PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

1,167 anggota APM Johor siap sedia hadapi gelombang kedua banjir

JOHOR BAHRU – Seramai 1,167 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir susulan peralihan monsun yang masih berisiko membawa hujan lebat.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata, walaupun Monsun Timur Laut berakhir pada 25 Mac lalu, keadaan cuaca tidak menentu dalam tempoh peralihan Monsun Barat Daya boleh menyebabkan hujan dan banjir kilat terutama di kawasan rendah.

“Kita tetap bersedia sepanjang tahun tidak kira musim monsun atau sebaliknya untuk memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Fokus utama APM adalah operasi menyelamat dan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin APM Peringkat Zon Selatan sempena Aidilfitri 2025 pada Rabu.

Mengulas lanjut, Kamal memaklumkan, anggota bakal ditempatkan di daerah berisiko tinggi bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana.

Mengulas kemungkinan mendapatkan bantuan luar, beliau berkata, APM Johor akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan bersedia menggerakkan anggota tambahan dari negeri jiran seperti Melaka serta Negeri Sembilan sekiranya diperlukan.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal, tetapi jika situasi semakin buruk, kita akan mohon bantuan dari negeri berdekatan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

"Kita juga harapkan semua PPS yang masih dibuka dapat ditutup sebelum Aidilfitri bagi membolehkan mangsa pulang dan menyambut lebaran bersama keluarga tercinta.

Sementara itu, Kamal memaklumkan, pihaknya turut melaksanakan OP Prihatin APM bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena musim perayaan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu inisiatif bantuan jalan raya dijalankan serentak di seluruh negara bermula 28 Mac hingga 6 April depan.

“Sebanyak 300 anggota APM Johor ditempatkan di lokasi hotspot kemalangan dan kesesakan.

"Operasi ini menyediakan bantuan seperti menangani kerosakan kecil kenderaan, mengalihkan kenderaan rosak, membersihkan halangan di jalan serta mengawal trafik di lokasi kemalangan,” katanya.

Ujar beliau, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Operasi TIN menerusi laman web rasmi APM di www.civildefense.gov.my atau melalui media sosial rasmi APM di Facebook, Instagram dan TikTok.

Tambahnya, kod QR Info Prihatin APM turut dikongsi di platform tersebut bagi membolehkan pengguna mengetahui kaedah penyelamatan sebagai perawatan awal dalam kecemasan sekiranya diperlukan.

Sudah seminggu 'banjir termenung' tak surut-surut

PONTIAN – Keadaan banjir termenung di Kampung Sungai Besar, Benut di sini, yang berlarutan sejak seminggu lalu terus meresahkan penduduk yang masih berteduh di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Penduduk, Abdul Rahim Omar berkata, hujan lebat sejak seminggu lalu menyebabkan rumahnya digenangi air dan sehingga kini masih belum surut sepenuhnya.

"Sejak Rabu minggu lepas, rumah sudah ditenggelami banjir sedalam 0.2 meter. Hujan lebat menyebabkan saya dan isteri, Kamariah Bachok, 49, serta lima orang anak bergilir-gilir memerhatikan keadaan rumah berikutan bimbang paras banjir terus meningkat.

"Kami sekeluarga terus diuji pada petang Ahad lalu apabila hujan turun semakin lebat, menyebabkan rumah dinaiki air sehingga paras 0.5 meter dan terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Tampok," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pekebun sawit itu berkata, kawasan kampungnya tidak pernah dilanda banjir sejak 2006, selepas kejadian banjir besar yang melanda ketika itu.

"Banjir tidak surut lagi, risau barang dalam rumah rosak. Walaupun kami sudah dibenarkan pulang dari PPS pada pagi Rabu, tetapi perasaan bimbang banjir berulang tetap ada.

"Saya dan anak mengangkat peti ais serta mesin basuh ke tempat lebih tinggi, takut kalau petang ini hujan, rumah akan dinaiki air lagi," katanya.

Ditanya mengenai persiapan raya, Abdul Rahim mengakui tidak banyak persiapan yang dibuat kerana rumahnya sudah dinaiki air sejak seminggu lalu.

"Ada sedikit kuih raya yang sudah dibeli. Itu pun selamat daripada banjir sebab diletakkan di rak yang tinggi.

"Rasanya sekarang ini, tiada semangat hendak sambut raya sebab risau banjir berulang disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan turun pada setiap petang," katanya.

Justeru, beliau berharap parit dan sistem saliran di kampung dapat diselenggara dengan baik bagi memastikan aliran air lancar sekali gus mengelakkan kejadian banjir.

Flood-hit schools in Johor shift to online learning

JOHOR BARU: Pupils and teachers from two flood-ravaged schools will continue home-based learning (PdPR) until Friday due to severe infrastructure damage from last week's floods.

SK Kangkar Tebrau and SK Maju Jaya in Seelong, both located in the state capital, suffered losses exceeding RM100,000, forcing temporary closures.

State Education and Information Committee chairman Aznan Tamin said eight schools were initially affected since last Thursday, but six have since resumed physical classes.

The six schools are SK Kampung Pulai, SK Tampoi Utama, SMK Taman Kota Jaya, SJKC Pei Hwa, SK Bandar in Kota Tinggi, and SK Seri Perpat in Batu Pahat.

The two worst-hit schools remain shut due to damage to classrooms, computer laboratories, assembly areas and canteens. The Johor Education Department approved PdPR for the final school week before the Hari Raya break.

 

Banjir: Dua sekolah masih ditutup, laksana PdPR

JOHOR BAHRU – Dua buah sekolah di negeri ini terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran mengalami kerosakan teruk akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata, dua sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Maju Jaya, di sini.

Menurutnya, kedua-dua sekolah terbabit mengalami pelbagai kerosakan dan kehilangan harta melibatkan kerugian bernilai lebih RM100,000.

“Sejak banjir melanda Johor Khamis lalu, lapan buah sekolah terjejas sehingga mengganggu proses pembelajaran murid dan pelajar, namun enam daripadanya telah beroperasi semula.

“Bagaimanapun bagi dua sekolah yang masih ditutup, proses PdPR akan dilaksanakan bagi minggu akhir persekolahan sebelum cuti Aidilfitri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Anak Johor yang diadakan di Cendana Event Space, di sini semalam.

Sementara itu, Aznan memaklumkan majlis berkenaan bertujuan meraikan seramai 200 mahasiswa negeri ini yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

“Kerajaan negeri melalui YPJ telah menyediakan pelbagai bantuan bagi kelangsungan mahasiswa di kampus masing-masing termasuklah RM650,000 untuk Persatuan Mahasiswa Anak Johor.

“RM18.3 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Pinjaman Pelajaran Mahasiswa IPT, RM8 juta pemberian Bantuan Pendaftaran, RM3 juta sebagai Insentif Mahasiswa Johor serta RM2.5 juta untuk pelaksanaan Bantuan Laptop Siswa Johor,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kematian akibat kebakaran hutan Korea Selatan meningkat kepada 24

SEOUL: Pasukan bomba bertungkus lumus pada Rabu untuk mengawal siri kebakaran hutan yang melanda wilayah tenggara Korea Selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang.

Bagaimanapun , keadaan angin kencang dan cuaca kering terus menyukarkan usaha pemadaman, lapor Agensi Berita Yonhap.

Puluhan helikopter pemadam kebakaran, kira-kira 5,000 anggota, serta sekitar 560 unit peralatan dikerahkan, tetapi kebakaran yang bermula di Daerah Sancheong, Wilayah Gyeongsang Selatan pada Jumaat lalu telah merebak ke timur laut wilayah itu.

Dalam tempoh lima hari, kebakaran merebak ke Uiseong dan kini sedang menuju ke Andong, Cheongsong, Yeongyang, serta Yeongdeok.

Daripada 24 mangsa yang terkorban, 20 ditemukan di Uiseong dan empat lagi di Sancheong setakat jam 4 petang, menurut data Ibu Pejabat Langkah Pencegahan dan Keselamatan Bencana Pusat.

Risiko kebakaran merebak ke kawasan pantai timur semakin meningkat akibat angin kencang, menimbulkan kebimbangan bahawa kebakaran boleh sampai ke Daerah Uljin, lokasi sebuah loji kuasa nuklear utama.

Seorang pegawai perhutanan memberi amaran mengenai faktor tidak menentu seperti perubahan mendadak arah angin.

Katanya, meskipun kebakaran di Uiseong pada awalnya merebak ke arah timur, angin dari selatan dan barat daya dikesan pada Selasa dan Rabu.

Di Yeongyang, empat daripada lima mangsa ditemukan rentung di atas jalan raya kira-kira pukul 11 malam Selasa.

Pada Rabu, Pemangku Presiden Han Duck-soo menggesa usaha secara habis-habisan bagi menghalang kebakaran hutan itu daripada terus merebak, menyifatkannya sebagai 'kebakaran hutan terburuk pernah berlaku'.

Setakat ini, kebakaran memusnahkan 17,000 hektar hutan serta 209 rumah dan kilang, katanya.

Kebakaran turut memusnahkan Kuil Goun di Uiseong, sebuah kuil purba yang dibina pada tahun 681 semasa Dinasti Silla (57 SM–935 M). Bagaimanapun, khazanah negara yang disimpan di kuil itu telah dipindahkan ke lokasi lain.

Terdahulu pada Rabu, sebuah helikopter pemadam kebakaran yang dikendalikan seorang juruterbang terhempas di Uiseong ketika bertugas memadam kebakaran besar di kawasan itu, mengorbankan juruterbang berkenaan.

Wilayah Gyeongsang Utara dan Gyeongsang Selatan merupakan lokasi bagi banyak aset sejarah dan budaya, termasuk khazanah negara. Dengan kebakaran semakin menghampiri, kebimbangan kembali meningkat di sekitar Kampung Rakyat Hahoe di Andong.

Pihak berkuasa berkata api telah mara sehingga hanya lima kilometer (km) dari Kampung Hahoe dan merancang untuk mengerahkan dua helikopter pemadam kebakaran sebagai langkah pencegahan awal.

Terletak kira-kira 190km ke tenggara Seoul, Hahoe merupakan satu daripada kampung rakyat paling terkenal di Korea Selatan dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2010.

Kampung itu mengekalkan rumah-rumah serta tradisi dari zaman Dinasti Joseon (1392–1910).

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search