PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Letupan paip gas: Kerajaan Selangor tawar khidmat pengantara bantu tuntutan insurans

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor sedia menawarkan bantuan khidmat pengantara kepada penduduk yang terjejas dalam usaha menuntut pampasan insurans susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights bulan lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Unit Pengurusan Bencana Selangor petang ini.

“Ini adalah perjanjian antara tuan empunya (pemilik) dan syarikat insurans. Segala hak dan tanggungjawab telah dinyatakan dalam polisi insurans masing-masing.

“Kerajaan negeri bersedia membantu, tetapi kita akan selesaikan isu-isu asas dahulu seperti bantuan sewa rumah sementara. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebahagian penduduk yang terkesan meluahkan rasa kecewa apabila berdepan kesukaran menuntut pampasan insurans bagi rumah dan kenderaan yang rosak dalam kejadian tersebut.

Selangor bangun Pelan Induk Air atasi isu ketika kemarau, hujan

KUALA SELANGOR – Pelan Induk Air sedang dibangunkan dalam menangani segala isu bekalan air secara menyeluruh di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelan itu akan menjadi garis panduan dalam menghadapi musim kemarau atau lebihan ketika hujan.

Katanya, pelan itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh setahun lagi dengan merangkumi aspek penyimpanan air, lokasi kolam tadahan serta sistem kawalan banjir jangka panjang.

“Kalau air kurang kita hadapi masalah bekalan, namun jika lebih pula, berlaku banjir dan pelan induk ini akan ambil kira kedua-dua aspek secara menyeluruh.

“Setakat ini, lebih 100 kolam telah dikenal pasti di seluruh negeri dan kebanyakannya dalam proses untuk digazetkan sebagai kawasan simpanan strategik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan SJAM yang telah dilakukan kerajaan negeri akan turut dirangkumkan dalam Pelan Induk Air itu. “SJAM ini adalah melihat semua kapasiti dan kompositi bekalan air mentah. Kolam-kolam yang kita ada.

“Sebelum ini, mungkin kita tak ada databasenya. Kita tahu ada di sini, sana. Apa kandungannya. Adakah ia selamat digunakan. Jadi, menerusi SJAM kita melihat keseluruhannya dalam memastikan bekalan air mencukupi paling tidak 50 tahun ke depan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, kata Amirudin, penyerahan dua pakej itu melengkapkan dua pakej lain yang telah beroperasi sebelum ini seterusnya menjamin bekalan air berterusan kepada 4 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Keseluruhannya sebanyak RM320 juta kita belanjakan pembinaan SJAM ini yang memastikan bekalan air kepada 1.2 juta akaun pengguna meskipun berlaku pencemaran.

“Saya tidak berani kata 100 peratus tetapi 99 peratus (pastikan bekalan air berterusan). Cuma mungkin boleh berlaku juga cabaran-cabaran lain yang kita tak dapat elakkan mungkin akan berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ribut petir, hujan lebat dijangka landa tujuh negeri

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda tujuh negeri sehingga pukul 6 petang ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka berlaku di Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

“Di Kelantan, cuaca sama dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai serta keseluruhan Terengganu.

“Di negeri Pahang pula, ia melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala kawasan yang dijangka mengalami hujan lebat di Perak ialah di Hulu Perak,” katanya.

Sementara itu, amaran sama dikeluarkan bagi Sarawak melibatkan Sri Aman, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu, Kapit (Belaga), Bintulu, Miri dan Limbang.

“Amaran ribut petir juga turut melibatkan daerah di Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Tongod dan Beluran) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat),” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Cuaca panas kering, elak pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR, 13 MEI – Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka susulan perubahan angin Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan jerebu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Ambun Dindang berkata, tiupan angin boleh menyebabkan jerebu bersifat tempatan atau merentas sempadan.

"Apa yang berlaku pada monsun barat daya ini, cuaca kita lebih kering berbanding dengan Monsun Timur Laut dan juga peradaan Monsun yang lepas.Turut mendapati jumlah hari hujan itu lebih rendah berbanding dengan monsun yang lain." katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 10 Mei dan berterusan sehingga September ini.

Lazimnya, cuaca panas berpanjangan di kebanyakan kawasan, terutamanya di pedalaman Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

"Selain itu, fenomena garis badai dijangka terbentuk di beberapa kawasan seperti pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.

"Garis badai merupakan pembentukan ribut petir yang bermula di laut sebelum bergerak ke daratan dan lazimnya berlaku pada waktu pagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memantau sebarang amaran ribut dan cuaca ekstrem yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh MetMalaysia.

Katanya, walaupun suhu maksimum tidak dijangka melebihi rekod tertinggi sebelum ini pada bulan April, pemantauan tetap diperlukan khususnya di kawasan pedalaman yang menerima impak haba lebih ketara akibat ketiadaan hujan berpanjangan.

Kebakaran Putra Heights: Selangor timbang jadi orang tengah isu tuntutan insurans

KUALA SELANGOR: Mesyuarat unit bencana negeri Selangor petang ini antara lain akan membincangkan kemungkinan kerajaan negeri boleh menjadi orang tengah bagi menyelaras rundingan antara mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dengan syarikat insurans, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kerajaan negeri mungkin boleh jadi mediator sebab ini melibatkan perjanjian antara dua pihak iaitu syarikat insurans dan pemegang polisi. Kerajaan negeri sedia membantu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di sini hari ini.

Amirudin berkata mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan kepada beberapa kes melibatkan mangsa masih belum mendapat bantuan sewa rumah disediakan kerajaan negeri, kebanyakannya disebabkan tidak mempunyai dokumen mencukupi.
 
Beberapa media sebelum ini melaporkan sebahagian penduduk terkesan dengan insiden kebakaran pada 1 April, mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan kejadian tersebut berlaku.
 
Setiausaha Persatuan Penduduk Topaz Putra Heights Lau Cheng Chew dilaporkan berkata penduduk kecewa kerana jumlah tuntutan diluluskan syarikat insurans adalah rendah, meskipun kediaman dan kenderaan mereka terdedah kepada haba tinggi selama hampir lapan jam.
 
-- BERNAMA
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search