Jerantut: Cuaca panas hampir sebulan selepas banjir di Ulu Tembeling menyebabkan paras Sungai Tembeling susut sehingga dataran pasir terbentuk di beberapa lokasi.
Keadaan itu menyebabkan sungai cetek dan menyukarkan pergerakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Hamzah Wan Manah berkata, fenomena berkenaan adalah perkara biasa ketika musim kemarau.
Menurutnya, disebabkan paras sungai surut, beting pasir selebar hampir 100 meter dan sepanjang hampir 200 meter terbentuk di beberapa kawasan di sepanjang sungai itu.
"Namun, keadaan ini memberi 'rezeki bermusim' kepada penduduk kerana kawasan lubuk yang masih dalam dimanfaatkan untuk menangkap ikan.
"Lazimnya di kawasan lubuk itu Ikan seperti baung dan patin terperangkap akibat air surut.
"Bagaimanapun fenomena mengubah landskap apabila dataran pasir luas di tengah sungai mencetuskan pemandangan luar biasa," katanya ketika dihubungi.
Wan Hamzah berkata, beting pasir itu juga terbentuk di beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Tembeling termasuk di Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Sat dan Kampung Pagi.
Penduduk Kampung Mat Daling, Nurul Natasha Abdul Aziz, 25, berkata fenomena berkenaan bersifat bermusim dan sering berlaku ketika cuaca panas berpanjangan.
Menurutnya, kejadian ketika ini lebih ketara berbanding musim kemarau sebelum ini.
"Cuaca kering berpanjangan akan mengubah alur sungai dan menyebabkan beting pasir terbentuk tetapi aliran utama sungai masih dalam," katanya.
Nurul Natasha berkata, kejadian ini menyebabkan bot sering terkandas akibat paras air terlalu cetek.
"Bagaimanapun, sejak adanya jalan raya, pergerakan penduduk dari kawasan hulu ke Kuala Tahan tidak lagi terjejas," katanya.
Nurul Natasha berkata, jika keadaan seperti itu berterusan, ekonomi penduduk dijangka terjejas kerana ikan dalam sangkar mati.
Menurutnya, cuaca panas juga menyebabkan peningkatan suhu air turut menjejaskan hidupan ikan di sungai.
Tawau: Sebanyak 40 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini pagi tadi.
Kejadian jam 10 pagi itu dipercayai bermula daripada sebuah rumah di situ sebelum merebak pantas dan memusnahkan puluhan lagi rumah berhampiran namun tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Ketua Zon 5 Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Moilley Milin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.15 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi lapan minit kemudian.
"Kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.93 hektar, membabitkan rumah setinggan jenis tidak kekal yang dibina rapat antara satu sama lain.
"Selain itu, pasukan penyelamat berdepan kesukaran memadam kebakaran akibat tekanan air yang rendah serta tiupan angin tidak menentu, namun api berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.55 pagi. Operasi tamat jam 3.19 petang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu oleh beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air.
TAWAU, 2 Feb: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Kompleke Sukan Tawau di sini pada 5 petang tadi bagi menempatkan mangsa kebakaran melibatkan 40 rumah di Kampung Titingan pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau Mohd Shoffian Mohd Said berkata susulan kejadian itu, Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana kebakaran.
“Pengisytiharan ini dibuat berdasarkan laporan serta maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi berkaitan dalam JPBD,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan setakat ini seramai 310 mangsa membabitkan 70 ketua rumah direkodkan terjejas akibat kebakaran berkenaan.
Menurut kenyataan itu, mangsa terdiri daripada 104 lelaki, 102 wanita, 50 kanak-kanak lelaki dan 54 kanak-kanak perempuan, dengan jumlah mangsa ini dijangka meningkat.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau melaporkan kira-kira 40 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. -TVS
KUALA LUMPUR: Satu video memaparkan imej api menjulang dari jauh dikongsi di media sosial, mempunyai kaitan dengan kebakaran yang dilapor berlaku di kawasan Ampang, dekat sini.
Difahamkan, kebakaran itu di kawasan puncak bukit berhampiran Menara Indah Apartment, Taman Tun Abdul Razak, dekat Ampang.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Narmi B Othman, berkata mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran jam 8.47 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang digerakkan ke lokasi.
"Jentera tiba enam minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan kawasan hutan di puncak bukit yang sukar diakses berikutan ketiadaan laluan masuk ke lokasi api.
"Keadaan kebakaran adalah terkawal dan dilaporkan belum merebak setakat ini. Anggota bomba kekal bersedia di lokasi bagi memantau keadaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan empat anggota bersama sebuah jentera jenis Fire Rescue Tender (FRT) terbabit dalam operasi berkenaan dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terjejas.
BALING: Cuaca panas dan angin menyebabkan kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar, dekat sini sukar dipadam walaupun sudah memasuki 30 jam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pasukan bomba masih bertungkus-lumus di lokasi untuk memadam kebakaran.
Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan bahan sisa kering menyebabkan api cepat merebak terutama ketika panas terik.
"Operasi memadam turut dibantu lori Syarikat Air Darulaman (SADA) selain jentera bomba tanpa henti.
"Bomba melakukan teknik 'fire break' untuk memisahkan jarak kebakaran dan kawasan yang belum dijilat api," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, beberapa wakil agensi seperti SW Corp, Majlis Daerah Baling, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, terdapat dua jentera pengaut digunakan untuk melakukan kerja-kerja dalam operasi hari ini.
"Setakat ini masih terdapat kepulan asap dan api di lokasi, " katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah tapak pelupusan sampah di Kampung Besah, Mukim Tawar, di sini terbakar menyebabkan pasukan bomba melakukan pemadaman sebaik menerima panggilan jam 12 tengah hari semalam.
Kebakaran itu membabitkan bahan buangan di kawasan itu membabitkan sisa buangan domestik dan kilang berhampiran dan operasi ketika itu dilakukan lapan anggota serta dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
