PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jalan rosak punca misi bantuan mangsa banjir Aceh terhalang

Jalan rosak punca misi bantuan mangsa banjir Aceh terhalang

SHAH ALAM: Kerajaan Indonesia berdepan pelbagai kekangan terutama infrastruktur awam mengalami kerosakan sehingga menjejaskan kelancaran penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman.

Ia berikutan kekurangan aset dan jentera untuk digunakan bagi tujuan tersebut apabila masih terdapat kawasan-kawasan khususnya yang terjejas teruk akibat banjir dan tanah runtuh melanda wilayah Sumatera Utara.

Aktivis organisasi bukan kerajaan (NGO) Al-Ain International Malaysia (AIM), Abdullah Sadzik yang berada di Aceh, Indonesia berkata, masih terdapat rumah-rumah penduduk yang terjejas teruk belum dibantu.

“Bagi yang mengalami kesan ringan, kelihatan mereka sudah pun mula atau siap membersihkan dan membaiki kerosakan akibat banjir.

“Namun, bagi rumah yang berdepan masalah banjir lumpur dengan ketebalan melebihi satu meter tidak boleh menyelesaikannya dengan tangan manusia sebaliknya memerlukan bantuan jentera untuk membersihkannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, ketika ini kerajaan dilihat sedang mengutamakan pembersihan serta pembaikan infrastruktur seperti jalan raya, masjid, sekolah dan sebagainya.

Kata Abdullah, bantuan kemanusiaan yang dilakukan AIM kini memasuki hari ketiga dengan menyasarkan kawasan terjejas teruk di samping menyerahkan bakul bantuan asas.

“Kita sudah serahkan kira-kira 150 pek bantuan keperluan asas seperti bekalan makanan dan sebagainya kepada mangsa. Di peringkat awal kita mulakan dengan tinjauan.

“Kerja-kerja bantuan utama akan dilakukan pada Rabu dan Khamis dengan tambahan dua sukarelawan dari Malaysia yang akan tiba esok (hari ini). Ia akan melibatkan bantuan baik pulih rumah dan sebagainya bersama NGO-NGO di Indonesia,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat bantuan yang sudah pun dikumpulkan warga Aceh serta rakyat Malaysia berada di negara ini, namun sedang menunggu kebenaran kerajaan untuk dibawa masuk dan diedarkan. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search