Banjir: TNB tutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Marang, Kuala Terengganu
- Admin UKK
- Berita
KEMAMAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Marang dan Kuala Terengganu hari ini demi keselamatan pengguna setempat susulan insiden hujan dan banjir.
TNB Careline menerusi hantaran di Facebook berkata kawasan yang terputus bekalan elektrik susulan penutupan itu adalah di Kem Panji Alam, Marang, Wisma TG Ramly dan Tepoh di Kuala Terengganu.
KUANTAN - Penduduk di kawasan berisiko di negeri ini diminta bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana banjir.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia susulan bencana banjir yang kembali melanda negeri ini membabitkan daerah Raub, Lipis dan Jerantut.
Menurutnya, mangsa yang terlibat diharap bersabar dan terus berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selagi mana diarahkan pihak berkuasa.
"Terus patuh kepada arahan pihak berkuasa dan pastikan diri dan keluarga berada dalam keadaan yang selamat," ujarnya melalui hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut melaporkan, Pahang terus mencatatkan peningkatan mangsa dengan Jerantut menjadi daerah terbaharu di negeri itu dilanda banjir apabila 66 mangsa membabitkan 18 keluarga ditempatkan di tiga PPS pada Ahad.
Katanya, hujan berterusan beberapa jam bermula jam 8 malam pada Sabtu hingga 3 pagi tadi.
"Tiga PPS terbabit di Balai Raya Kampung Sempadan menempatkan 24 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu(26) dan SK Batu Balai(16)," katanya.
Dalam pada itu, menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 1.14 tengah hari, Pahang mencatatkan 976 mangsa terdiri 374 keluarga membabitkan 24 PPS telah dibuka setakat ini.
Selain Jerantut, Raub terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 891 orang manakala seramai 15 orang di Lipis ditempatkan di SK Jerangsang.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan arahan supaya semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir berpindah ke asrama yang disediakan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini, pihaknya juga sedang berunding dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka berada di kemudahan asrama disediakan bagi memudahkan mereka sepanjang peperiksaan dijalankan.
"Setakat ini arahan sudah dikeluarkan supaya pelajar ini dipindahkan ke asrama, namun ada ibu bapa yang berhasrat menghantar anak mereka sendiri ke sekolah.
"Bagaimanapun, kita minta mereka (ibu bapa) hantar anak ke asrama kerana kita tak nak ambil risiko antaranya kemungkinan ada yang tak dapat hadir peperiksaan akibat banjir," katanya pada sidang media khas di KPM hari ini.
Fadhlina berkata, setakat ini proses pemindahan pelajar sedang giat dijalankan di ketiga-tiga negeri paling teruk terjejas banjir iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Setakat ini di Kedah dan Terengganu sudah selesai sepenuhnya, hanya tinggal di Kelantan dan kita percaya ia boleh diselesaikan hari ini," katanya.
Fadhlina berkata, KPM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut mengambil langkah siap siaga khususnya menyiapkan kemudahan diperlukan di asrama yang menempatkan calon SPM terbabit, termasuk menyediakan buku teks, akses makmal komputer dan menggunakan pelantar DELIMa.
Selain itu, beliau berkata, bagi pelajar terjejas juga dibenarkan mengenakan pakaian bersesuaian dengan kelengkapan bagi menghadapi peperiksaan itu turut disediakan.
"Ada kelonggaran dari segi pemakaian (diberikan) untuk pelajar ini. Kita pastikan mereka dapat hadir sepenuhnya.
"Begitu juga persiapan lain, kita juga melengkapkan asrama di mana mereka akan ditempatkan, antaranya menyediakan alat tulis, pakaian dan aspek lain bagi membolehkan mereka dapat belajar atau mengulang kaji secara kondusif di asrama," katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, calon SPM yang terjejas banjir juga akan digerakkan ke pusat alternatif bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa mengikut jadual ditetapkan.
"Bagi calon persendirian, mereka boleh menghubungi JPN untuk memastikan tiada yang tercicir atau boleh hadir ke pusat alternatif.
"Begitu juga untuk pentaksir atau petugas yang terjejas, mereka akan digantikan dengan petugas baharu. Jadi tak timbul soal mereka tak dapat hadir ke tempat bertugas kerana kita terus laksanakan penggantian dengan petugas dan pentaksir baharu," katanya.
Untuk rekod, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata, Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan bermula pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, manakala Ujian Amali Sains pula bermula dari 9,10 dan 12 Disember ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16,17,18, dan 19 Disember; Ujian Mendengar Bahasa Melayu (31 Disember) dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (31 Disember).
Mulai 2 Januari hingga 6 Februari tahun depan, akan berlangsungnya peperiksaan bertulis.
SETIU: Tiada keperluanuntuk mengisytiharkan darurat bencana banjir setakat ini walaupun jumlah terkesan mencecah lebih 150,000 orang di 10 negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri berkata setakat ini seluruh agensi dan jentera keselamatan berjaya menangani situasi banjir di negeri-negeri yang terbabit dengan baik.
"Sekarang ini daripada segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara tidak memikirkan keperluan itu kerana seluruh jentera keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik.
"(Jadi) tiada keperluan sama sekali untik diisytihar darurat," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melawat SK Mangkok di sini.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, lebih 150,000 mangsa dari 10 negeri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara ketika ini setakat jam 1 tengahari tadi.
Ia membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang,Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu.
Kelantan merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu lebih 96,000 orang diikuti Terengganu lebih 41,000 orang.
PUTRAJAYA: Tiga pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kedah ditutup sementara mulai hari ini, berikutan keadaan banjir semakin buruk di kawasan berkenaan.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiga pejabat itu ialah pejabat LHDN di Alor Setar dan UTC Alor Setar, serta pejabat satelit di Kubang Pasu.
"Pejabat LHDN itu hanya akan dibuka semula selepas keadaan kembali pulih dan selamat serta mendapat kebenaran daripada pihak berwajib," katanya.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan beberapa pejabat LHDN di Kelantan, iaitu pejabat LHDN di Kota Bharu, dan Pejabat Satelit LHDN di Pasir Puteh serta Kuala Krai, yang ditutup sebelum ini berikutan bencana banjir, mula beroperasi semula hari ini.
LHDN turut menyatakan dalam tempoh keadaan cuaca tidak menentu dan situasi banjir yang berbahaya, orang ramai disaran melakukan urusan berkaitan LHDN secara dalam talian menerusi portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my.
"Justeru, LHDN menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dilanda banjir supaya membuat persediaan awal, sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan serta mematuhi arahan pihak berwajib dari semasa ke semasa," katanya.
LHDN memaklumkan sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh diajukan menerusi talian 03-89111000 / 603-89111000 (luar negara), HASiL Live Chat atau pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
– BERNAMA