Lebih 200 kes kebakaran di Sarawak dalam tempoh dua minggu
- Admin UKK
- Berita
MIRI: Zon utara Sarawak terus mencatatkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi bagi tempoh 15 hingga 31 Mac 2026, dengan Miri merekodkan kes paling banyak berbanding kawasan lain.
Penguasa Kanan Bomba I Ismaidi Ismail berkata, Miri terus menjadi fokus utama kerana jumlah kes kebakaran terbuka yang tinggi.
"Dalam tempoh dua minggu ini, sebanyak 271 panggilan kebakaran terbuka diterima di Sarawak dengan Miri mencatatkan 86 kes.
"Sibu dan Mukah masing-masing mencatatkan 43 dan 41 kes, manakala Bintulu merekodkan 32 kes dan Kuching 21 kes. Kawasan lain seperti Betong (14), Kapit (6), Sarikei (5) serta Limbang (2) mencatatkan jumlah lebih rendah, " Katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Ismaidi berkata, pihak bomba Miri sentiasa bersiap siaga dan mempergiatkan rondaan serta operasi pemadaman untuk memastikan kebakaran dapat dikawal dengan segera.
Beliau turut menasihati orang ramai tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, khususnya di kawasan tanah gambut.
