Empat hutan terbakar dalam tempoh 24 jam
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan empat kes kebakaran hutan dalam tempoh kira-kira 24 jam.
Kebakaran dilaporkan berlaku di Jalan Batang Kali-Genting Highlands; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), Tanjung Sepat, Banting; Jalan Mawar 4A, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan Jalan As Salam, Taman Saffron, Bukit Sentosa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata semua kebakaran direkodkan berlaku antara jam 11.51 pagi semalam hingga jam 8 pagi hari ini.
"Kebakaran di Jalan Batang Kali-Genting Highlands berlaku di lereng bukit dengan anggaran kecerunan 70 peratus. Keluasan kawasan yang terbakar dianggarkan dua hektar. Untuk itu, seramai lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerah dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya jam 10.36 malam tadi. Beliau berkata, kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), Tanjung Sepat, membabitkan kawasan seluas 12 hektar.
"Terdapat anggaran 12 'spot' kebakaran dan tiga 'spot' utama. Tindakan awal adalah melakukan 'fire break' dengan menggunakan empat excavator. Ketika ini kerja-kerja kawalan dan pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba BBP Banting yang dibantu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM)," katanya
Katanya, kebakaran yang dilaporkan di Jalan Mawar 4A, membabitkan kawasan seluas 17 hektar yang berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi hari ini, manakala kebakaran di Jalan As Salam, membabitkan tiga hektar kawasan hutan juga berjaya dipadamkan.
