KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh negeri masih mengaktifkan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 449 mangsa banjir daripada 157 keluarga, setakat jam 8 pagi ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 14 PPS masih beroperasi iaitu di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Selangor, Sabah, Pahang dan Perak.
Di Terengganu, sebanyak lima PPS dibuka iaitu empat di Hulu Terengganu dan satu di Kemaman, yang menempatkan 126 mangsa daripada 42 keluarga.
Sementara di Sarawak, dua PPS dibuka iaitu di Miri yang menempatkan 122 mangsa daripada 52 keluarga.
Keadaan Kelantan, Selangor, Sabah, Pahang dan Perak bertambah baik apabila hanya satu PPS beroperasi di semua negeri itu, sehingga kini.
Di Kelantan, PPS dibuka di Gua Musang yang menempatkan 54 mangsa banjir; Selangor di Gombak (47 mangsa); Sabah di Tawau (40 mangsa); Pahang di Cameron Highlands (38) dan Perak di Hilir Perak (empat mangsa).
Semua 449 mangsa banjir membabitkan masing-masing 146 lelaki dan perempuan, selain 157 kanak-kanak serta bayi.
Sementara itu di Kuala Terengganu, Zaid Salim melaporkan gelombang kedua banjir di negeri ini sejak petang semalam menyaksikan Kemaman menjadi daerah kedua terjejas selepas Hulu Terengganu dengan mangsa yang dipindahkan seramai 108 orang daripada 20 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 299 mangsa daripada 78 keluarga kini berlindung di lima PPS setakat jam 12 tengah malam tadi.
Menurut JPBN Terengganu, trend paras air di kawasan terbabit dilaporkan menaik, manakala cuaca masih hujan di beberapa lokasi.
KPT selaras pendaftaran, salur bantuan RM500 kepada pelajar Indonesia terkesan banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta akan mengambil tindakan segera untuk menyelaras pendaftaran serta penyaluran bantuan berjumlah RM500 seorang kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan akibat banjir yang melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan sejarah persaudaraan yang akrab, KPT menyokong penuh usaha dalam memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian, terutama ketika mereka berhadapan situasi getir jauh daripada keluarga.
"KPT juga akan memastikan semua proses dilaksanakan secara teratur bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
"Pada masa sama, kita turut mengambil maklum situasi rakyat Malaysia yang berada di Aceh, termasuk pelajar kita yang menuntut di beberapa institusi pendidikan di wilayah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan terjamin, KPT memutuskan satu bentuk bantuan khusus turut dipanjangkan kepada kumpulan pelajar Malaysia yang terkesan selaras dengan semangat kepedulian yang dizahirkan Kerajaan MADANI.
"KPT kini sedang berhubung rapat dengan pihak Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka.
"Tindakan susulan akan diambil segera termasuk penyelarasan bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang serta apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan," katanya.
Menurut Zambry, KPT turut mendoakan semua mangsa bencana diberikan kekuatan menghadapi ujian berkenaan dan mendoakan keselamatan seluruh pelajar Malaysia serta masyarakat di Indonesia.
"Kerajaan Malaysia melalui KPT kekal komited untuk memastikan tiada pelajar sama ada warga tempatan atau antarabangsa terbiar tanpa perhatian sewajarnya," katanya.
KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda ibu negara minggu lalu berpunca daripada hujan lebat pada kadar 116 milimeter.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata hujan lebat kira-kira sejam itu adalah jauh lebih tinggi berbanding purata kadar biasa iaitu 80mm.
"Kita meramalkan keadaan mungkin lebih teruk selepas ini sehingga 120mm, maka kemungkinan banjir memang boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee, di sini, hari ini.
Minggu lalu, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira satu jam.
Antara kawasan terjejas adalah Jalan Sentul Pasar di Taman Bahagia, Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh di Sentul dan Kampung Chubadak Dalam serta Batu 2 1/2 Jalan Ipoh.
Dr Zaliha berkata, pihaknya sudah menjalankan persiapan awal termasuk mitigasi banjir, selain mengenal pasti 15 'hot spot' banjir.
Katanya, beberapa tindakan seperti meletakkan amaran awal banjir turut dilaksanakan manakala amaran akan dikeluarkan kepada penduduk jika paras air naik mendadak.
"Kita juga bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam memantau keadaan cuaca dan dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
"Ini bagi memastikan agensi khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja mengorek dan mendalamkan kawasan dikenal pasti sebagai 'hotspot' banjir.
"Antara perkara berterusan dilakukan ialah untuk kita pastikan banjir dapat dikawal dengan baik.
"Seramai 370 pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan jika berlaku banjir atau bencana berkaitan monsun dan sebagainya," katanya.
MIRI, 11 Dis: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang bertungkus lumus memulihkan bekalan air serta membaiki jalan runtuh yang berlaku di kawasan Simpang Ngu berikutan arus deras ketika banjir melanda Bekenu sejak awal minggu ini.
ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata kerosakan itu menyebabkan gangguan bekalan air terutamanya di Kampung Saeh, Batu Niah dan Kuala Sibuti apabila paip pecah selepas struktur jalan terputus.
“Apabila jalan terputus kerana air deras, maka paip pun sama juga terputus. Inilah yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan perahu penyelamat ke beberapa kampung terjejas, hari ini.
Menurutnya, JBALB kini menggerakkan penghantaran air menggunakan lori tangki ke beberapa lokasi sementara kerja-kerja penyambungan paip sedang dijalankan.
Penduduk yang terjejas dibenarkan mengambil bekalan air di pusat pengumpulan yang disediakan.
Dalam masa sama, JKR sedang berusaha membuka semula laluan yang runtuh di Simpang Ngu bagi memastikan akses penduduk tidak terus terputus, sekali gus mempercepat pemulihan rangkaian paip yang terjejas.
Sementara itu, keadaan banjir di Bekenu menunjukkan perkembangan positif apabila paras air mula surut di kebanyakan lokasi, namun beberapa kawasan berhampiran laut masih berdepan risiko akibat pertembungan hujan di hulu dan air pasang besar.
Setakat pagi tadi, PPS SMK Suai menempatkan 50 keluarga melibatkan 109 mangsa, manakala enam keluarga lagi berlindung di PPS SK Kampung Angus.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan mengagihkan bakul makanan kepada mereka yang terjejas. – TVS
MIRI, 11 Dis: Perahu kecil dan ringan menjadi keperluan utama ketika laluan darat terputus akibat banjir di kawasan Bekenu.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus menyerahkan sebanyak 18 buah perahu untuk kegunaan penduduk dan sekolah yang terjejas.
“Saya tekankan perahu kecil sebab pertama ia ringan, boleh diangkat. Kalau kita di Kampung Saeh ini untuk sampai ke satu daripada rumah panjang kita di bahagian hulu, kita kena lalu ada bukit lagi. Jadi perahu ini bolehlah kita angkat dan ini tujuannya adalah untuk kes-kes kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan perahu penyelamat ke beberapa kampung terjejas, di sini hari ini.
Sementara itu, dua penerima bantuan perahu penyelamat di Bekenu menyifatkan sumbangan itu sebagai kelegaan besar untuk menghadapi musim banjir, terutama apabila laluan darat terputus.
“Perahu kecil yang boleh diangkat untuk kegunaan kecemasan. Pada tahun lepas, juga telah mengangkut budak-budak sekolah yang mengambil SPM dari rumah panjang mereka sampai ke sini. Tahun ini juga saya, satu kali lagi, ditugaskan untuk membawa dari rumah panjang mereka ke kawasan ini,” ujar Penghulu Ayai Sawing.
Bagi pihak sekolah pula, bantuan ini dilihat sebagai sokongan penting untuk memastikan pergerakan pelajar tidak terjejas.
“Sebelum ini bantuan bot belum pernah diterima. Sekurang-kurangnya bot ini mengurangkan beban guru dan warga sekolah kerana jalan darat ke sekolah terputus dan hanya boleh dihubungkan menggunakan bot. Ini kali pertama bantuan bot diberikan kepada pihak sekolah,” kata Penolong Kanan Pentadbiran SK Rumah Mentali, Rohaimee Samsu kepada media.
Penyerahan perahu ini dijangka membantu penduduk mengatasi cabaran pergerakan ketika banjir, khususnya bagi membawa pesakit, pelajar dan penduduk keluar dari kawasan terputus hubungan.
Antara yang menerima bantuan ini ialah Rumah Edward Asnan, Rumah Jelani, Rumah Nyala, Kpg Dagang Bekenu, Kpg Rambai, Rumah Aron, Rumah Willie Fernadez, Rumah Jenggie, Rumah Ayai, Rumah Sumping, Rumah Naomi Sikun, Rumah Richard Pilit, Rumah Sumob, Rumah Kilat, Rumah Segiong, Kpg Kelapa, SK Rumah Mentali, dan Rumah Babu. — TVS
