PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

'Tiada apa lagi yang tinggal, sambut raya ala kadar sahaja' - Mangsa banjir

JOHOR BAHRU: Sambutan Aidilfitri tahun ini paling syahdu dan pilu bagi mangsa banjir di Johor apabila mengenang kesan kerosakan dialami masing-masing, selain timbunan kelengkapan rosak dan dipenuhi lumpur.

Meskipun banjir surut sejak Jumaat lagi, kerja pembersihan belum selesai sehingga hari ini dengan penduduk tidak menolak kemungkinan ia akan berlarutan sehingga Syawal.

 

Tinjauan BH di Kampung Seri Jaya, Taman Perling di sini mendapati sampah dan sisa kerosakan akibat banjir dikumpulkan penduduk di tepi jalan untuk memudahkan kutipan dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Malah sepanjang laluan di bahu jalan dari Kampung Jaya Baru menuju Kampung Seri Sedang Baru dipenuhi sisa sampah barangan penduduk yang rosak dan musnah akibat banjir.

Seorang penduduk, Rubiah surat, 74, menyifatkan banjir melanda paling buruk sejak menetap di kawasan itu 50 tahun lalu sehinggakan dia sendiri tidak mampu lagi bersedih melihat keadaan rumah, pakaian, televisyen, mesin basuh, peti air yang semuanya dipenuhi lumpur.

"Tiada satu pun pakaian kering untuk kami, semuanya basah terkena banjir. Baju raya lengkap yang anak belikan untuk makcik dan pakcik juga basah dan berbau busuk.

"Makcik keluar rumah ketika banjir Khamis lalu, sehelai sepinggang. Beg dijunjung hanya ada dokumen," katanya.

Ditanya mengenai kerosakan, Rubiah berkata kediaman serta barangan termasuk makanan seperti beras dan ayam yang dibelanjakan sehari sebelum banjir melanda rosak dan busuk.

Bukan itu sahaja, katanya kuih raya yang dibeli juga digenangi air dan rosak semuanya.

"Sedih lihat makanan rosak, bawang, pinggan mangkuk plastik habis berbau busuk, terpaksa buang... kalau gunakan semua bimbang jadi penyakit.

"Raya kali ini tetap raya tetapi memang tiada apa, ziarah kubur dan duduk di rumah. Juadah raya pun belum fikir macam mana nak masak sebab dapur dan tong beras pun hanyut.

"Tangan dan kaki tak tahu nak gambarkan sakit dan lenguh macam mana sebab berkemas tak berhenti. Anak-anak datang hujung minggu lalu, kerja berat basuh rumah semua mereka buat, makcik nak selesaikan basuhan kain baju yang masih elok boleh basuh, makcik basuh dan jemur.

 

"Nak hantar dobi semua penuh sampai sebelum sahur pun ada orang cuci baju," katanya.

Nasib sama menimpa suri rumah, Jamaliah Yusuf, 45, yang menanggung kerugian apabila biskut raya dijual secara tempahan hanyut dan rosak semuanya, manakala permaidani dan pakaian raya yang dibeli basah dan berbau busuk.

"Sehari sebelum banjir, nasib baik dapat hantar sebahagian besar kuih tempahan pelanggan. Ada sebahagian lagi rosak dan dibuang.

"Baju raya memang sediakan awal untuk sekeluarga, tetapi semuanya sudah basah. Apa yang boleh guna kita guna semula. Raya ala kadar saja tahun ini penuh dugaan buat kami," katanya.

 

Dua jambatan rosak akibat hujan lebat, arus deras

JOHOR BAHRU: Struktur tiang jambatan di Kampung Tenang, Ulu Tiram di sini patah, manakala jambatan Batu 20 Mukim Sungai Tiram yang berjarak kira-kira tujuh kilometer dari kampung berkenaan pula runtuh berikutan hujan lebat berterusan dan arus deras baru-baru ini.

Ketua Kampung Ulu Tiram Mukim Plentong, Shazrul Idham Abd Aziz, berkata jambatan Kampung Tenang iaitu satu-satunya laluan utama bagi 1,040 penduduk daripada 260 keluarga itu ditutup dan hanya boleh dilalui motosikal selepas dua tiangnya patah pada Jumaat lepas.

Beliau berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Masni Wakiman dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta dibangkitkan dalam mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Jurutera JPS telah membuat pemantauan dan setakat ini kita sedang menunggu maklumat lanjut berkaitan tindakan susulan sama ada ia akan dibaik pulih atau diganti baharu.

"Sehingga kini penduduk hanya boleh keluar masuk kampung itu menggunakan motosikal. Jadi saya harap kerja pembaikan boleh dipercepatkan memandangkan Aidilfitri semakin hampir. Bagaimanapun kita maklum untuk proses membaik pulih ia akan mengambil masa," katanya kepada Bernama.

 

Shazrul Idham berkata setakat ini tiada lokasi yang dilihat bersesuaian untuk pembinaan jambatan sementara dan jalan alternatif sedang dikenal pasti dengan kerjasama pemilik tanah di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Tiram Mohamad Misri berkata jambatan Batu 20 runtuh pada Ahad, sekali gus menyebabkan lebih daripada 1,000 penduduk Kampung Pasir, Kampung Dagang, Kampung Orang Asli Sungai Tiram dan Kampung Seri Perdana perlu menggunakan jalan alternatif melalui Kampung Sungai Redan.

"Setakat ini, hanya itu jalan alternatif yang boleh dilalui, walaupun jalan itu agak jauh dan ada sebahagiannya tidak berturap," katanya.

Beliau berkata Pegawai Daerah Johor Bahru bersama Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan delegasi serta Jabatan Kerja Raya telah melawat lokasi kejadian, berkaitan perancangan membina jambatan sementara.

"Kesemua pihak berbincang dan bersetuju membina jambatan sementara sebelum perayaan Aidilfitri. Kerajaan negeri akan membina jambatan kekal selepas itu," katanya sambil berharap usaha itu berjalan lancar. – BERNAMA

Public Bank tawar bantuan bayaran balik pinjaman pelanggan terjejas banjir di Johor

KUALA LUMPUR: Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik untuk pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas oleh bencana banjir di Johor.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bencana banjir di Johor baru-baru ini menyebabkan ramai orang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian.

Justeru, beliau berkata, Public Bank terus komited untuk meringankan beban pelanggan yang terjejas.

"Bantuan kewangan ditawarkan kepada pelanggan yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan.

Bantuan bayaran balik itu, yang turut ditawarkan kepada daerah lain yang terjejas banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan dilanda bencana banjir di negara ini termasuk penangguhan ansuran bulanan bagi pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan.

Ia juga termasuk pengecualian caj bagi penggantian dokumen berkaitan perbankan, misalnya kad bank, buku akaun bank dan resit Deposit Tetap/Deposit Bertempoh-i yang telah musnah atau hilang semasa banjir.

Public Bank berkata, kerjasama segera telah dibuat dengan syarikat subsidiari kumpulan, Lonpac Insurance Bhd untuk proses tuntutan segera oleh pelanggan yang terjejas bagi kerugian yang dilindungi di bawah polisi insurans yang ditaja jamin oleh Lonpac.

Pelanggan yang terjejas oleh banjir dinasihatkan agar menghubungi bank untuk bantuan bayaran balik.

Selain itu, Public Bank juga adalah institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia.

Kemudahan itu bertujuan untuk pembaikan dan/atau penggantian aset bagi kegunaan perniagaan seperti loji dan jentera yang telah rosak akibat banjir, serta untuk keperluan modal kerja.

Pelanggan yang ingin memohon bantuan bayaran balik atau memerlukan maklumat lanjut, boleh kunjungi cawangan Public Bank atau hubungi talian am bank melalui 03-2170 8000.

Bagi perkara berkaitan dengan tuntutan insurans, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Lonpac melalui 03-2262 8688.

 

Johor's post-flood cleanup in full swing; over 315 tonnes of waste cleared

JOHOR BARU: The post-flood cleanup across Johor is progressing well, with 315.74 tonnes of waste from affected areas cleared as of March 25.

The figure is expected to climb to 500 tonnes as efforts continue.

State Housing and Local Government Committee chairman Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor said nearly 1,000 workers have been mobilised to speed up the process, ensuring affected communities can recovered quickly.

"Local authorities have played a crucial role in this operation, including Johor Baru City Council (MBJB), Iskandar Puteri City Council (MBIP), Pasir Gudang Municipal Council (MBPG), and the district councils in Kota Tinggi, Segamat and Kulai," he said in a statement today.

The cleanup involves 144 roll-on roll-off (RORO) bins, 11 open tipper trucks, and 31 excavators — designed for digging, excavation, and earth-moving tasks — to expedite debris removal.

 

While thanking government agencies, local councils, and volunteers for their efforts, Jafni acknowledged logistical challenges.

However, he gave his assurances that coordination would be improved to manage flood waste more efficiently.

The state government is also planning long-term flood mitigation measures, including upgrading drainage infrastructure and conducting engineering studies to identify vulnerabilities, he said.

"Talks with the federal government for additional funding on large-scale flood mitigation projects are also underway.

"Residents are urged to cooperate with local authorities by reporting areas still in need of cleanup. "Together, we will rebuild stronger communities," said Jafni.

 

Banjir: JB, Kluang dan Kota Tinggi pulih sepenuhnya

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini hampir pulih apabila hanya tinggal 909 mangsa yang masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi melibatkan dua daerah.

Jumlah itu merupakan pengurangan berbanding seramai 1,853 mangsa di 20 PPS, pada pukul 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, dua daerah masih terjejas adalah Batu Pahat serta Pontian.

“Batu Pahat menyaksikan seramai 617 mangsa daripada 191 keluarga masih ditempatkan di lima PPS, manakala seramai 292 mangsa daripada 83 keluarga berada di lima PPS di Pontian.

“Jabatan Metereologi bagaimanapun telah mengeluarkan amaran ribut petir bagi daerah Tangkak, Muar dan Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Azmi, dua sungai di negeri ini masih berada pada paras amaran iaitu Sungai Senggarang di Batu Pahat dan Sungai Ayer Hitam di Pontian.

“Tiada mana-mana jalan ditutup akibat banjir, selain tiada sebarang kecederaan direkodkan sepanjang tempoh negeri ini dilanda banjir sejak Khamis lalu,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search