Hujan renyai sikit pun kita kena jenguk
- Admin UKK
- Berita
SETIAP tahun pasti antara kita mengimpikan satu percutian yang mampu memberikan ketenangan. Tidak kiralah sama ada percutian itu di dalam negara atau di luar Malaysia.
Namun tahun ini mungkin antara kita terpaksa ‘mengorbankan’ impian bercuti dek kerana hukum alam apabila ada antara negara-negara terutama di Asia Tenggara kini dilanda cuaca ekstrem tidak menentu.
Tidak perlu melihat jauh, negara-negara jiran kita terpaksa berdepan dengan episod duka apabila Thailand dan Indonesia mengalami banjir besar dan tanah runtuh selain negeri utara iaitu Perlis turut mengalami nasib serupa.
Bulan lalu sahaja, kita dikejutkan dengan banjir besar yang melanda Hatyai, Thailand apabila sebanyak 105 mayat dijumpai sepanjang tempoh lima hari kejadian banjir yang melanda kawasan bandar itu pada bulan lalu.
Jurucakap Pusat Operasi Kecemasan Banjir (Focec) Selatan Thai, Siripong Angkasakulkiat berkata, jumlah itu dilaporkan oleh Unit Sains Forensik Polis Wilayah.
Katanya, setakat ini, sebanyak 85 mayat menjalani beberapa proses termasuk bedah siasat, manakala lebih 20 lagi masih dalam siasatan.
Akibat banjir di Hatyai itu juga, rakyat Malaysia turut terkena tempias apabila kenderaan-kenderaan mereka yang dibawa masuk ke wilayah itu ditenggelami air termasuk bas-bas Malaysia yang membawa pelancong.
Kata beliau, hal ini kerana sifat semula jadi atmosfera yang amat sensitif kepada kekacauan kecil, menyebabkan kondisi-kondisi atmosfera yang lebih kurang, namun kejadian-kejadian yang terjadi boleh berlaku berbeza.
“Bagi orang ramai yang tidak mempunyai akses kepada sumber-sumber untuk meramal kejadian cuaca ekstrem yang bakal berlaku, kita sebenarnya boleh melindungi kita dengan melengkapkan ilmu pengetahuan berkenaan corak iklim di tempat kita tinggal ataupun bakal melawat.
“Contohnya, kita semua tahu corak iklim di Pantai Timur Semanjung julat hujannya lebih tinggi menjelang hujung tahun.
“Walaupun pengetahuan ini tidak akan memberitahu kita pada hari apa atau masa bila hujan lebat akan turun tetapi ianya boleh menyebabkan risiko bahawa kita mungkin boleh terkena dengan cabaran cuaca ekstrem,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, walaupun ada sesetengah mungkin berada di tempat kurang berisiko dilanda cuaca ekstrem, ia tidak seharusnya dipandang mudah.
“Kita tidak boleh menolak hukum alam tetapi kita boleh menjauhinya dengan sentiasa peka terhadap nasihat dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan bukannya daripada sumber tidak sahih di media sosial.
“Tidak salah untuk mempercayai ramalan sumber terbuka, namun harus berhati-hati kerana bimbang imformasi yang diterima, ditokok tambah dengan imaginasi apatah lagi dunia moden sekarang terdedah dengan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
