Kerja tambak laut, tanam cerucuk rosakkan rumah penduduk
- Admin UKK
- Berita
GEORGE TOWN: Lebih 100 orang penduduk Kampung Bagan Jermal di sini mendesak pemaju sebuah taman air di sekitar persisiran Persiaran Gurney di sini supaya bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah, surau, restoran serta kejadian banjir berulang di kawasan tempat tinggal mereka itu.
Penduduk mendakwa, masalah itu timbul berpunca kerja-kerja tambakan laut dan menanam cerucuk bagi pembangunan projek berkenaan.
Mereka mendakwa, pembangunan projek itu telah bermula pada bulan Februari 2024 dan kerja-kerja penanaman cerucuk itu telah mencetuskan gegaran kuat sehingga menyebabkan retakan mula muncul di beberapa rumah dan premis.
Kata penduduk, pada masa sama, aktiviti tambakan laut telah menghalang aliran dua sungai dan sebuah parit yang sebelum ini terus mengalir ke laut namun kini tersekat akibat timbunan pasir serta cerucuk penahan.
Keadaan itu menyebabkan air melimpah masuk ke dalam kampung setiap kali hujan lebat atau air pasang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bagan Jermal, Mohd. Yaakob Mohd. Dali, 73, berkata, penduduk telah berkali-kali kali membuat aduan termasuk kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran namun masih tiada penyelesaian.
“Satu mesyuarat telah diadakan pada 16 Julai lalu namun hanya menjelaskan mengenai aspek teknikal projek tanpa mengambil kira aduan penduduk mengenai bunyi bising, gegaran serta rekahan yang berlaku.
“Pertemuan kedua pada 4 September pula menyaksikan pihak konsultan berjanji untuk melebarkan dan mendalamkan sungai. Namun, mereka tetap enggan mengakui atau bertanggungjawab terhadap keretakan rumah dan premis yang didakwa akibat kerja penanaman cerucuk dan tambakan laut,” katanya kepada pemberita hari ini
Pada masa ini, terdapat kira-kira 45 buah rumah dengan 500 penduduk di kampung tersebut.
Mohd. Yaakob berkata, tujuan bantahan yang diadakan hari ini bukan untuk menimbulkan provokasi sebaliknya menuntut komitmen pemaju untuk membaiki 10 buah rumah, sebuah surau dan sebuah restoran yang terjejas. – UTUSAN
