PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

PETRONAS cari kaedah dapatkan bekalan gas loji jana kuasa elektrik

PETRONAS cari kaedah dapatkan bekalan gas loji jana kuasa elektrik

Kuching: Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tempoh seminggu ini adalah kritikal bagi mencari kaedah mendapatkan bekalan gas untuk kegunaan loji jana kuasa elektrik apabila saluran sedia ada ditutup.

Timbalan Perdana Menteri berkata, PETRONAS sedang mencari kaedah bagi mendapatkan bekalan gas untuk kegunaan penjanaan elektrik itu.

Bagaimanapun, katanya, bekalan elektrik di Lembah Klang pada masa ini stabil.

“Jika minggu depan gas tidak dapat dibekalkan kepada stesen jana kuasa yang terbabit, PETRONAS akan mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan bekalan gas.

“Tetapi kita juga akan melaksanakan langkah seterusnya (jika bekalan gas tidak dapat disalurkan), iaitu menghidupkan jana kuasa lama (digerakkan bahan api diesel atau arang batu) untuk memastikan bekalan tenaga elektrik di Lembah Klang khususnya, tidak terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Petra Jaya di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, semalam.

Yang turut hadir Yang di-pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.

Fadillah berkata, langkah menggunakan jana kuasa lama itu adalah alternatif bagi memastikan bekalan elektrik ke Lembah Klang tidak terjejas berikutan kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bekalan gas dijangka berkurang minggu depan apabila sebahagian saluran sedia ada ditutup.

TNB pantau infrastruktur

Mengenai kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Fadillah berkata, ia disahkan tidak terjejas ekoran kebakaran itu.

“Bagaimanapun, TNB sedang memantau untuk memastikan seluruh infrastruktur tidak terjejas.

“Kabel di rumah yang terjejas juga sedang dalam siasatan dan apa bentuk bantuan akan dimuktamadkan PETRONAS sama ada menerusi insurans dan ia bergantung kepada keseluruhan siasatan,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search