PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Paras Empangan Bukit Merah kritikal

PETALING JAYA: Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak berada pada tahap kritikal dengan penggunaan air hanya berbaki 12.21 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, paras kedalaman air juga mencatatkan paras membimbangkan iaitu 19.80 kaki sejak Monsun Barat Daya melanda negara.

Katanya, situasi tersebut sekaligus menjejaskan penggunaan untuk ribuan penduduk di kawasan yang menerima sumber dari kawasan tadahan itu.

“Bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi melaksanakan pembenihan awan amat diperlukan disebabkan kawasan persekitaran seperti sawah padi dan keperluan air domestik mengalami penyusutan air yang agak ketara.

“Laporan MetMalaysia memperlihatkan kesahihan perkara itu dan kita telah membawa 6,000 liter larutan garam Natrium Klorida di dalam empat tangki besar untuk disemburkan di sekitar kawasan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan menaiki sebuah pesawat milik TUDM jenis C-130 Hercules di Pangkalan Udara TUDM Subang, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan itu berjaya apabila hujan lebat berlaku 45 minit selepas operasi tersebut.

Katanya, operasi penyemburan larutan garam dilaksanakan pada awan Kumulus Menara yang bergerak dari arah Barat dan Selat Melaka menuju ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.

“Sebelum saya kembali ke Pangkalan Udara TUDM Subang, (kami terima) laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 45 minit setelah semburan itu dilakukan hujan lebat telah berlaku.

“Jadi usaha saintifik dan dengan pertolongan Allah SWT, kita harap pengairan sawah padi di kawasan itu, perikanan dan mitigasi air dapat diatasi,” ujarnya lagi.-UTUSAN

 

Banjir Texas, tiga masih hilang angka kematian cecah 135

WASHINGTON, 21 Julai – Pihak berkuasa di Texas mengesahkan hanya tiga individu masih dilaporkan hilang susulan bencana banjir besar yang melanda negeri itu awal bulan ini.

Banjir kilat berlaku akibat hujan lebat pada 4 Julai lalu telah meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa di kawasan tengah Texas, termasuk lebih 30 kanak-kanak.

Pasukan mencari dan menyelamat terus menyusuri tebing Sungai Guadalupe di Kerr County – kawasan yang paling teruk terjejas – dalam usaha mengesan penduduk terjejas banjir.

Pusat Maklumat Bersama Bencana Banjir Kerr County dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan lanjut menunjukkan majoriti individu yang pada awalnya dilaporkan hilang telah dikenal pasti selamat.

"Ketika ini, hanya tiga individu masih hilang dalam bencana banjir yang berlaku pada 4 Julai," menurut kenyataan itu.

Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice berkata, lebih 1,000 anggota dari agensi tempatan, negeri dan persekutuan bertungkus-lumus menjalankan operasi pemulihan dan mencari mangsa.

"Hasil usaha luar biasa ini telah mengurangkan jumlah individu yang dilaporkan hilang daripada lebih 160 kepada hanya tiga," ujarnya.

Beberapa kematian turut dilaporkan di daerah lain, termasuk mayat seorang ketua bomba yang masih hilang di Burnet County.

Banjir tersebut mengakibatkan kemusnahan besar termasuk Camp Mystic, yang mencatatkan 27 kematian membabitkan pelatih dan kaunselor wanita.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama isterinya, Melania, telah melawat kawasan bencana pada 11 Julai lalu.

Beliau mengarahkan tindakan awal serta perancangan berkaitan dalam usaha membantu penduduk terjejas banjir dan menyerahkan pengurusan kecemasan persekutuan kepada pihak negeri. – AFP

Taufan Wipha: Hong Kong keluar amaran tertinggi, lebih 500 penerbangan dibatalkan

HONG KONG: Taufan Wipha menghampiri Hong Kong memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran tertinggi dengan lebih 500 penerbangan dibatalkan.

Kira-kira 200 penduduk dalam radius kawasan berisiko ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Taufan Wipha yang dikesan sekitar 60 kilometer ke tenggara Hong Kong dijangka membawa angin kencang melebihi 118 kilometer sejam.

Pasukan kecemasan menerima puluhan laporan membabitkan insiden pokok tumbang dan kerosakan harta benda.

Sebahagian besar sekolah ditutup, manakala pengangkutan awam terjejas dengan perkhidmatan kereta api terhad kepada laluan tertutup sahaja.

Pihak berkuasa memberi amaran berwaspada terhadap cuaca buruk yang dibimbangi memberi ancaman serius kepada keselamatan awam. – AFP

 

Korea Selatan: Presiden Lee arah perisytiharan segera zon bencana khas

SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Ahad mengarahkan kerajaan untuk mencari jalan bagi mengisytiharkan dengan segera kawasan yang terjejas teruk akibat hujan lebat baru-baru ini sebagai zon bencana khas, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik jurucakapnya.
 
Lee juga menyeru agar tinjauan pantas dilakukan terhadap skala kerosakan akibat hujan dan tanah runtuh yang mula melanda negara itu sejak Rabu lalu, kata Kang Yu-jung dalam satu kenyataan kepada media.
 
Zon bencana khas berhak menerima bantuan kerajaan bagi kerja pemulihan kerosakan dan bantuan kepada mangsa terjejas.
 
Setakat 11 pagi, seramai 14 orang disahkan maut manakala 12 yang lain masih hilang akibat hujan lebat, menurut kerajaan dan Agensi Bomba Kebangsaan.
 
Kerajaan turut menubuhkan pasukan sokongan pemulihan antara agensi pada awal hari Ahad.
 
"Kementerian Dalam Negeri, kementerian lain yang berkaitan serta kerajaan tempatan yang terjejas akan menggerakkan sepenuhnya semua sumber yang ada dan melaksanakan kerja pemulihan kecemasan dengan segera," kata Menteri Dalam Negeri Yun Ho-jung di bandar Sejong, sambil memaklumkan bahawa tumpuan kerajaan kini beralih daripada bertindak balas terhadap hujan kepada pemulihan kerosakan.
 
Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Perdana Menteri Kim Min-seok telah mengarahkan Menteri Pertanian Song Mi-ryung untuk melawat daerah Sancheong di selatan negara itu dan merangka langkah sokongan.
 
Sancheong mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam insiden itu.
 
Perdana menteri turut mengarahkan Menteri Dalam Negeri supaya melawat kawasan terjejas pada Isnin untuk meninjau keadaan penduduk serta merangka pelan sokongan yang lebih terperinci.
 
-- BERNAMA

Kebakaran hutan Riau: Rokan Hulu catat jumlah tertinggi, 107 titik panas

PEKAN BARU: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengesahkan sebanyak 259 titik panas menunjukkan kebakaran hutan dan tanah di seluruh Riau telah dikesan.

Wartawan Kompas TV Riau, Atika Azzura berkata, daerah Rokan Hulu mencatatkan 107 titik panas pada hari ini sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi berbanding daerah lain.
 
"Namun pada masa ini, kami ingin memaklumkan bahawa Riau mencatat jumlah titik panas atau hotspot terbanyak di Pulau Sumatera hari ini. Hal ini dapat dilihat di kawasan Rokan Hulu, yang mencatat sebanyak 107 titik panas.
 
"Hal ini didorong oleh tiupan angin panas yang agak kuat di wilayah Rokan Hulu itu sendiri. Bukan sahaja di Rokan Hulu, terdapat juga beberapa lokasi lain di provinsi Riau seperti di Rokan Hilir, Pulau Lawan dan juga Kampar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
 
Katanya, jumlah titik panas diikuti, 95 di Rokan Hilir, Bengkalis (lima), Kampar (10), Pelalawan (tujuh), Kuantan Singingi (dua), Indragiri Hulu (satu), Siak (15), dan Kota Dumai (17).
 
Atikah berkata, sehingga kini pihak berkuasa belum memberi maklumat terperinci mengenai punca kebakaran hutan di wilayah Riau yang asapnya sudah merentasi sempadan Malaysia.
 
"Sehingga kini, masih belum ada maklumat yang jelas daripada pihak polis mengenai punca sebenar kebakaran hutan yang berlaku.
 
"Namun, satu perkara yang pasti, sebahagian besar wilayah Riau diliputi kawasan tanah gambut yang luas, mudah terbakar terutama ketika memasuki musim kemarau seperti sekarang. Keadaan ini turut menyumbang kepada kewujudan banyak titik panas yang sukar dihampiri oleh pihak bomba," katanya
 
Mengulas lanjut, setakat ini tiada arahan berpindah dikeluarkan memandangkan lokasi kebakaran berlaku di kawasan berkepadatan penduduk rendah.
 
Mengulas lanjut, setakat ini tiada arahan berpindah dikeluarkan memandangkan lokasi kebakaran berlaku di kawasan berkepadatan penduduk rendah.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search