Lakukan kajian geoteknikal Jalan Kenyir-Felda Aring
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Kajian geoteknikal terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti zon tanah lemah dan cerun tidak stabil di Jalan Kenyir-Felda Aring sepanjang kira-kira 230 kilometer yang kerap berlaku kemalangan, mendap dan runtuh sehingga meragut nyawa.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dr. Wan Noor Hin Mior Sani berkata, ia adalah pendekatan jangka panjang yang menyeluruh khususnya bagi mengelak kejadian runtuhan jalan berulang di kawasan berisiko tinggi.
“Selain itu, reka bentuk cerun dan sistem saliran perlu dipertingkat dengan mengambil kira perubahan iklim dan peningkatan intensiti hujan.
“Ini termasuk pembinaan saliran bawah tanah, longkang bawah tanah dan penggunaan struktur penstabil cerun seperti tembok penahan, sistem paku tanah dan geosintetik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, Jalan Kenyir-Felda Aring yang dibina dengan matlamat membuka akses pedalaman dan memendekkan jalan di antara Gua Musang-Cameron Highlands dan Terengganu kini berterusan membawa risiko keselamatan.
Ia berikutan tanah runtuh, mendapan dan kemalangan berlaku berulang kali walaupun selepas ratusan juta ringgit dibelanjakan termasuk membina serta menyelenggara laluan sepanjang kira-kira 230 kilometer itu.
Wan Noor Hin berkata, pemantauan cerun secara berterusan menggunakan peralatan seperti inklinometer, piezometer dan sistem amaran awal juga penting bagi mengesan pergerakan tanah pada peringkat awal sebelum kegagalan besar berlaku.
“Penyelenggaraan berkala dan kawalan hakisan turut perlu ditingkatkan selain penguatkuasaan perancangan guna tanah di kawasan berbukit perlu diperkasa bagi memastikan kestabilan jangka panjang dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. –utusan
