PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

37 tanah rancangan Felda Wilayah Jengka, kampung tradisi diminta siap siaga hadapi banjir

JERANTUT: Semua 37 tanah rancangan Felda di Wilayah Jengka dan kampung-kampung tradisi di sekitarnya diminta bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya banjir ekoran musim hujan yang berlarutan sejak semalam.

Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini meningkatkan risiko banjir terutama di kawasan rendah.

Menurutnya, pihak pengurusan Felda bersama jawatankuasa masyarakat setempat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan saluran komunikasi dengan pusat bencana di daerah masing-masing sentiasa berfungsi.

“Semua pihak perlu peka dengan keadaan semasa. Jika berlaku limpahan air atau tanda-tanda banjir, laporan segera hendaklah dibuat kepada pusat bencana untuk tindakan bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razak menegaskan, kesiapsiagaan penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, khususnya melibatkan keselamatan penduduk, harta benda serta kelancaran aktiviti harian di kawasan Felda.

Beliau turut mengingatkan agar penduduk tidak mengambil mudah amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa kerana musim tengkujuh kali ini dijangka lebih panjang dan berisiko tinggi.

“Penduduk di kawasan rendah perlu lebih berwaspada kerana mereka paling terdedah kepada ancaman banjir. Persediaan awal boleh membantu mengurangkan kesan buruk sekiranya bencana berlaku,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar semua jawatankuasa keselamatan dan kebajikan Felda bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kerjasama ini, katanya, akan memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada mangsa banjir, sekali gus mengurangkan tekanan yang dihadapi penduduk. – UTUSAN

Indonesia batal 22 lesen pembalakan susulan banjir, tanah runtuh di Sumatera

JAKARTA, 15 Dis: Kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas dengan membatalkan 22 lesen pembalakan yang meliputi kawasan seluas lebih satu juta hektar susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera, baru-baru ini.

Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama Presiden Prabowo Subianto di Istana Negara, hari ini.

Menurut beliau, pembatalan berkenaan membabitkan Perizinan Berusaha Pemanfaatan Hutan (PBPH) yang dikeluarkan kepada syarikat pembalakan, selaras dengan arahan langsung Presiden agar tindakan lebih tegas diambil terhadap pemegang lesen yang didapati bermasalah.

“Secara rasmi hari ini, atas arahan Presiden, saya mengumumkan pembatalan 22 PBPH dengan keluasan keseluruhan 1,012,016 hektar,” katanya.

Daripada jumlah itu, kawasan hutan di Sumatera yang terlibat meliputi keluasan kira-kira 116,198 hektar.

Raja Juli berkata, perincian pembatalan lesen berkenaan akan dimuktamadkan menerusi Surat Keputusan (SK) dan akan diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.

Langkah tersebut diambil susulan siri bencana banjir besar di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang dipercayai berpunca daripada alih fungsi hutan serta aktiviti pembalakan berlebihan.

Keadaan itu dibuktikan dengan penemuan sejumlah besar kayu balak yang dihanyutkan arus banjir, sekali gus memburukkan kesan bencana serta menyukarkan usaha menyelamat dan pemulihan.

Selain banjir, kawasan terlibat turut mengalami kejadian tanah runtuh yang dipercayai berkait rapat dengan kerosakan struktur tanah akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Kerajaan Indonesia menegaskan komitmennya untuk memperkukuh perlindungan hutan, mencegah kejadian bencana berulang serta memastikan aktiviti ekonomi dilaksanakan tanpa mengorbankan keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar. – TVS

Angka kematian akibat banjir di Maghribi meningkat ke 41

RABAT, 16 Dis: Sekurang-kurangnya 41 orang maut akibat banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat di Maghribi pada Ahad, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Di wilayah pesisir Atlantik, Safi, pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan berkata angka kematian meningkat kepada 37, dengan 14 yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

Di wilayah selatan Tinghir, empat orang maut selepas kenderaan mereka dibawa arus deras dan terbalik ke dalam sungai antara kawasan Fezou dan El Hafira, lapor portal berita tempatan Hibapress.

Menurut kenyataan itu banjir di Safi berlaku akibat ribut petir yang melanda dalam masa kira-kira sejam.

Puluhan rumah dan kedai di Bandar Safi dinaiki air, manakala kenderaan terbalik atau hanyut dibawa arus deras. Jalan raya juga rosak, menyebabkan gangguan lalu lintas yang meluas.

Pihak berkuasa Maghribi memberi amaran yang hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang. Sekolah di empat wilayah ditutup pada Isnin dan operasi tindak balas kecemasan berskala besar dilancarkan. – TVS

Beratus-ratus penerbangan dibatalkan akibat jerebu tebal di India

NEW DELHI: Beratus-ratus penerbangan dibatalkan atau ditunda semalam, apabila jerebu tebal menyelubungi ibu negara India dan kawasan sekitarnya.

Akhbar tempatan The New Indian Express melaporkan, akibat penglihatan yang terhad, syarikat penerbangan Indigo mengumumkan pembatalan 109 penerbangan, manakala Air India membatalkan 37 penerbangan.

Air India Express pula mengumumkan 20 penerbangan terjejas di seluruh rangkaiannya di India Utara, menurut pihak berkuasa negara itu, lapor Xinhua.

Sementara itu, akhbar Hindustan Times melaporkan 400 penerbangan tertunda kerana jarak penglihatan yang rendah akibat lapisan jerebu yang tebal menutupi kawasan ibu negara.

Purata Indeks Kualiti Udara (AQI) Delhi pula mencatatkan 498, berada di hujung kategori serius.

 

skala AQI diukur dari 0 hingga 500 dengan kualiti udara baik adalah pada paras di bawah 50, manakala paras berbahaya, jika skor melebihi 300.

Pencemaran udara di New Delhi sering memuncak pada musim sejuk kerana faktor seperti pembakaran sisa tanaman di negeri jiran, pelepasan asap kenderaan dan pembakaran sampah, yang terperangkap dalam suhu lebih rendah dan angin perlahan.

Bandar raya itu juga tidak pernah merekodkan walau satu hari 'udara bersih' sepanjang tahun ini, dengan bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) kekal tinggi melebihi skor 50.

Keadaan jerebu di New Delhi semakin memburuk sejak penghujung Oktober lalu, rekod rasmi sepanjang hujung minggu berada dalam julat teruk iaitu 400 hingga 500.

Kerajaan Delhi menggesa penduduk, terutamanya kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung, agar kekal di dalam rumah dan memakai pelitup muka jika keluar.

Aktiviti perindustrian dan trafik adalah penyumbang utama pencemaran udara di bandar itu, selain pembinaan yang pesat. Pencemaran udara dijangka terus meruncing pada musim sejuk.

–BERNAMA-Xinhua

Jalan rosak punca misi bantuan mangsa banjir Aceh terhalang

SHAH ALAM: Kerajaan Indonesia berdepan pelbagai kekangan terutama infrastruktur awam mengalami kerosakan sehingga menjejaskan kelancaran penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman.

Ia berikutan kekurangan aset dan jentera untuk digunakan bagi tujuan tersebut apabila masih terdapat kawasan-kawasan khususnya yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh melanda wilayah Sumatera Utara.

Aktivis organisasi bukan kerajaan (NGO) Al-Ain International Malaysia (AIM), Abdullah Sadzik yang berada di Aceh, Indonesia berkata, masih terdapat rumah-rumah penduduk yang terjejas teruk belum dibantu.

“Bagi yang mengalami kesan ringan, kelihatan mereka sudah pun mula atau siap membersihkan dan membaiki kerosakan akibat banjir.

“Namun, bagi rumah yang berdepan masalah banjir lumpur dengan ketebalan melebihi satu meter tidak boleh menyelesaikannya dengan tangan manusia sebaliknya memerlukan bantuan jentera untuk membersihkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, ketika ini kerajaan dilihat sedang mengutamakan pembersihan serta pembaikan infrastruktur seperti jalan raya, masjid, sekolah dan sebagainya.

Kata Abdullah, bantuan kemanusiaan yang dilakukan AIM kini memasuki hari ketiga dengan menyasarkan kawasan terjejas teruk di samping menyerahkan bakul bantuan asas.

“Kita sudah serahkan kira-kira 150 pek bantuan keperluan asas seperti bekalan makanan dan sebagainya kepada mangsa. Di peringkat awal kita mulakan dengan tinjauan.

“Kerja-kerja bantuan utama akan dilakukan pada Rabu dan Khamis dengan tambahan dua sukarelawan dari Malaysia yang akan tiba esok (hari ini). Ia akan melibatkan bantuan baik pulih rumah dan sebagainya bersama NGO-NGO di Indonesia,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat bantuan yang sudah pun dikumpulkan warga Aceh serta rakyat Malaysia berada di negara ini, namun sedang menunggu kebenaran kerajaan untuk dibawa masuk dan diedarkan. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search