PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Pampasan segera 372 pesawah MADA terjejas banjir

JERLUN: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenalpasti kira-kira 745 hektar tanaman padi terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di Kedah, baru-baru ini dengan kerugian lebih RM7.5 juta.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kira-kira 372 pesawah mengalami kerugian keseluruhan memandangkan tanaman padi sudah mencapai 90 peratus masa penuaian sebelum bencana.

“Kebanyakan petani mengalami ‘total lost’ akibat banjir tersebut kerana padi mereka hampir masak. Kita akan memulakan bancian Khamis ini bagi memastikan kerugian setiap pesawah yang terlibat direkod dengan tepat dan layak menerima bayaran pampasan.

“Kita mahu proses ini berjalan cepat. Pampasan daripada pihak insurans akan mengambil masa namun kita berharap mangsa yang terlibat memberi kerjasama membolehkan proses ini berjalan lancar,” katanya selepas Majlis Peluncuran Kempen Kawalan Keladi Agas di Kawasan Muda di PPK MADA F-II Jerlun Ayer Hitam, di sini hari ini.

Tambah beliau, MADA berharap pampasan kepada mangsa terjejas dapat disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban selain membolehkan mereka memulakan aktiviti penanaman pada musim akan datang

Menyentuh tentang program tersebut, kata beliau, MADA mengenalpasti keladi agas menjadi salah satu faktor yang menjejaskan hasil padi.

“Didapati infestasi keladi agas di kawasan Muda bagi musim ini melibatkan keluasan sekitar 1,000 hektar dengan peningkatan 30 peratus berbanding musim sebelum ini.

“MADA menjangkakan kadar infestasi bagi keseluruhan kawasan Muda ini di bawah 30 peratus sekiranya peladang melaksanakan kawalan seperti yang disyorkan dalam pakej kawalan keladi agas MADA itu. Kita tidak mahu pesawah mengalami kerugian sebab itu kita laksana kempen ini dan berharap petani akan mematuhinya,” katanya. – UTUSAN 

 

 

Maritim Malaysia ingatkan nelayan Kelantan hadapi Monsun Timur Laut

KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan serta pengusaha bot di Kelantan supaya lebih berwaspada susulan Monsun Timur Laut yang semakin hampir.

Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata perubahan cuaca yang mendadak dan keadaan laut tidak menentu pada musim ini boleh mengundang bahaya.

Beliau menasihati semua pihak agar mengutamakan aspek keselamatan di laut termasuk sentiasa memakai jaket keselamatan.

Setiap kali keluar menangkap ikan pastikan ahli keluarga terdekat dimaklumkan mengenai lokasi dan jangka masa operasi.

Erwan Shah turut menyarankan agar nelayan mengamalkan konsep buddy system atau keluar sekurang-kurangnya berdua sebagai langkah berjaga-jaga.

Kehadiran rakan boleh membantu membuat laporan dengan segera sekiranya berlaku kejadian kecemasan di laut.

Pasukan penyelamat dapat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dengan cepat serta berkesan dengan maklumat awal yang diperoleh.

Mangsa yang menghadapi masalah di laut dapat dibantu dengan segera dan diselamatkan daripada sebarang musibah.

Erwan Shah berkata Maritim Malaysia akan terus memantau keadaan laut dari semasa ke semasa.

Mereka bersiap siaga melaksanakan operasi menyelamat pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan komuniti maritim di perairan Kelantan sentiasa terjamin. – Bernama

KKR pantau cerun berisiko hadapi Monsun Timur Laut mulai 5 Nov

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya akan memantau secara rapi cerun berisiko di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemantauan itu penting susulan sepanjang tempoh berkenaan dijangkakan berlaku lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Beliau berkata setakat ini JKR telah memasang 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station dan satu unit Global Navigation Satellite System untuk memantau cerun berisiko.

Berdasarkan data diperoleh daripada Sistem Amaran Awal, Cawangan Kejuruteraan Cerun akan menyalurkan amaran awal kepada JKR negeri dan daerah mengikut tahap berjaga-jaga, amaran atau bahaya.

Nanta menegaskan tindakan pantas, koordinasi, dan kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi nyawa, harta benda, dan infrastruktur.

Beliau merakamkan penghargaan terhadap peruntukan disediakan kepada KKR dalam Belanjawan MADANI 2026 yang disifatkan sebagai bukti keyakinan kerajaan.

Meskipun negara berdepan cabaran fiskal, kerajaan tetap mengekalkan fokus terhadap infrastruktur asas rakyat seperti jalan raya, jambatan, bangunan awam serta keselamatan cerun.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan projek di bawah kementerian itu sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menegaskan tidak akan menyapu perkara ini di bawah karpet dan menekankan perlunya tindakan pembetulan menyeluruh.

Nanta turut memuji pencapaian sektor pembinaan sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 yang merekodkan hampir 23,000 projek bernilai lebih 42 billion ringgit.

Tahun 2025 menyaksikan kejayaan besar dalam reformasi kerenah birokrasi termasuk mempercepat bayaran kepada kontraktor dan memperkukuh penyenggaraan jalan.

Cabaran dalam fasa pertama Rancangan Malaysia ke-13 memerlukan kementerian bersikap proaktif, cekap dan berasaskan data serta akauntabiliti.

Permulaan Rancangan Malaysia ke-13 akan menjadi ujian sebenar terhadap keupayaan KKR untuk kekal relevan dan bersedia menghadapi masa depan.

Beliau menekankan setiap ringgit peruntukan mesti memberi impak maksimum dalam menyeimbangkan tanggungjawab sosial dengan kekangan kewangan negara. – Bernama

53 hotspot banjir dikesan di P. Pinang

GEORGE TOWN – Sebanyak 53 kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir di seluruh Pulau Pinang berdasarkan rekod kejadian banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daerah Timur Laut mencatat 10 hotspot, Barat Daya (13), Seberang Perai Utara (6), Seberang Perai Tengah (18) dan Seberang Perai Selatan (6) menjadikan keseluruhan 53 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap dilanda banjir.

“Menerusi ini (kawasan hotspot banjir), kita dapat kenal pasti kawasan tumpuan bagi pelaksanaan projek mitigasi dan pencegahan yang lebih berkesan untuk mengurangkan risiko serta impak terhadap penduduk.

“Sebanyak 389 pusat pemindahan sementara (PPS) juga disediakan di seluruh Pulau Pinang untuk menghadapi kemungkinan bencana,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) di Komtar, di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun negeri itu mempunyai kawasan hotspot banjir, situasi banjir di Pulau Pinang pada tahun ini dilihat semakin terkawal dan menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sehingga Oktober 2025, kita tidak menerima laporan kejadian banjir besar. Daripada peruntukan RM2 juta bagi bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir, hanya RM270,000 sahaja telah dibelanjakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 
 
 
 
 
 

 

Warga emas terperangkap bumbung rumah runtuh akibat ribut

KLANG – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam rumah selepas bumbung kediamannya runtuh sebelum diselamatkan bomba dalam kejadian di Jalan Meru Batu 7 di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.06 petang.

Katanya, empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi kejadian sebelum tiba empat minit kemudian.

“Komander Operasi melaporkan bumbung sebuah rumah telah terjatuh disebabkan ribut yang kuat.

“Seorang wanita berusia 62 tahun yang terperangkap di dalam rumah berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search