Beratus-ratus penerbangan dibatalkan akibat jerebu tebal di India
- Admin UKK
- Berita
NEW DELHI: Beratus-ratus penerbangan dibatalkan atau ditunda semalam, apabila jerebu tebal menyelubungi ibu negara India dan kawasan sekitarnya.
Akhbar tempatan The New Indian Express melaporkan, akibat penglihatan yang terhad, syarikat penerbangan Indigo mengumumkan pembatalan 109 penerbangan, manakala Air India membatalkan 37 penerbangan.
Air India Express pula mengumumkan 20 penerbangan terjejas di seluruh rangkaiannya di India Utara, menurut pihak berkuasa negara itu, lapor Xinhua.
Sementara itu, akhbar Hindustan Times melaporkan 400 penerbangan tertunda kerana jarak penglihatan yang rendah akibat lapisan jerebu yang tebal menutupi kawasan ibu negara.
Purata Indeks Kualiti Udara (AQI) Delhi pula mencatatkan 498, berada di hujung kategori serius.
skala AQI diukur dari 0 hingga 500 dengan kualiti udara baik adalah pada paras di bawah 50, manakala paras berbahaya, jika skor melebihi 300.
Pencemaran udara di New Delhi sering memuncak pada musim sejuk kerana faktor seperti pembakaran sisa tanaman di negeri jiran, pelepasan asap kenderaan dan pembakaran sampah, yang terperangkap dalam suhu lebih rendah dan angin perlahan.
Bandar raya itu juga tidak pernah merekodkan walau satu hari 'udara bersih' sepanjang tahun ini, dengan bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) kekal tinggi melebihi skor 50.
Keadaan jerebu di New Delhi semakin memburuk sejak penghujung Oktober lalu, rekod rasmi sepanjang hujung minggu berada dalam julat teruk iaitu 400 hingga 500.
Kerajaan Delhi menggesa penduduk, terutamanya kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung, agar kekal di dalam rumah dan memakai pelitup muka jika keluar.
Aktiviti perindustrian dan trafik adalah penyumbang utama pencemaran udara di bandar itu, selain pembinaan yang pesat. Pencemaran udara dijangka terus meruncing pada musim sejuk.
–BERNAMA-Xinhua
