Banjir makin pulih, lebih 500 masih di PPS
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di negeri terjejas semakin pulih apabila jumlah mangsa merekodkan penurunan kepada 562 orang berbanding 991 mangsa yang direkodkan pagi semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terbabit masih berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima negeri.
Semua PPS yang beroperasi itu membabitkan lima di Perak, empat di Terengganu, diikuti dua di Sarawak serta Selangor, Sarawak dan Pahang masing-masing satu.
Mangsa banjir itu terdiri daripada 196 lelaki dan 174 perempuan, manakala 185 kanak-kanak, tujuh bayi, 52 warga emas dan 16 orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga jam 9 pagi ini.
Cuaca buruk itu diramal berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang); Perak (Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Sarawak: Miri (Telang Usan) dan Limbang dan Sabah: Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Tawau dan Semporna) dan Sandakan (Telupid).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
