PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

IPU meningkat, warga emas dan kanak-kanak perlu lebih berhati-hati – Dr Sim

IPU meningkat, warga emas dan kanak-kanak perlu lebih berhati-hati – Dr Sim

KUCHING, 12 Ogos: Warga emas, kanak-kanak serta individu yang mempunyai masalah kesihatan khususnya berkaitan jantung dan paru-paru dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menerusi kenyataannya hari ini turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah sewajarnya berikutan keadaan kualiti udara yang semakin terjejas di beberapa lokasi.

“Kualiti udara tidak sihat di banyak kawasan di Sarawak hari ini. Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan”, katanya menerusi kenyataan di Facebook sebentar tadi.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat 8 pagi tadi, beberapa kawasan menunjukkan tahap pencemaran dalam kategori tidak sihat, manakala Tebedu mencatatkan bacaan 206, sekali gus berada dalam kategori sangat tidak sihat.

Antara kawasan lain yang merekodkan bacaan tinggi ialah Samarahan dengan 170, IPD Serian (MCAQM) 194, Sri Aman 157, Sarikei 161, Sibu 151, Bintulu dan Samalaju masing-masing 152, serta Miri 133.

Dalam keadaan IPU antara 101 hingga 200, pencemaran udara dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memperburuk keadaan kesihatan individu berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

Sementara itu, bacaan IPU antara 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan boleh memberi kesan lebih ketara terhadap kesihatan awam.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan berisiko dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar ketika keadaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat serta sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU semasa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search