Banjir baru gelombang pertama, usah 'berpesta air'
- Admin UKK
- Berita
Bencana banjir yang melanda negara setiap kali tiba musim Monsun Timur Laut, sering kali mengingatkan penulis terhadap tragedi banjir besar di Kelantan, kira-kira 11 tahun lalu.
Bencana disebut sebagai 'bah kuning' sehingga memaksa penduduk menyelamatkan diri dengan berlindung di atas bukit dan bumbung, selain mengakibatkan kemusnahan harta benda penduduk itu semestinya menjadi memori yang tidak akan dilupakan.
Malah, penulis sendiri menjadi mangsa banjir ketika itu apabila terperangkap dan tidak boleh pulang ke rumah hampir seminggu sehingga terpaksa meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengambil anak di rumah menggunakan trak tentera.
Namun, pada masa sama, penulis terpaksa bekerja dan melaporkan situasi semasa ke semasa banjir yang berlaku apabila Kelantan ketika itu menjadi perhatian seluruh rakyat di negara ini.
Cuaca di Malaysia dicirikan kepada dua monsun, iaitu Monsun Barat Daya bermula dari akhir Mei ke September dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat, terutama ke negeri di Pantai Timur Semenanjung, Barat Sarawak dan Timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.
Kini, memasuki Monsun Timur Laut, ramai mengaitkan banjir di Pantai Timur, namun situasi itu sudah berubah apabila bukan hanya Pantai Timur dilanda banjir pada hujung tahun, Lembah Klang selain negeri di utara juga turut berdepan banjir walaupun kebanyakannya banjir kilat.
Situasi itu berkait dengan kesan perubahan iklim yang mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem, termasuk banjir kilat yang semakin kerap.
Buktinya gelombang pertama Monsun Timur Laut baru-baru ini, sudah membabitkan lapan negeri, termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Perak, selain Pantai Timur, namun keadaan itu masih dikatakan terkawal dengan Kelantan merekodkan mangsa paling ramai, iaitu mencecah lebih 10,000 penduduk.
Namun, penduduk belum boleh menarik nafas lega apabila baru gelombang pertama berlalu, masih berbaki beberapa gelombang perlu dihadapi penduduk hingga Mac depan. Ia berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan lima hingga tujuh gelombang hujan lebat yang akan mengakibatkan banjir sepanjang Monsun Timur Laut hingga Mac tahun depan.
Ambil langkah berjaga-jaga
Justeru, peringatan atau amaran banjir dikeluarkan MetMalaysia kini tidak boleh diambil mudah atau sambil lewa oleh penduduk, terutama kawasan yang berisiko banjir.
Jangan menggunakan alasan sudah biasa berdepan banjir sehingga menyebabkan mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk membuat persiapan dengan menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat.
Sejak beberapa tahun lalu, trend banjir adalah berbeza dengan paras air naik mendadak sehingga saban tahun dilaporkan penduduk gagal keluar untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana paras air yang tinggi dan deras.
Pada masa sama, situasi ini juga menyukarkan pasukan keselamatan untuk mengeluarkan mangsa banjir yang terperangkap terutama ketika waktu malam yang boleh mengundang kepada kejadian tidak diingini. Jadi, apabila amaran banjir di keluarkan, setiap penduduk perlu cakna, jika paras air sudah naik maka berpindahlah ke PPS terdekat.
Jangan tunggu air sudah naik sehingga paras bahaya baru mula rasa nak berpindah, jangan pula kerana bimbang barang rumah dicuri menyebabkan enggan berpindah dan merisikokan diri.
Tidak kurang pentingnya juga, jangan jadikan bencana banjir sebagai 'pesta air' kerana sering kali dilaporkan ada mangsa terkorban setiap kali banjir dan masing-masing perlu menjaga keselamatan diri bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Semoga penutup 2025 ini yang baik-baik sahaja untuk seluruh rakyat Malaysia dan tiada banjir besar seperti tahun-tahun sebelumnya.
Penulis adalah Wartawan BH
