BATU GAJAH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti langkah terbaik bagi mengatasi kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh, hari ini dengan paras air mencecah 1.5 meter.
Menteri berkenaan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya kini menunggu laporan penuh kejadian dan akan meneliti isu itu bagi mengelak insiden berulang.
"Dahulu tak pernah berlaku seperti ini, namun saya telah arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk dapatkan laporan penuh punca kejadian ini agar langkah pencegahan dapat dilakukan.
"Kalau ikutkan, taburan hujan yang luar biasa dan hujan melebihi 13 jam sejak malam semalam antara punca keadaan banjir ini dan saya gesa orang ramai mengambil langkah pencegahan akibat perubahan iklim yang berlaku sekarang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Pengumpulan Dana Bangunan DAP Parlimen Batu Gajah di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayang berkata, kejadian itu disifatkan luar jangkaan apabila kali pertama penduduk berhadapan banjir dalam tempoh 28 tahun.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata setakat jam 5.30 petang tadi lebih 114 mangsa banjir berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian. - Bernama
Ujian Bertutur SPM diteruskan
- Admin UKK
- Berita
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan bermula hari ini hingga Khamis selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL) yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung dan Pelan Tindakan Menghadapi MTL.
“KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” katanya pada Sidang Media Khas Pengurusan Banjir KPM dan Persiapan Peperiksaan SPM di sini, semalam.
Fadhlina berkata, seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
Beliau berkata, semua calon terjejas banjir akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan kesemua calon dapat keselesaan untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.
Fadhlina berkata, setakat ini, pemindahan calon terkesan banjir sedang dilaksanakan di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di ketiga-tiga negeri khususnya di Kelantan.
RM50 juta untuk Terengganu, Kelantan
- Admin UKK
- Berita
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta untuk mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri berkenaan.
Anwar berkata, peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM25 juta untuk Terengganu manakala RM25 juta lagi untuk Kelantan.
Menurutnya, kedua-dua negeri itu sebelum ini masing-masing menerima RM50 juta, namun peruntukan tambahan diberikan susulan keadaan banjir semakin serius.
Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
“Dari segi kerajaan Persekutuan, seperti mana yang telah diumumkan, kita akan beri seluruh kerjasama bantuan yang penuh.
“Untuk Kelantan dan Terengganu seperti mana yang kita umumkan, RM50 juta telah diputuskan untuk disalurkan kemudian saya dapat maklumat lagi tentang keperluan-keperluan terakhir ini.
“Kita sudah lulus selain daripada RM50 juta itu, tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan jauh lebih besar daripada unjuran awal. Ini kita tambah lagi RM25 juta yang saya umum hari ini iaitu RM75 juta (untuk Kelantan dan Terengganu), ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan di sini, semalam yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melawat SK Mangkok di sini.
Katanya, pihaknya menjangkakan RM1 bilion diperlukan untuk bantuan banjir di seluruh negara.
“Untuk negeri-negeri lain, kita sedang pantau. Saya tidak mahu jadi salah
“Kita sudah lulus selain daripada RM50 juta itu, tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan jauh lebih besar daripada unjuran awal. Ini kita tambah lagi RM25 juta yang saya umum hari ini iaitu RM75 juta (untuk Kelantan dan Terengganu)” Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
faham dan akan memenuhi keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam negeri Terengganu.
Katanya, ia membabitkan lebih 14,000 penjawat awam Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kerajaan negeri adalah sebanyak RM7.4 juta
“Kita tengok semua bertugas dengan begitu baik. Alhamdullilah, tengok APM, bomba, pejabat daerah, hospital, jururawat...jadi saya sangat terkesan dengan cara khidmat mereka itu tanpa lelah.
“Seperti mana yang Menteri Besar (Ahmad Samsuri) pernah sebut ganjaran untuk penjawat awam Terengganu ini 14,000 orang (beri) RM500, jadi saya setuju luluskan, maknanya untuk bulan ini RM500 yang berjumlah sekitar RM7.4 juta,” katanya.
300 calon SPM dipindah
- Admin UKK
- Berita
Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) berjaya memindahkan seramai 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkandas akibat banjir di Rantau Panjang, semalam.
Kesemua calon yang membabitkan beberapa sekolah termasuk Maahad Muhammadi Rantau Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang berkenaan dipindahkan ke tiga sekolah berasrama di Pasir Mas.
Operasi Murni berkenaan bermula jam 7 pagi mengambil masa selama lima jam kerana pergerakan perlu mengharungi dua lokasi yang ditenggelami air.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi satu kenyataan berkata, operasi berkenaan membabitkan penggunaan sebanyak 11 trak dan 12 bot tempur.
“Pelaksanaan operasi khas ini sudah dibincangkan bersama di antara Panglima 8 Briged dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan serta bantuan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan.
“Operasi khas ini dijayakan seramai 21 pegawai dan 157 anggota dari pasukan 21 RAMD, 5 RRD, 72 Batalion KPD, 74 Batalion KPD, 6 Kompeni Angkut KPD dan 8 Kompeni Angkut KPD.
“8 Briged turut menempatkan pegawai perhububungan di PKOB negeri dan di PKOB setiap jajahan,” katanya.
Justeru katanya, penduduk setempat yang memerlukan bantuan pemindahan boleh menghubungi mana-mana PKOB berhampiran untuk koordinasi bantuan.
“8 Briged turut menempatkan pegawai perhububungan di PKOB negeri dan di PKOB setiap jajahan” Kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen)
Dua lagi korban banjir di Kelantan
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Banjir meragut nyawa dua lagi mangsa di Kelantan semalam membabitkan warga emas yang sedang memantau ternakan mereka masing-masing di Kampung Kuala Sat dan Kampung Gelung Gajah, Tumpat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian kira-kira jam 8 pagi membabitkan mangsa berusia 72 dan 78 tahun. Kes itu menjadikan korban banjir seramai lima orang di Kelantan setakat ini.
Mohd Yusoff dalam kejadian pertama membabitkan mangsa berusia 72 tahun di Kampung Kuala Sat yang dikatakan melihat ternakan lembunya di parit sebelum ditemukan lemas oleh ahli keluarga jam 8 pagi semalam.
“Kes kedua pula membabitkan mangsa berusia 78 tahun di Kampung Gelang Gajah ketika melihat kambingnya yang ditempatkan di rakit yang dijadikan tempat perlindungan ternakan itu.
“Mangsa lemas ketika memantau haiwan peliharaan itu di rumah rakit bersebelahan rumahnya dengan menaiki perahu,” katanya.
150,482 mangsa dipindahkan
Sementara itu, banjir merebak ke 10 negeri semalam membabitkan 150,482 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) daripada 44,336 keluarga.
Pahang menjadi negeri terbaru yang ditimpa musibah itu membabitkan 1,152 mangsa daripada 50 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS sehingga jam 6 petang semalam.
Menjelang lewat petang, sebanyak 672 PPS di buka di negeri berkenaan yang menyaksikan Kelantan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 96,657 orang daripada 29,764 keluarga, menurut portal bencana NADMA.
Portal infobanjir.water.gov. my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan lima sungai utama masih melepasi paras bahaya, namun menunjukkan penurunan iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (16.64 meter), Sungai Kelantan di Kusial (16.66 meter), Sungai Golok di Rantau
Panjang (11.20 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.22 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.65 meter).
Keadaan di Terengganu juga bertambah buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 41,788 orang daripada 11,274 keluarga yang ditempatkan di 294 PPS.
Di Kedah pula, mangsa banjir terus juga meningkat kepada 8,427 orang daripada 2,595 keluarga yang kini ditempatkan di 51 PPS.
Perlis mencatatkan 75 mangsa; Negeri Sembilan (1,617); Melaka (238); Johor (528); Perak (12) dan Selangor berkurang hanya kepada tiga.
Minta lakukan solat hajat
Di Kuantan, Sultan Pahang, Alsultan Abdullah Ri’ayatuddin Almustafa Billah Shah meminta semua masjid dan surau di Pahang melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri berikutan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku kini.
“Saya mendoakan agar semua yang terbabit dengan kejadian banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda,” titah baginda.
Di Alor Setar, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan bandar raya itu dan Sik demi keselamatan orang awam susulan keadaan banjir yang semakin serius.
Operasi beberapa agensi kerajaan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Anak Bukit, ditutup sementara disebabkan banjir teruk.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata latihan penerbangan Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas akan dihentikan sementara berikutan kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dinaiki air.
Di Bandar Permaisuri, seramai 13 nelayan di Kampung Telaga Papan menanggung kerugian RM.4 juta apabila bot mereka dihanyutkan ombak besar dihanyutkan ombak besar awal pagi semalam.
Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebanyak lapan bot nelayan kelas A dan B serta 10 bot fiber yang berlabuh di jeti pantai di Kampung Telaga Papan mengalami kerosakan teruk.
Sebanyak 174 sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara manakala 396 sekolah dijadikan sebagai PPS sehingga ini.
Di Kuala Krai, penduduk di beberapa buah kampung terpaksa menggunakan tali lembu menambat kenderaan mereka pada pokok sawit bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus deras.