PETALING JAYA: Malaysia mengumumkan sumbangan one-off sebanyak AS$100,000 ( RM470,000) kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (AADMER Fund) dalam usaha memperkukuhkan komitmen terhadap kerjasama serantau melibatkan pengurusan bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan itu mencerminkan semangat solidariti Malaysia bersama negara ASEAN serta tanggungjawab bersama dalam memastikan mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) terus diperkasa.
Selain itu katanya, langkah ini juga dapat mencerminkan komitmen Malaysia secara berterusan terhadap agenda ketahanan kolektif ASEAN.
“Malaysia yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan negara anggota dan rakan- rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung AADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan dan tindak balas bencana ASEAN.
“Kita yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan negara-negara anggota serta rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung AADMER sebagai tonggak utama kesiapsiagaan dan tindak balas bencana di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Zahid lagi, tindakan pantas penyelarasan dalam kalangan negara ASEAN untuk menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER.
Menurutnya, AADMER berjaya mencerminkan komitmen bersama ASEAN bahawa tiada negara anggota akan berhadapan dengan bencana secara bersendirian.
ASEAN telah berkembang daripada sekadar menyelaras tindak balas kepada menjadi rakan global yang diyakini dalam pengurusan bencana, melalui mekanisme seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), DELSA, dan Rangkaian ASEAN-ERAT.
“Malaysia berbangga kerana telah memainkan peranan aktif dalam perjalanan bersama ini. Malah, Malaysia menjadi tuan rumah kepada gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan dan penugasan ASEAN-ERAT, serta terus memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR),” katanya. – UTUSAN
Ribut: 40 rumah, lima sekolah rosak
- Admin UKK
- Berita
KUALA LANGAT: Bencana ribut dan puting beliung yang melanda daerah ini kelmarin telah merosakkan 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai.
Lokasi terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya; Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya; SK Kampung Medan; (Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Turut terjejas, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan; Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bencana alam itu berlaku di sekitar Telok Panglima Garang di sini, pada pukul 4.15 petang.
“Angin kencang dan puting beliung tidak mengakibatkan kemalangan jiwa namun berlaku kerosakan harta benda di kawasan terlibat.
“Kerja pembersihan dan pemotongan pokok dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak sejak pukul 4.30 petang semalam (kelmarin),” katanya kepada semalam.
Katanya, seramai 11 murid SRA Kampung Medan pula cedera ringan.
“Namun, hanya lima daripada mereka telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Telok Panglima Garang manakala bakinya dibawa pulang keluarga masing-masing.
“Selain itu, seorang lelaki cedera di mata dan seorang wanita pula patah kaki akibat dihempap besi ketika bencana berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kira-kira RM1.9 juta diperuntukkan pihak kementerian itu untuk kerja-kerja pembersihan kerosakan enam bangunan awam di Telok Panglima Garang di sini, kelmarin.
“Ribut kuat menyebabkan kerosakan struktur kritikal di enam premis utama termasuk sekolah dan pejabat kerajaan. Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bertindak melakukan pemeriksaan tapak dan penutupan kawasan berisiko,” katanya di Seremban.-UTUSAN.
KUALA LANGAT: “Keadaan sekolah seperti tengah perang. Saya nampak angin pusar dua kali keluar masuk dalam sekolah.”
Demikian pengalaman pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, yang menceritakan kejadian ribut dan angin pusar di Kampung Medan di sini, kelmarin.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagi Ali, 50, berkata, semasa kejadian berlaku, dia sedang bertugas sendirian.
“Saya berada di bilik pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah. Kira-kira pukul 4.05 petang, hujan turun lebat. Kurang lima minit kemudian, saya nampak angin pusar dari arah tanah perkuburan Islam yang berdekatan.
“Angin memang kuat, tak pernah saya tengok dan rasai angin sekuat itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, kemudian dia terus masuk ke dalam salah satu blok berhampiran untuk menyelamatkan diri namun terus melihat keadaan ribut turut membadai SK dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
“Bukan sekali angin pusar berpusing. Tetapi dua kali angin pusar mengelilingi kesemua sekolah ini. Saya nampak angin pusar membadai bumbung sekolah dan SK Kampung Medan,” katanya.
Menurutnya, angin pusar berlaku dalam 15 minit sebelum ia beransur-ansur hilang.
“Kerosakan di sekolah saya dan SK Kampung Medan. Keadaan sangat teruk. Bumbung beberapa blok SK Kampung Medan juga rosak teruk,” katanya.-UTUSAN
BANDAR RAYA MEXICO – Lebih 300 penduduk di bahagian tengah dan timur Mexico terputus hubungan akibat tanah runtuh dan banjir membawa maut yang berlaku semalam, lapor saluran berita CNN.
Ribuan anggota tentera dan pekerja awam bergegas membuka semula jalan yang terhalang akibat kejadian tersebut.
Kerajaan mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 64 orang terkorban akibat hujan lebat yang berterusan.
Puluhan lagi masih hilang dan pegawai memberi amaran bahawa tahap sebenar kemusnahan di bandar-bandar terpencil yang mempunyai antara 500 hingga 1,000 penduduk masih belum diketahui.
Hujan lebat itu dicetuskan oleh pertembungan dua ribut tropika yang melanda pesisir barat Mexico dan berlaku pada penghujung musim hujan yang luar biasa kuat, menyebabkan sungai melimpah serta cerun tanah menjadi lemah.
“Membuka semula jalan merupakan antara keutamaan terbesar kami. Kita perlu memastikan laluan udara, bekalan makanan dan air serta memeriksa keadaan setiap penduduk,” kata Presiden Claudia Sheinbaum.
Negeri yang paling teruk terjejas adalah Veracruz, Hidalgo dan Puebla.
Kira-kira separuh daripada kampung terputus hubungan di Hidalgo yang mengandungi sekitar 100,000 rumah rosak atau musnah akibat limpahan sungai dan tanah runtuh.
Sementara itu, di Veracruz yang menyaksikan sekurang-kurangnya 29 orang terkorban, jumlah taburan hujan mencecah kira-kira 61 sentimeter hanya dalam tempoh empat hari.
Gabenor Veracruz, Rocio Nahle berkata, lebih 300,000 orang terjejas di negeri itu sahaja. – AGENSI
JAKARTA, 15 Okt: Gunung berapi Lewotobi Laki-laki di wilayah Nusa Tenggara Timur dilaporkan meletus besar pada jam 9.21 pagi waktu tempatan hari ini, dengan kolum abu tebal mencecah ketinggian sekitar 8,000 meter dari puncak atau kira-kira 9,500 meter dari paras laut.
Menurut Pengamat Gunung Api Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Herman Yosef, kolum abu berwarna kelabu pekat itu dilihat condong ke arah utara dan barat laut.
“Letusan ini direkodkan di seismogram dengan amplitud maksimum 47.3 milimeter dan tempoh 3 minit 1 saat serta menghala ke arah utara,” katanya.
Herman turut memaklumkan bahawa bunyi dentuman kuat kedengaran dari Pos Pengamatan Gunung Lewotobi Laki-laki di Flores Timur.
Ketika ini, gunung berapi tersebut berada pada Status Level IV (Awas), iaitu tahap amaran tertinggi dalam sistem pemantauan gunung berapi di Indonesia.
Sehubungan itu, pihak berkuasa melarang sebarang aktiviti dalam radius 6 kilometer dari puncak gunung, serta di sektor barat daya hingga timur laut sejauh 7 kilometer.
Penduduk yang terjejas akibat hujan abu vulkanik dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko gangguan pernafasan. – TVS
