Pre-Deployment Exercise bagi 6th Regional Collaboration Drill (RCD), Project For Strengthening The ASEAN Regional Capacity On Disaster Health Management - Phase 2
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
31 Januari 2025 - Telah berlangsung Pre-Deployment Exercise Bagi 6th Regional Collaboration Drill (RCD), Project For Strengthening The ASEAN Regional Capacity On Disaster Health Management - Phase 2 (Arch Project - Phase 2) di Bilik Mesyuarat Oval, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).
Project for Strengthening ASEAN Regional Capacity on Disaster Health Management (ARCH Project) adalah bertujuan untuk memperkukuhkan penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti berkaitan pengurusan bencana dengan kerjasama koordinasi serantau ASEAN yang telah bermula sejak Julai 2016. Sebanyak lima (5) Regional Collaboration Drill (RCD) telah dianjurkan di Thailand, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Malaysia. Negara Thailand sekali lagi telah dilantik sebagai tuan rumah bagi penganjuran 6th RCD untuk ARCH Project - Phase 2.
Latihan kali ini melibatkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak NADMA. Turut terlibat ialah Mejar Waziruddin bin Mahfot @ Mahbott, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi dan En Mohd Syafiq bin Ahmad Dusuki, Penolong Pengarah NDCC.
Sesi Taklimat kepada YB Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Taklimat kepada YB Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor | 24 Januari 2025 | Smart Selangor Operation Centre (SSOC), Pejabat SUK Negeri Selangor
Telah berlangsung sesi taklimat kepada YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor mengenai pengaplikasian sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM) dalam pengurusan bencana. Sesi taklimat ini disampaikan oleh pihak Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA. Turut hadir wakil dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Dalam sesi taklimat ini, pihak NDCC telah menerangkan mengenai penggunaan Dashboard Pengurusan Bencana (DPB) yang dibangunkan melalui sistem DGIM. DPB menyediakan data-data geospatial dari pelbagai agensi dan pelaporan di lapangan atau kawasan dilanda bencana.
Sesi ini juga membolehkan NDCC mendapatkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan. Bermula Monsun Timur Laut (MTL) 2024/25, DPB telah digunakan di semua bilik operasi bencana negeri. Sesi Libat Urus (SLU), latihan dan sesi dry run telah diadakan bagi memastikan sistem tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat negeri.
Mesyuarat Regional Consultative Committee (RCC) ke-18 | 23 Januari hingga 24 Januari 2025 | The Berkeley Hotel, Pratunam, Bangkok, Thailand
Delegasi Malaysia telah diketuai oleh YBrs. Tuan Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan, NADMA. Dalam rangka mesyuarat ini, Mr. Aslam Perwaiz, Pengarah Eksekutif Asian Disaster Preparedness Centre (ADPC) telah mengadakan pertemuan bersama NADMA bagi membincangkan perkara berkaitan usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan ADPC dalam pengurangan risiko bencana (DRR) dan membina ketahanan iklim.
Mesyuarat RCC ke-18 ini yang bertemakan “Tindakan Antisipasi Mampan untuk Matlamat Pembangunan Berdaya Tahan”, telah menghimpunkan pelbagai wakil dari negara serantau dan organisasi antarabangsa. Kehadiran YBrs. Tuan Rusli bin Ibrahim telah mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh usaha serantau bagi mencapai matlamat pembangunan mampan yang berdaya tahan. Mesyuarat ini diakhiri dengan majlis penutupan yang menekankan kepentingan kolaborasi serantau dan cadangan tindakan strategik untuk masa hadapan.
Sesi Libat Urus NADMA dan Pasukan Smart bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Libat Urus Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Smart bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) | 24 Januari 2024 | Markas Pasukan SMART
Telah berlangsung Sesi Libat Urus NADMA dan Pasukan SMART bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF). Sesi ini adalah bertujuan untuk memberikan gambaran mengenai operasi mencari dan menyelamat yang dilaksanakan oleh Pasukan SMART di dalam dan luar negara sebagai salah satu pasukan yang mempunyai pengiktirafan INSARAG.
Sesi ini telah diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi yang mewakili NADMA manakala pihak JPA telah diketuai oleh YBrs. Dr. Nor Azlin binti Mohammad Shamsudin, Timbalan Pengarah Kanan, Cawangan Pembangunan Strategik dan Dasar Saraan. Sesi ini turut disertai oleh En. Addyhanis bin Ahamad, Pengarah Sekyen Penyelarasan Operasi serta PgKB I Mohd Khairul bin Jamil, Komander Pasukan SMART.
Sesi ini telah memperlihatkan lawatan ke fasiliti di Markas Pasukan SMART, peralatan khas dan pelaksanaan tugasan oleh Pasukan SMART dalam operasi mencari dan menyelamat di dalam dan luar negara. Dalam sesi libat urus ini juga para delegasi JPA dan MoF telah diberikan pendedahan mengenai risiko dan rintangan yang dihadapi oleh Pasukan SMART dalam melaksanakan tugasan mereka sebagai pasukan yang memiliki kepakaran Urban Search and Rescue (USAR) yang khusus.
Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah | 21 hingga 23 Januari 2025
Telah berlangsung satu (1) Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah yang diketuai oleh YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) dan turut diringi oleh YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi serta para pegawai dari Seksyen Mitigasi.
Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk mengadakan beberapa sesi perbincangan awal dan pemantauan lapangan bersama pihak Kerajaan Negeri Sabah berkenaan perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan inisiatif pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR) di peringkat negeri, daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta membuat penyelarasan secara menyeluruh berkenaan agenda pembangunan strategi DRR di Sabah sejajar dengan Sasaran Utama Keempat Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
Siri mesyuarat dan lawatan kerja ini dimulakan dengan Mesyuarat Penyelarasan Pemasangan Peralatan Sistem Amaran Awal (EWS) Aliran Puing dan Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) dan sesi lawatan tapak di Kundasang, Sabah bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah. Sesi perbincangan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan penilaian terkini berkenaan status pelaksanaan projek bagi pemasangan peralatan EWS Aliran Puing dan PAPS di beberapa kawasan berisiko bencana geologi di sekitar Ranau dan Kota Belud, Sabah.
Program selama tiga (3) hari ini diteruskan dengan Mesyuarat Penyelarasan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan NADMA yang bertujuan untuk membincangkan secara lanjut berkenaan potensi kerjasama strategik antara UMS dan NADMA dalam bidang penyelidikan bencana, perkongsian kepakaran dalam bidang bencana serta program-program berkaitan pendidikan awam bencana (kesiapsiagaan dan respons).
Pihak delegasi NADMA turut berkesempatan untuk mengadakan sesi perbincangan awal bagi inisiatif DRR di negeri Sabah bersama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah pada hari terakhir program ini dijalankan. Sidang pertemuan secara dua hala ini memberikan fokus yang khusus kepada perbincangan berkaitan cadangan pemilihan Sabah sebagai negeri rintis (pilot state) bagi pembangunan strategi DRR Negeri Sabah sehingga tahun 2030, selari dengan aspirasi dan komitmen Kerajaan dalam memenuhi kerangka Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dan kerangka Sendai Framework for DRR 2015-2030 di semua peringkat merangkumi nasional, tempatan dan merentasi sektor secara menyeluruh.
Siri mesyuarat dan lawatan kerja ini diakhiri dengan sesi lawatan tapak bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah ke sekitar daerah Penampang, Kota Kinabalu. Tujuan lawatan ini dijalankan adalah untuk mendapatkan bayangan awal berkenaan demografi lokaliti yang terdedah dengan risiko kejadian banjir bagi pelaksanaan projek kerjasama antara NADMA dan Asian Disaster Reduction Center (ADRC), Jepun: Utilisation of State-of-Art Communication Technologies for Community Based Disaster Reduction Management (CBDRM) and Disaster Emergency Management Fasa 2.