PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Projek baik pulih Jalan Tasik Kenyir-Aring bermula awal 2026

Projek baik pulih Jalan Tasik Kenyir-Aring bermula awal 2026

KUALA TERENGGANU: Projek baik pulih Jalan Aring 8-Tasik Kenyir sejauh kira-kira 100 meter dijangka dimulakan awal tahun depan selepas Jabatan Kerja Raya negeri mengeluarkan Surat Setuju Terima.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan dapat dimulakan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada Februari depan.

Katanya, tender pelaksanaan projek yang dianggarkan menelan kos RM36 juta itu ditutup pada 12 November lalu  dan kini di peringkat perolehan kontraktor.

“Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum isu keruntuhan jalan itu yang menjejaskan kelancaran dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tersebut. Usaha pemulihan sedang dilaksanakan secara terancang oleh JKR Negeri Terengganu bagi memastikan infrastruktur yang lebih kukuh dan selamat dapat dibina.

“Insya-Allah projek ini kita mulakan awal tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan pada Disember tahun lalu selepas tanah runtuh sepanjang kira-kira 100 meter berikutan hujan lebat.

Laluan itu adalah jalan utama menghubungkan Tasik Kenyir ke Gua Musang, Cameron Highlands dan Ipoh, Perak selain menjadi akses penting kepada penduduk setempat serta pelancong.

Lokasi tersebut kembali menjadi tumpuan apabila sepasang bakal pengantin maut di lokasi kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila SUV tersebut terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan yang ditutup.

Menurut Hanafiah, skop projek itu merangkumi kerja-kerja pembersihan tapak, perobohan struktur terjejas, kerja geoteknikal, pembinaan jambatan baharu, jajaran jalan, sistem saliran dan perabot jalan serta penyelenggaraan.

Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dan para pengguna jalan raya yang bergantung kepada laluan berkenaan.

“Buat masa ini, tiada laluan sementara dibuka di lokasi runtuhan selepas penilaian risiko mendapati potensi runtuhan masih wujud dan membahayakan pengguna. Penutupan laluan telah dikuatkuasakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 24 Januari 2025,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search