SEREMBAN - Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan dengan mencatatkan seramai 1,617 mangsa berbanding 2,120 mangsa sebelum ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi Facebooknya memaklumkan setakat jam 4 petang Ahad, terdapat lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.
"Ia membabitkan PPS di daerah Jempol, Tampin dan Kuala Pilah yang menempatkan 439 bilangan ahli keluarga menjadikan jumlah 1, 617 mangsa dan menunjukkan trend penurunan.
"Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan termasuk agensi kerajaan yang membantu membersihkan rumah dan menyantuni mangsa banjir di negeri ini.
"Khidmat dan bantuan yang diperlukan waktu ini adalah usaha pembersihan rumah kepada mangsa yang telah dibenarkan pulang dari PPS.
"Kepada sukarelawan yang ingin turun membantu diharap dapat menghubungi pihak Pusat Khidmat Operasi Banjir Daerah (PKOB) bagi menyelaraskan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Aminuddin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, pihaknya telah menyelaraskan bantuan-bantuan untuk seluruh mangsa banjir bersama dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Keselamatan semua mangsa adalah diutamakan, kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) bagi sebarang laporan berhubung dengan situasi banjir di negeri ini.
"Sebarang pertanyaan boleh dirujuk menerusi talian 012-9446380 (Lt. M (PA) Mohd Adib). Kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa akan digerakkan sejurus situasi banjir berakhir," katanya.
IPOH: Kinta menjadi antara empat daerah terbaharu di Perak yang dilanda banjir kilat susulan hujan berterusan.
Selain Kinta, tiga lagi daerah baharu yang dilanda banjir adalah daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Hilir Perak, serta Kampar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Bomba Perak hari ini menerima panggilan berhubung insiden banjir yang berlaku di Kampung Tasek dan Kampung Seri Kinta.
Katanya, panggilan diterima jam 11.05 pagi tadi mengenai banjir yang berlaku di Kampung Tasek membabitkan lima mangsa terperangkap; serta jam 12.21 tengah hari tadi mengenai banjir di Kampung Seri Kinta juga membabitkan insiden lima mangsa terperangkap banjir.
Katanya, mangsa di Kampung Tasek terdiri dari dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak yang diselamatkan menggunakan bot; manakala mangsa di Kampung Seri Kinta membabitkan seorang lelaki warga emas, tiga wanita warga emas dan seorang kanak-kanak.
“Mangsa di Kampung Tasek dipindahkan sementara ke Dewan Orang Ramai Kampung Tasek, manakala mangsa di Kampung Seri Kinta dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerusi hantaran Facebook (FB) hari ini memaklumkan, BBP Ipoh menerima banyak panggilan kecemasan berhubung banjir di beberapa tempat sekitar Ipoh.
Menurut hantaran itu, operasi menyelamatkan mangsa banjir masih diteruskan di sekitar Kampung Tasek Seberang, Anjung Bercham Utama, Persiaran Taman Tasek, Kepayang Putra, Kampung Kepayang Fair Park dan beberapa tempat lain.
ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pengendali pusat pemindahan sementara (PPS) supaya memastikan kualiti makanan terjaga bagi mengelak berlaku sebarang kes keracunan makanan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata amat penting untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang disediakan di PPS, selain mengawal penularan penyakit bawaan banjir sepanjang tempoh bencana itu.
“Paling mustahak, pastikan tiada kes keracunan makanan atau penyakit yang berkaitan dengan banjir. Buat masa ini, tiada kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus).
“Selepas banjir, kemungkinan wabak denggi akan memerlukan pemantauan rapi. Apa-apa pun, yang paling penting, sesiapa yang memerlukan rawatan khusus akan dipindahkan, misalnya untuk rawatan hemodialisis,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan fasiliti kesihatan di negeri ini yang berada dalam keadaan terkawal, setakat ini.
Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus memantau dan menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.
Katanya, fasiliti kesihatan bawah KKM yang terjejas akibat banjir, telah dipindahkan ke lokasi terdekat bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam situasi bencana.
“Kami berharap cuaca akan bertambah baik selepas ini. Diharapkan juga cuaca di negara jiran akan reda supaya limpahan air dari sana tidak menjejaskan kawasan kita,” katanya.
Sepanjang tempoh banjir, beliau berkata, petugas KKM akan diarahkan membantu fasiliti yang memerlukan jika perlu.
“Misalnya, mungkin ada petugas dihantar ke negeri lain atau ke daerah lain dalam negeri yang sama untuk membantu,” katanya. – BERNAMA
BAGAN DATUK: Tujuh lokasi sudah dikenal pasti bagi penilaian pembinaan jambatan Bailey melibatkan kawasan yang terjejas banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah memutuskan pembinaan ini dijalankan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kita akan laksanakan pembinaan jambatan Bailey ini dalam tempoh 48 jam sebaik lokasi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan dijalankan. Kita sudah mempunyai pengalaman menjalankan kerja pembinaan sama di lokasi-lokasi sebelum ini.
“Kita juga sudah menjalankan simulasi. Setakat ini maklumat yang diterima ada keperluan di tujuh lokasi dan kita mempunyai aset yang mencukupi,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, pembinaan jambatan kekal juga akan dilakukan terutamanya di lokasi yang melibatkan jalan perhubungan desa.
“Kita sudah mempunyai pengalaman berhadapan banjir besar pada tahun 2014 dimana kesiapsiagaan kita adalah minimum. Namun pada kali ini, saya percaya kita sudah mempunyai persiapan yang lebih baik.
“Jabatan Meteorologi Malaysia sudah memberikan data seminggu lebih awal mengenai taburan hujan dan tindakan pemindahan sudah dirancang. Namun, terdapat beberapa keluarga yang mengambil risiko dengan tidak berpindah dan terpaksa menanggung risiko apabila proses menyelamat tidak diadakan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan mangsa yang terjejas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membolehkan bantuan tunai RM1,000 dapat disalurkan.
Setakat ini, sejumlah 43,000 isi rumah yang terjejas banjir sudah direkodkan bagi menerima bantuan melibatkan peruntukan sejumlah RM4.3 juta.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program One Stop Centre Sejahtera Sosial negeri Perak di Politeknik Bagan Datuk, di sini.
KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) melaksanakan Operasi MURNI dengan memindahkan seramai 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkandas banjir di Rantau Panjang.
Kesemua calon membabitkan beberapa sekolah termasuk Maahad Muhammadi Rantau Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang dipindahkan ke tiga sekolah berasrama di Pasir Mas.
Operasi berkenaan bermula jam 7 pagi itu mengambil masa selama lima jam memandangkan pergerakan perlu mengharungi dua lokasi yang ditenggelami air.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi kenyataan media berkata, operasi berkenaan membabitkan penggunaan sebanyak 11 trak dan 12 buah bot tempur.
"Pelaksanaan operasi khas ini sudah dibincangkan bersama di antara Panglima 8 Briged dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan serta bantuan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan.
"Operasi khas ini dijayakan oleh seramai 21 orang pegawai dan 157 orang anggota lain-lain pangkat dari pasukan 21 RAMD, 5 RRD, 72 Batalion KPD, 74 Batalion KPD, 6 Kompeni Angkut KPD dan 8 Kompeni Angkut KPD.
"8 Briged turut menempatkan pegawai perhubungan di PKOB negeri dan di PKOB setiap jajahan," katanya.
Justeru katanya, penduduk setempat yang memerlukan bantuan pemindahan boleh menghubungi mana-mana PKOB yang berhampiran untuk koordinasi bantuan.
"TDM akan terus komited membantu penduduk tempatan di Pantai Timur yang terkesan akibat bencana banjir," katanya.
Jelasnya, operasi itu berjaya dilaksanakan dengan jaya tanpa berlakunya sebarang kemalangan yang tidak diingini kepada semua pelajar.
Namun begitu katanya, sebuah trak 7 tan tergelincir dari jalan raya semasa melalui laluan yang ditenggelami air banjir.
"Kenderaan itu bagaimanapun berjaya dibawa keluar dan sudah beroperasi sepenuhnya," katanya.