Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah | 21 hingga 23 Januari 2025
Telah berlangsung satu (1) Siri Mesyuarat dan Lawatan Kerja bagi Inisiatif Pengurangan Risiko Bencana di Negeri Sabah yang diketuai oleh YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) dan turut diringi oleh YBhg. DCP Datuk Mazli bin Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi serta para pegawai dari Seksyen Mitigasi.
Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk mengadakan beberapa sesi perbincangan awal dan pemantauan lapangan bersama pihak Kerajaan Negeri Sabah berkenaan perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan inisiatif pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction, DRR) di peringkat negeri, daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta membuat penyelarasan secara menyeluruh berkenaan agenda pembangunan strategi DRR di Sabah sejajar dengan Sasaran Utama Keempat Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
Siri mesyuarat dan lawatan kerja ini dimulakan dengan Mesyuarat Penyelarasan Pemasangan Peralatan Sistem Amaran Awal (EWS) Aliran Puing dan Penanda Aras Pergerakan Sesar (PAPS) dan sesi lawatan tapak di Kundasang, Sabah bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah. Sesi perbincangan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan penilaian terkini berkenaan status pelaksanaan projek bagi pemasangan peralatan EWS Aliran Puing dan PAPS di beberapa kawasan berisiko bencana geologi di sekitar Ranau dan Kota Belud, Sabah.
Program selama tiga (3) hari ini diteruskan dengan Mesyuarat Penyelarasan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan NADMA yang bertujuan untuk membincangkan secara lanjut berkenaan potensi kerjasama strategik antara UMS dan NADMA dalam bidang penyelidikan bencana, perkongsian kepakaran dalam bidang bencana serta program-program berkaitan pendidikan awam bencana (kesiapsiagaan dan respons).
Pihak delegasi NADMA turut berkesempatan untuk mengadakan sesi perbincangan awal bagi inisiatif DRR di negeri Sabah bersama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah pada hari terakhir program ini dijalankan. Sidang pertemuan secara dua hala ini memberikan fokus yang khusus kepada perbincangan berkaitan cadangan pemilihan Sabah sebagai negeri rintis (pilot state) bagi pembangunan strategi DRR Negeri Sabah sehingga tahun 2030, selari dengan aspirasi dan komitmen Kerajaan dalam memenuhi kerangka Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dan kerangka Sendai Framework for DRR 2015-2030 di semua peringkat merangkumi nasional, tempatan dan merentasi sektor secara menyeluruh.
Siri mesyuarat dan lawatan kerja ini diakhiri dengan sesi lawatan tapak bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah ke sekitar daerah Penampang, Kota Kinabalu. Tujuan lawatan ini dijalankan adalah untuk mendapatkan bayangan awal berkenaan demografi lokaliti yang terdedah dengan risiko kejadian banjir bagi pelaksanaan projek kerjasama antara NADMA dan Asian Disaster Reduction Center (ADRC), Jepun: Utilisation of State-of-Art Communication Technologies for Community Based Disaster Reduction Management (CBDRM) and Disaster Emergency Management Fasa 2.