PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Harumanis Perlis kerugian RM1.17 juta, akibat banjir

Harumanis Perlis kerugian RM1.17 juta, akibat banjir

KANGAR: Banjir baru-baru ini menjejaskan seluas 78.03 hektar kawasan tanaman harumanis di Perlis, dengan anggaran kerugian sebanyak RM1,170,450 membabitkan 59 pengusaha.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman ber­kata, angka tersebut berdasarkan laporan awal dari 24 November hingga 2 Disember lalu, dan dijangka meningkat apabila bancian menyeluruh selesai.

Katanya, pejabat pertanian daerah sedang menjalankan bancian bagi mengenal pasti keluasan sebenar dan bilangan keseluruhan pengusaha terjejas, kerana masih terdapat kawasan di mana laporan belum diterima.

“Antara kawasan paling terjejas adalah Padang Siding, namun jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan kerana ada kawasan yang airnya masih belum surut sepenuhnya. Kawasan lain yang turut terjejas termasuk Bintong, Titi Tinggi, Paya, Mata Ayer dan Beseri,” katanya.

Hafizuddin berkata, pihaknya akan terus memantau situasi dan membantu pengusaha terjejas bagi memastikan pemulihan tanaman dapat dilakukan dengan segera.

Seorang pengusaha, Sofi Shamsudin, 34, berkata kebunnya di Sanglang ditenggelami air sehingga setinggi 0.5 meter.

“Tanaman yang sedang berbunga rosak sepenuhnya dan akan mengambil masa untuk kembali berbunga. Ini juga dijangka memberi kesan kepada musim harumanis tahun depan, dengan proses tuaian yang sepatutnya pada Mac mungkin tertangguh sehingga April atau Mei,” katanya.

Sofi berkata, kesemua 80 pokok harumanis di kebunnya mengalami kerosakan bunga, dengan anggaran 100 tangkai rosak bagi setiap pokok.

Katanya, untuk pokok kembali berbunga, ia memerlukan antara sebulan hingga 45 hari bergantung kepada cuaca.

“Banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah melanda negeri ini dan menyebabkan banyak tanaman musnah, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha harumanis,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search