JAKARTA: Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Cisarua, Bandung Barat, Jawa Barat, meningkat kepada 34 orang sehingga semalam, ketika pasukan penyelamat Indonesia mempergiat usaha mencari puluhan lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah lumpur tebal dan runtuhan.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Bandung, Ade Dian Permana, pada sidang media berkata, sembilan mayat lagi ditemukan setakat jam 5 petang waktu tempatan.
Berdasarkan data daripada pentadbiran kampung tempatan, beliau berkata dianggarkan seramai 46 orang lagi masih tertimbus di lokasi kejadian.
Daripada keseluruhan 34 mayat yang ditemukan setakat ini, 17 daripadanya sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala pasukan forensik sedang meneruskan prosedur pengecaman bagi baki mangsa yang lain.
Kejadian tanah runtuh pada Sabtu lalu, berpunca daripada hujan lebat selama dua malam berturut-turut yang menyebabkan cerun curam di kawasan pergunungan Cisarua menjadi tepu dengan air.
Runtuhan tanah, batu dan pokok yang tumbang itu meranapkan kawasan kediaman, ladang serta kawasan hutan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan dinilai selepas tujuh hari, manakala tempoh tindak balas kecemasan selama 14 hari kekal dikuatkuasakan.
Indonesia kerap dilanda banjir dan tanah runtuh semasa musim hujan, yang biasanya bermula dari Oktober hingga Mac. – BERNAMA-XINHUA
KUCHING, 26 Jan: Rancangan menaik taraf jalan Batu 7 ke Bau kepada empat lorong kini diperingkat proses tender, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.
Beliau berkata, ia sangat penting kerana jalan sedia ada sempit dan tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas setiap hari.
“Kerajaan merancang pembinaan jalan empat lorong. Laluan empat lorong yang dicadangkan ini bermula dari lampu isyarat di Batu 7 hingga ke Bau. Kemudian, dari Kampung Bumbok ke Stephen Yong.
“Kerja bermula dari Bau dan diteruskan ke Stephen Yong kerana laluan itu merupakan jalan penting,” katanya ketika melawat lokasi tanah runtuh dan paip pecah di Jalan Batu Kitang, hari ini.
Menurutnya, apabila siap kelak, kenderaan bersaiz besar akan dapat menggunakan Jalan Stephen Yong untuk ke Bau dengan lancar dan laluan tersebut disambung ke Kampung Bumbok.
Tambahnya, hampir keseluruhan Jalan Stephen Yong mempunyai empat lorong namun hanya dari Kampung Bumbok ke persimpangan Jalan Wee Boon Ping masih dua lorong.
“Jika laluan ini tidak diperbesarkan, ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana jalan sedia ada sempit. Sebab itu projek dimulakan dari Bau turun ke Bumbok dan seterusnya ke Stephen Yong untuk dilebarkan kepada empat lorong,” ujarnya.
Lo berkata, peluasan jalan tersebut bertujuan meningkatkan kapasiti laluan, melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.-TVS
KOTA BHARU – Stesen Pam Kemubu 4 yang mampu membekalkan air ke kawasan sawah padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) semasa musim kemarau dijangka dapat berfungsi sepenuhnya pada awal bulan depan.
Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad berkata, ujian awal yang dijalankan terhadap dua daripada lapan pam tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang.
Beliau berkata, sehubungan itu, stesen yang menelan belanja hampir RM20 juta itu dijangka boleh berfungsi penuh pada Februari ini termasuk empat pam di Lemal, Pasir Mas.
“Kita yakin Kemubu 4 mampu menyediakan bekalan air mencukupi bagi 16,000 hektar kawasan sawah Kada melibatkan lebih 4,000 pesawah di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
“Justeru, Kada memutuskan hanya Stesen Pam Kemubu 2, 3 dan 4 akan diguna pada masa depan. Rumah Pam Kemubu 1 yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 2 Mac 1973 pula dimansuhkan daripada beroperasi penuh selepas ini,” katanya pada sidang media selepas sesi ujian awal sistem pam Stesen Pam Kemubu 4 di sini hari ini.
Khalid memberitahu, Stesen Pam Kemubu 1 masih menggunakan sistem lama yang memerlukan ketinggian paras air minimum 4.9 meter untuk berfungsi yang sukar dicapai dalam keadaan iklim semasa ketika ini.- KOSMO! ONLINE
Kuching: Seramai 25 penduduk daripada lapan keluarga menjadi mangsa pertama banjir gelombang kedua tahun ini, berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mereka adalah penduduk Kampung Seruyuk, di Sebuyau dalam Bahagian Samarahan yang terjejas akibat banjir selepas hujan berterusan sejak semalam.
Mangsa banjir itu kini berlindung di bangunan Masjid Lama Kampung Seruyuk yang dibuka sebagai PPS mulai jam 8 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah, hari ini.
Berdasarkan maklumat cuaca di laman web rasmi MetMalaysia kawasan berisiko di Sarawak ialah Kuching, Samarahan dan Mukah (Matu, Dalat dan Mukah).
Di Sabah pula cuaca buruk itu diramal berlaku di Sandakan (Telupid, Beluran dan Kudat).
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus memantau keadaan berikutan hujan berterusan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, rondaan dilakukan di beberapa kawasan berisiko banjir terutama yang berdekatan sungai serta taman perumahan yang dikenal pasti sering dilanda banjir.
