PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Dulu satu kilometer, kini jarak pasar dengan pantai 30 meter

Dulu satu kilometer, kini jarak pasar dengan pantai 30 meter

KUALA NERUS – Penduduk Kampung Pengkalan Maras di sini, kini dilanda kegusaran yang kian memuncak apabila hakisan pantai di perkampungan mereka semakin merebak.

Setiap malam sejak minggu lalu, deruan ombak besar terus ‘menggempur’ pesisir pantai sehingga menghakis tanah dan mengancam rumah penduduk, surau, premis perniagaan dan kemudahan nelayan yang terletak berhampiran pesisir pantai.

Seorang penduduk, Zulkefli Abd. Ghani, 62, berkata, Surau Kampung Pengkalan Maras seakan menunggu masa untuk rebah akibat hakisan pantai.

“Beberapa batang pokok kelapa yang terletak di pekarangan surau tumbang akibat hakisan.

“Kami risau kerana struktur tapak surau tersebut dibadai ombak setinggi tiga meter hampir setiap malam pada musim tengkujuh ini,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Pengkalan Maras di sini semalam.

Seorang peniaga ikan, Mohd. Dzulfaizi Mazlan, 41, berkata, Pasar Nelayan Pengkalan Maras yang menjadi lokasinya mencari rezeki juga turut berhadapan ancaman hakisan.

“Bahagian di belakang pasar yang menghadap pesisir pantai sedikit demi sedikit telah terhakis sejak sembilan tahun lalu.

“Dahulu sewaktu mula berniaga di pasar ini pada tahun 2017, jarak dengan gigi pantai kira-kira satu kilometer, kini tinggal 30 meter sahaja akibat hakisan,” katanya.

Pengusaha kedai makan, Nor Fazilah Mustafa, 38, pula seakan hilang harapan apabila premis perniagaan milik keluarganya sejak lebih 30 tahun lalu hanya menunggu masa untuk ‘ditelan’ hakisan pantai.

“Kami terpaksa mengosongkan kedai makan tersebut baru-baru ini demi keselamatan diri dan pelanggan.

“Sedih sebab rezeki berniaga di premis inilah, ayah, Mustafa Sulaiman, 60, menyara kami sekeluarga sejak tiga dekad lalu,” katanya.

Nor Fazilah juga buntu untuk bangkit semula berniaga kerana kekurangan modal, apatah lagi sewa premis baharu juga agak tinggi yang di luar kemampuannya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search