Sesi Lawatan dan Taklimat kepada Pihak Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Lawatan dan Taklimat kepada Pihak Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM) | 22 Januari 2025 | Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC)
Telah berlangsung satu sesi lawatan dan taklimat kepada pihak Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM). Sesi lawatan ini telah disertai oleh 27 pelajar yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Mohd Rafee bin Baharudin, Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, UPM.
Sesi lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar Doktor Kesihatan Awam (DrPH) dalam aktivi berkaitan pengurusan bencana di Malaysia. Selain itu, ia juga untuk membolehkan para pelajar melihat pelaksanaan strategi kesiapsiagaan bencana dan memahami kepentingan etika serta kemanusiaan dalam misi keselamatan dan penyelamatan negara.
Diharapkan dari lawatan ini, para pelajar dapat mengenal dengan lebih jelas fungsi dan peranan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) khususnya dari segi latihan dan operasi. Hal ini sekaligus akan, memberikan mereka gambaran lebih dekat tentang peranan kritikal yang dimainkan oleh NDCC dan pasukan SMART semasa berlakunya bencana.
Taklimat berkenaan pengoperasian NDCC telah disampaikan oleh En. Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah NDCC manakala taklimat berkaitan pengoperasian Pasukan SMART telah disampaikan oleh Kapt. Mohd Izzudin Hassan. Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah PgKB II Mohamad Hafiezul bin Abdul Halim, Pegawai Latihan SMART.
Sesi Kunjungan Hormat Duta Besar Kerajaan Belanda atas Ketua Pengarah NADMA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Sesi Kunjungan Hormat Duta Besar Kerajaan Belanda atas Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) | 21 Januari 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
Telah berlangsung sesi kunjungan hormat Duta Besar Kerajaan Belanda, TYT Jacques Louis Werner atas YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA yang bertempat di Bilik Mesyuarat Ruan Changkul, Ibu Pejabat NADMA. Sesi ini dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat dan diteruskan dengan perbincangan antara kedua-dua belah pihak, diikuti dengan pembentangan daripada tiga (3) wakil syarikat yang menekankan elemen berkaitan inovasi peralatan dalam pengurusan bencana.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk bertukar pandangan dan amalan dalam pengurusan bencana serta meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara. Pertemuan ini juga memberikan peluang untuk NADMA menyediakan latihan ‘hands-on’ melalui kerjasama strategik dengan industri latihan di luar negara bagi meningkatkan kecekapan pegawai NADMA dalam pengurusan bencana.
Turut hadir ialah Pn. Gayathri Priyatharisini Vythalingam, Penasihat Ekonomi Kedutaan Besar Kerajaan Belanda di Malaysia dan wakil-wakil syarikat. Pihak NADMA turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan, Pengarah Mitigasi, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi dan Timbalan Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial serta pegawai-pegawai Seksyen Dasar dan Perancangan.
Sesi Kunjungan Hormat Sarawak Energy ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) | 20 Januari 2025 | Ibu Pejabat NADMA, Putrajaya
Telah berlangsung sesi kunjungan hormat daripada Sarawak Energy ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikan oleh YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi. Sesi kunjungan hormat ini dimulakan dengan perjumpaan wakil Sarawak Energy dengan YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).
Sesi ini diteruskan dengan pembentangan Arahan NADMA No. 1 oleh PPj.(PA) Mulliadi Al-Hamdi bin Ladin, Timbalan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi serta pengenalan mengenai Sarawak Energy oleh Encik Jonny Wong, Timbalan Presiden (Hydro). Tujuan utama sesi ini adalah bagi membincangkan cadangan kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua pihak terutamanya berkaitan empangan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah pelaksanaan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
Turut hadir mewakili NADMA ialah Encik Rusli bin Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar dan Perancangan serta wakil-wakil pegawai daripada Seksyen Pelaksanaan Operasi, Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial dan Seksyen Penyelarasan Operasi. Selain itu, pihak Sarawak Energy telah diwakili oleh 15 orang wakil yang diketuai oleh Encik Jonny Wong.
Majlis Penyerahan Pam Air Bergerak daripada NADMA kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MAJLIS PENYERAHAN PAM AIR BERGERAK DARIPADA NADMA KEPADA JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN (JPS) MALAYSIA | 17 Januari 2025 | Ipoh, Perak
Telah berlangsung Majlis Penyerahan Pam Air Bergerak daripada NADMA kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), NADMA. Projek ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu NADMA, berikutan rentetan daripada kejadian banjir besar yang telah berlaku di Negeri Kelantan, Perak dan Johor pada tahun 2022.
NADMA telah mengamanahkan perolehan pam bergerak ini kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui JPS Malaysia sebagai agensi pelaksana. Perolehan pam bergerak ini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan operasi ketika musim banjir. Perolehan pam bergerak ini telah dimulakan pada 14 Mei 2024 dan akan disiapkan sepenuhnya pada tahun 2027.
Sebanyak 49 set pam bergerak beserta kelengkapan pelbagai kapasiti ini akan disiapkan secara berfasa mulai tahun 2024 sehingga tahun 2027 yang merangkumi: 23 unit pam bergerak berkapasiti 20 cusec (560 liter/saat), 20 unit pam bergerak berkapasiti 10 cusec (280 liter/saat) dan 6 unit pam bergerak berkapasiti 5 cusec (140 liter/saat) yang akan diagihkan kepada JPS Negeri Perak, Johor dan Kelantan.
Humanitarian Logistics Management & Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) Procedures Training
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
HUMANITARIAN LOGISTICS MANAGEMENT & CUSTOMS, IMMIGRATION AND QUARANTINE (CIQ) PROCEDURES TRAINING | 13 hingga 17 Januari 2025 | THE SUKOSOL HOTEL, BANGKOK, THAILAND
Pihak AHA Centre dengan kerjasama Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF) telah menganjurkan kursus ini dan telah dihadiri oleh PPgB Norhisham bin Che Mohd Nor, Bahagian Logistik Pasukan SMART. Kursus ini memfokuskan proses Pengurusan Bantuan Kemanusiaan meliputi sebelum, semasa dan selepas bencana di negara ASEAN. Input daripada kursus ini akan melancarkan pengoperasian Pasukan SMART ke luar negara dari segi pengurusan logistik.