh dan hakisan tanah berulang pertengahan bulan lalu selepas hujan lebat.
"Kejadian baru-baru ini begitu serius apabila empat rumah sebaris dengan rumah saya turut terjejas, malah bahagian tandas dan dapur kini musnah sepenuhnya selepas tanah cerun bukit runtuh apabila hujan berterusan lima hari.
"Rumah kami kini tidak lagi selamat untuk diduduki, kami diarahkan berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya, ditemui di sini hari ini.
Dia yang tinggal bersama suami, Ramli Isa, 82, berkata dia dan tiga lagi mangsa tanah runtuh kini terpaksa menumpang sementara di inap desa milik penduduk yang disediakan oleh pihak Masjid Kampung Kota Perdana untuk tempoh sebulan.
"Saya buntu memikirkan nasib kami selepas ini, di mana akan menetap kerana untuk membaiki kerosakan rumah yang berlaku memerlukan perbelanjaan besar sedangkan kami tidak mampu.
"Saya merayu pihak kerajaan dapat membantu kami menyediakan rumah, tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Sabariah Karia, 74, menggesa supaya pembinaan tembok dan cerucuk dilakukan bagi menghalang kejadian tanah runtuh.
"Saya begitu sedih apabila melihat kerosakan yang berlaku pada rumah saya, bahagian dapur dan bilik air runtuh sepenuhnya apabila kejadian tanah runtuh berlaku ketika hujan lebat berterusan bulan lalu.
"Dalam kejadian itu saya dan suami tidak berada dalam rumah, saya bersyukur sangat.
"Hujan lebat berterusan selama lima hari selain kedudukan rumah di kawasan cerun bukit menjadi faktor tanah runtuh berlaku
"Rasa begitu berat ujian yang kami terima kali ini, terlalu sukar terutama apabila kini terpaksa menumpang di inap desa selama sebulan. Selepas ini, ke mana arah untuk kami berteduh," katanya yang pertama kali ditimpa kejadian seumpama itu.
